WANITA apabila semakin berumur, mereka mudah terdedah dengan pelbagai jenis penyakit yang menyebabkan kesihatan dan produktiviti hidup terjejas.
Demikian, untuk sentiasa sihat dari segi luaran dan dalaman mereka bukan hanya tertumpu kepada suatu elemen kesihatan sahaja.
Penjagaan jantung, hati ,sendi dan kulit adalah antara tunjang utama kesihatan yang harus diberikan tumpuan dan penjagaan yang rapi.
Presiden Persatuan Nursejahtera Malaysia, Dr. Rajbans Singh, berkata, kebanyakan wanita selepas berkahwin, mereka akan mengabaikan kesihatan diri kerana sibuk dengan tanggungjawab dan aktiviti harian.
Apabila umur mula mencapai 30 hingga 40 tahun, hormon akan turut berkurang seiring usia mereka yang sebenar.
Berdasarkan kajian, penyakit jantung masih berada di tahap pertama yang melanda golongan wanita. Kemudian ia diikuti dengan penyakit sendi yang bermula apabila umur mereka menjangkau 45 hingga 50 tahun," katanya.
Menurut beliau, kulit pada bahagian badan juga memainkan peranan penting kepada wanita supaya kekal sihat dan cantik.
Permukaan kulit badan merupakan petunjuk apa yang terjadi pada organ dalaman badan. Jika kulit sihat dan cantik, kesihatan dalaman juga turut sihat.
Sementara itu, hati adalah antara organ dalaman yang penting untuk keseluruhan badan. Apabila hati mengalami masalah dan tidak dapat mengeluarkan toksin dalam badan, ia turut menjejaskan kesihatan kulit," katanya.
Dr. Rajbans berkata, kebanyakan wanita tidak faham tentang penjagaan kesihatan diri yang sebenar.
Sebahagiannya gemar berkunjung ke spa dan pusat rawatan kecantikan tanpa mengetahui bahawa apabila kesihatan dalaman tidak baik ia mempengaruhi penampilan luaran mereka.
Menjadi tanggungjawab seorang wanita untuk menjaga kesemua empat organ dalam badan tersebut supaya mereka terhindar dari penyakit berbahaya dan kekal sihat," ujar Dr. Rajbans.
Menurut beliau, kebanyakan wanita yang mendapat penyakit ini adalah disebabkan corak hidup yang semakin berubah dan juga corak pemakanan seharian yang tidak seimbang.
Untuk mendapat kulit yang cantik dan sihat, seeloknya mengambil pelbagai jenis sayuran segar dalam kuantiti lima hingga enam mangkuk dalam sehari.
Mikronutrien dalam badan akan berkurang jika tidak mendapat secukupnya nutrien yang dihasilkan dari sayur-sayuran dan buah-buahan," jelasnya.
Dr. Rajbans berkata, faktor lain yang mempengaruhi peningkatan penyakit ini adalah kurangnya melakukan senaman.
Senaman yang dilakukan secara konsisten dapat membantu menguatkan sistem perjalanan darah dalam jantung selain membaiki sistem imunisasi dalam badan.
Selain itu, tekanan akibat kerja dan pengurusan harian juga menyebabkan mereka hidup dalam keadaan tidak sihat dan mendapat penyakit yang berbahaya," jelas Dr. Rajbans.
Pengurus Urusan dan Latihan Mega Lifesciences Malaysia, Mary Chua berkata, seiring membantu wanita di luar sana mencegah penyakit yang berbahaya, yoga antara senaman yang boleh membantu mereka sihat dan kekal bertenaga.
Senaman ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja tanpa mengira masa dan tempat. Ia melibatkan pergerakan perlahan yang terkawal yang melatih seluruh anggota tubuh kekal bertenaga.
Senaman yoga juga membantu mengelakkan kesakitan yang biasanya timbul di bahagian bahu, leher, pinggang dan belakang yang disebabkan oleh kesan tegangan dan mampatan ke atas tulang belakang," kata Mary.
Menurut beliau lagi, yoga juga memberikan fokus dan memupuk kesedaran ke atas tubuh, postur dan pernafasan yang diamalkan.
Yoga sangat menenangkan dan dapat membantu menghilangkan tekanan yang dialami akibat persekitaran, pekerjaan dan permasalahan harian yang lain," katanya.
Sementara itu, seramai 20 orang ibu Malaysia telah terpilih menghadiri sesi kem kecantikan" pada Oktober ini sebelum berjalan bagaikan seorang ratu di malam gala Glowing Youthful Mother Contest 2012, pada 3 November 2012 nanti.
Pertandingan musim ke 2 Glowing Youthul Mother anjuran Mega Lifesciences Sdn Bhd yang mendapat sokongan penuh daripada Persatuan Nursejahtera Malaysia itu, menawarkan hadiah lumayan sehingga RM50,000.
Sokongan padu kepada para ibu dan peserta kegemaran anda boleh dilakukan dengan mengundi mereka dengan melayari laman facebook www.facebook.com/glowforever atau www.gymc.com.my
Tarikh mengundi dari 1 Ogos -15 september 2012.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: