PETALING JAYA: Pelakon Nadiya Nissa sedang mencari pembantu rumah untuk menguruskan hal rumah tangganya berikutan kesibukannya dengan pelbagai tawaran berlakon.
Nadiya, 27, berkata, sebelum ini dia menguruskan sendiri hal keluarga tetapi kerana jadual kerjanya yang tidak menentu menyebabkan dia dan suami iaitu Saiful Razman Mohd Kassim mengambil keputusan untuk mencari pembantu.
"Kalau ikutkan hati memang tidak mahu mengambil pembantu rumah kerana lebih seronok menguruskan sendiri rumah tangga tanpa bantuan sesiapa tetapi tuntutan kerjaya saya yang tidak menentu membuat saya dan suami membuat keputusan ini.
"Tapi buat masa sekarang kami masih mencari dan belum berjumpa dengan orang yang sesuai," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Nadiya, keputusannya untuk mengambil pembantu rumah bukan bererti dia ingin melepaskan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada Omar Saiful Razman yang kini berusia setahun tetapi sebagai meringankan bebannya yang sentiasa berada di luar.
"Hanya akan ada masa-masa tertentu saya sibuk di lokasi dan bukannya selalu tetapi apabila tidak sibuk saya sendiri akan menguruskan keperluan keluarga," ujarnya.
Dalam pada itu, Nadiya berkata suaminya sentiasa menyokong perjalanan karier seninya selain banyak memberi kata-kata semangat untuk kejayaannya sebagai seorang pelakon.
"Saya sentiasa ada suami yang banyak menyokong apa sahaja yang saya lakukan. Selain itu kami juga mempunyai banyak aktiviti bagi memastikan perkahwinan kami menjadi lebih meriah dan teratur.
Sementara itu, Nadiya gementar dengan reaksi penonton terhadap lakonannya bersama Aaron Azizi dalam drama bersiri Adam dan Hawa yang sedang ditayangkan menerusi saluran Mustika HD (134).
Ia disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 10 malam.
Menurut Nadiya, drama bersiri yang mengambil masa selama lima bulan penggambaran itu cukup mencabar dirinya sebagai pelakon apatah lagi bekerja dengan pengarah Mohd Feroz Kadir yang berjaya memberikan dimensi baru buat dirinya.
"Saya sudah terbiasa dengan arahan Osman Ali sebelum ini yang memberi kebebasan kepada pelakon dalam menentukan corak dan hala tuju lakonan sebaliknya dengan Feroz pula, timbul cabaran apabila saya perlu merealisasikan apa yang beliau inginkan.
"Bagaimanapun sebagai pelakon itu adalah pengalaman yang baik untuk saya dalam mengembangkan potensi diri apabila bekerja dengan pelbagai pengarah berbeza," katanya.
Selain Adam dan Hawa, Nadiya juga sedang sibuk di lokasi penggambaran filem Pengapit bersama Farid Kamil yang dijangka ditayangkan pada tahun hadapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: