Thursday, August 30, 2012

Aprisiasi 55 tahun merdeka



AKTOR yang cukup sinonim dengan watak antagonis, Azhan Abdul Rani atau dikenali dengan Azhan Rani, 36, memberitahu kemerdekaan bererti rakyat Malaysia bebas daripada penjajahan.

Meskipun memasang Jalur Gemilang di kereta dan rumah satu kemestian kepadanya, tetapi tegas anak jati Kuala Kubu Baharu, Selangor itu semangat dalam diri lebih penting berbanding segala sambutan yang bersifat fizikal.

"Mengibarkan Jalur Gemilang satu amalan yang bagus. Ia bermakna kita berbangga dengan negara sendiri, tetapi bagi saya yang paling penting adalah semangat kemerdekaan yang ditanam dalam diri masing-masing.

"Tidak guna buat sambutan besar-besaran tetapi mereka yang datang meraikan hanya untuk lihat bunga api atau melihat persembahan yang disediakan tanpa memahami dan menghayati erti kemerdekaan yang sebenar," katanya yang bercuti raya di rumah keluarga di Kuala Kubu Baharu.

Sambung pelakon drama Geng Surau dan Supermak yang mula berlakon drama pada tahun 2006 itu, dia sendiri pernah menyerap semangat Tunku Abdul Rahman apabila terlibat dalam persembahan sempena kemerdekaan di Stadium Kuala Kubu Baharu pada tahun 1993.

"Waktu itu zaman sekolah menengah dan saya berlakon sebagai pesuruhjaya British yang membawa watikah kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman.

"Saya dan rakan-rakan melakonkan semula adegan seperti mana kemerdekaan yang sebenar pada 31 Ogos 1957. Walaupun hanya berlakon, ketika laungan merdeka bergema dalam satu stadium, timbul perasaan sebak yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

"Suasananya seperti saya betul-betul berada pada waktu merdeka 55 tahun yang lepas. Perasaan itu menyedarkan saya betapa pentingnya kita sebagai rakyat Malaysia menjaga dan memelihara kemerdekaan yang kita miliki hari ini," balasnya yang merupakan anak keempat daripada lima orang adik-beradik.

DUDUK dari depan: Munif Isa, Azhan Rani dan Nad Zainal mempunyai persepsi sendiri tentang sambutan kemerdekaan negara.


Selain itu, Azhan yang kini sedang hangat dengan drama Mana Hilangnya Juwita? cukup kecewa melihat senario masyarakat Malaysia hari ini yang kurang nilai patriotik. Buktinya dapat dilihat dengan jelas apabila lagu Negaraku berkumandang.

"Tidak kira di mana-mana sahaja, jika lagu Negaraku berkumandang, ramai yang macam malu buka mulut untuk menyanyi lagu kebangsaan kita.

"Kalau ada yang nyanyi, suaranya tidak jelas. Rasanya ramai antara golongan dewasa yang sudah lupa dengan lirik lagu tersebut kerana mereka jarang-jarang menyanyikannya.

"Kalau betul-betul berbangga jadi rakyat Malaysia, jangan malu untuk nyanyi lagu kebangsaan sendiri.

"Senario yang berbeza saya dapat lihat dalam diri rakyat Indonesia yang tinggal di Malaysia. Mereka akan berdiri dan menyanyi dengan penuh bangga walaupun ketika itu mereka berada di kedai mamak," kata Azhan yang sukakan lagu Warisan dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Nad Zainal pergi Dataran Merdeka

Farah Nadia Zainal atau Nad Zainal yang kini cukup popular dengan drama Bukan Bidadari pernah menyambut kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bersama keluarganya.

Bagaimanapun tradisi itu semakin hilang apabila anak tunggal dalam keluarga itu meningkat dewasa, kesibukan kerja membataskannya untuk meraikannya seperti zaman kanak-kanak.

"Ketika kecil, ibu dan ayah selalu bawa saya ke Dataran Merdeka sebab saya suka sangat tengok perbarisan dan perarakan pada pagi 31 Ogos.

"Mungkin masa kanak-kanak pergi ke Dataran Merdeka saya rasa sungguh meriah dan seronok tanpa memahami pengertian sebenar, bagaimanapun sedikit sebanyak memori itu mampu mengingatkan saya cara sambutan kemerdekaan di Kuala Lumpur," ujar gadis berusia 22 tahun itu.

Jelasnya yang menganggap filem klasik Sarjan Hassan sebagai filem yang mampu membangkitkan perasaan patriotik, sambutan kemerdekaan lebih terasa ketika zaman persekolahannya sahaja.

"Masa sekolah guru-guru sudah membuat rancangan untuk pelajar apabila tibanya bulan kemerdekaan. Namun, bila dewasa, saya semakin sibuk, tiada lagi sambutan yang khusus untuk merdeka," katanya jujur.

Bagaimanapun kata Nad, dia lebih suka menghayati merdeka dengan menonton filem lama dan dokumentari daripada Arkib Negara yang disiarkan di laman perkongsian video, YouTube.

"Teknologi sekarang di hujung jari sahaja, jadi saya lebih suka tengok semula sejarah lama kerana ia secara tidak langsung dapat menyedarkan saya bukan mudah untuk datuk, nenek dan perwira negara mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah.

"Selain itu, saya jenis yang suka membaca buku biografi tokoh-tokoh negara kerana saya dapat mengetahui pengalaman mereka untuk membangunkan Malaysia seperti hari ini," ulasnya yang mula dikenali dengan drama Memberku Hawa.

Nad yang beraya di Ampang, Kuala Lumpur berharap pemimpin Malaysia lebih berpendirian dan tidak terpengaruh dengan pihak lain terutamanya negara-negara Barat.

SEMANGAT. Tiga bakat besar industri tanah air ini menyambut ulang tahun ke-55 Malaysia dengan apresiasi bangga dilahirkan sebagai warga tempatan.


"Kita boleh tengok dan ikut kejayaan negara di Barat. Mana yang baik kita ambil, tetapi bukan semua kita boleh ikut. Jika kita bertegas dan teguh pada pendirian, saya yakin negara Malaysia akan lebih dipandang di mata dunia.

"Memang sekarang kita bebas daripada penjajah secara fizikal, tetapi secara mental adakah kita bebas keseluruhannya. terutamanya buat golongan muda. Penjajahan secara tidak sedar ini yang harus kita lihat dengan serius," katanya yang cukup bangga menjadi rakyat Malaysia.

Munif Isa sertai perbarisan

Aktor Munif Isa, 30, yang popular menerusi drama BFF Teman Tapi Mesra mengatakan, rakyat Malaysia hari ini tidak perlu merungut atau menindas sesama sendiri.

Katanya, sebagai anak yang lahir selepas zaman merdeka, mereka harus hargai dan kekalkan keharmonian serta keamanan yang dimiliki.

"Sebelum buka mulut untuk merungut, tanya diri sendiri dahulu apa sumbangan yang telah kita berikan untuk negara. Bukan mempersoalkan apa sumbangan negara yang diberikan kepada kita.

"Jika semua rakyat Malaysia sumbangkan sesuatu untuk meningkatkan prestasi serta kejayaan negara, saya yakin negara kita akan kekal aman seperti hari ini," katanya yang sukakan filem Bukit Kepong.

Pelakon filem patriotik Tanda Putera itu juga mendefinisikan Malaysia tetap negara yang terbaik berbanding dengan negara lain yang pernah dikunjunginya sebelum ini.

"Saya pernah pergi ke China, melihat keadaan rakyatnya di sana membuatkan saya memanjatkan kesyukuran betapa bertuahnya saya menjadi rakyat Malaysia.

"Di China selain banyak undang-undang, kebanyakan mereka juga berjuang untuk meneruskan kehidupan setiap hari. Senario itu sangat menyedarkan saya bahawa Malaysia tetap yang terbaik," katanya yang pulang beraya di Kangar, Perlis.

Bercakap tentang sambutan kemerdekaan, Munif yang telah terlibat dalam filem Nur Kasih The Movie, 29 Februari, Jiwa Taiko, Tanda Putera dan terbaharu Susah Betul berkata, dia pernah menyertai perbarisan kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun lalu.

"Saya pernah sertai perbarisan pada hari kemerdekaan di bawah persatuan Seniman. Walaupun sambutan kemerdekaan setiap tahun tidak banyak berubah, tetapi apabila saya sendiri yang sertai perbarisan, perasaannya agak berbeza.

"Berjalan sambil disaksikan orang ramai dan memberi tabik hormat kepada pemimpin negara membuatkan saya bangga kerana sekurang-kurangnya saya melakukan sesuatu untuk hari kemerdekaan daripada sekadar menonton televisyen di rumah," katanya yang mula berlakon daripada pentas teater.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: