Wednesday, August 29, 2012

Kes bunuh Sosilawati

Penyelam Polis Diraja Malaysia termasuk anggota polis Marin sibuk menjalankan kerja-kerja membersih dasar laut di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu baru-baru, ini.

MISTERI kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lagi lelaki sejak 30 Ogos lalu hampir terungkai dengan tertangkapnya tujuh suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Difahamkan, seorang daripada suspek yang ditahan merupakan peguam bergelar datuk berusia lingkungan 40-an yang dinamakan polis sebagai suspek paling dikehendaki dalam kes kehilangan usahawan wanita terbabit bersama tiga yang lain.

Hasil soal siasat ke atas suspek, polis mendapat maklumat bahawa kesemua mangsa sudah dibunuh dan dibakar manakala abu mayat mereka dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Morib, Selangor."

Berita muka depan bertarikh 11 September 2010 yang disiarkan secara eksklusif oleh Mingguan Malaysia ini tidak mungkin dapat dilupakan oleh rakyat Malaysia sehingga kini, bukan hanya kerana mangsa pembunuhan kejam itu melibatkan seorang individu berprofil tinggi tetapi ia mendapat simpati berikutan kematian mangsa dilaporkan pada hari pertama Aidilfitri.

Meskipun beberapa individu didakwa terlibat dalam kes pembunuhan kejam itu belum dijatuhi hukuman kerana masih dalam perbicaraan tetapi berita hangat yang menggegarkan negara itu masih segar diingati oleh orang ramai khusus mereka yang terlibat secara langsung dalam siasatan kes berkenaan.

Salah seorang daripada mereka ialah Penyelia Unit Selam Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pulau Pinang, Sarjan Mohamad Yunus Abd. Samad, 52, yang ditugaskan bersama tiga rakan penyelam untuk mencari barang-barang bukti dibuang suspek ke dalam sungai.

Bagi Mohamad Yunus, kes pembunuhan Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim merupakan antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang 31 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Anak kelahiran Muar, Johor itu berkata, beliau bersama tiga rakan setugas bukan sahaja tertekan untuk mencari barang-barang bukti dengan cepat kerana kes itu mendapat perhatian luar biasa tetapi turut berdepan dengan pelbagai cabaran lain semasa menjalankan tugas menyelam.

"Kami berdepan dengan cabaran kerana lokasi barang-barang bukti dibuang ada banyak tempat termasuk dalam parit dan tali air.

"Saya bersama rakan-rakan terpaksa menyelam dalam air keruh, kotor dan berbau busuk kerana di hulu sungai ada pasar yang mana para peniaga membuang semua sisa kotoran dan sampah ke dalam sungai," katanya.

Menurut Mohamad Yunus, ada sekali semasa timbul dari air, beliau terkejut mendapati lehernya dililit oleh usus ayam dan keadaan itu memang menggelikan tetapi beliau terpaksa bertahan demi menjalankan tugas.

Sepanjang menjalankan tugas mencari itu, katanya, mereka tidak dapat melihat apa-apa di dalam air kerana keadaan gelap dan pencarian hanya dibuat dengan meraba berpandu kepada tali.

Mohamad Yunus memberitahu, beliau bersama tiga rakan penyelam ditugaskan mencari barang-barang bukti dalam kes tersebut kerana Selangor terletak di bawah PPM Wilayah 1.

"Kami bekerja 24 jam selama dua minggu kerana bila-bila masa perlu bersedia menjalankan tugas mencari. Operasi akan dijalankan sebaik sahaja suspek memaklumkan lokasi barang bukti dibuang," katanya.

Jadual kerja yang ketat, ujar Mohamad Yunus, menyebabkan mereka tidak cukup rehat dan hanya berpeluang merehatkan diri seketika di surau Hulu Langat tetapi mereka langsung tidak bersungut, malah berpuas hati apabila dengan barang-barang bukti ditemui, kes berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat.

Mohamad Yunus yang mendapat latihan menyelam dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Woodland, Singapura merupakan jurulatih selam pertama PDRM dan setakat ini sudahpun melatih 300 pegawai serta anggota dalam pasukan keselamatan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: