PEMBANGUN produk digital global, Samsung Malaysia Electronics baru-baru ini memperkenalkan komputer riba premium, Samsung Notebook Series 9 dengan rekaan lebih nipis dan menawan.
Kehadiran generasi kedua untuk siri tersebut dilengkapi fungsi dan ciri termaju sebagai pelengkap kepada aktiviti pengkomputeran mobiliti.
Dengan kelebihan kejuruteraan cemerlang, produk unik berkenaan sesuai untuk pengguna moden yang sentiasa bergerak pantas dalam dunia teknologi tanpa batasan.
Melihat dari segi rekaan, model tersebut disempurnakan bersama bentuk aerodinamik tanpa mengabaikan kecemerlangan prestasi.
Ini kerana kesemua komponen penting seperti panel LED, papan kekunci, papan utama, kabel, kipas dan bateri dimuatkan dalam satu bingkai yang nipis iaitu 12.8 milimeter (mm).
Beratnya hanya 1.16 kilogram (kg) pula adalah 28 peratus lebih kecil daripada model terdahulu.
Material aluminium hitam digunakan pada binaan produk kompak ini supaya kelihatan elegan tanpa kesan cap jari.
Bagi spesifikasi teknikal, model tersebut dipacu pemproses Intel Core i5 generasi ketiga dengan masa dihidupkan hanya 9.8 saat dan tawaran pengalaman pelayaran dua kali lebih pantas.
Daripada segi paparan, ia dilengkapi skrin definisi tinggi (HD) SuperBright Plus 13.3 inci bersama kelebihan kecerahan terbaik dan anti pantulan untuk memberi keselesaan tontonan.
Selain itu, skrin dan papan kekuncinya juga dilengkapi keupayaan mengenalpasti keadaan cahaya sekeliling sekali gus mengawal kecerahan secara automatik.
Untuk semua kelebihan itu, Samsung Notebook Series 9 kini boleh diperolehi di pasaran dengan tawaran harga RM4,999.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: