BANYAK cara dilakukan khususnya badan-badan korporat bagi menunjukkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan perhatian.
Begitupun Royal Selangor memilih cara yang unik iaitu dengan mengadakan bengkel membuat jeli bagi membantu Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA).
Bengkel bersiri itu akan berlangsung pada bulan Oktober ini dan dimeriahkan oleh selebriti tanah air.
Pengurus Besar Royal Selangor Internasional, Yong Yoon Li berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada para selebriti yang sudi bekerjasama mengumpul derma dan meningkatkan kesedaran untuk BCWA.
"Kami berharap orang awam terutamanya peminat-peminat selebriti ini akan menyertai bengkel ini yang meraikan kehidupan, kasih sayang dan keriangan," katanya pada majlis sidang akhbar di Royal Selangor Visitor Centre, Kuala Lumpur.
Hadir sama penaung BCWA, Datin Seri Akmal Abdul Salam dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ranjit Kaur, serta beberapa selebriti seperti personaliti radio Patrick Teoh, Elaine Daly, pereka fesyen, Khoon Hooi, pelawak muda, Kuah Jenhan dan Chef Anis Nabilah.
Selebriti lain yang akan mengendalikan bengkel membuat jeli pada Oktober ini adalah Tony Eusoff, Atilia Haron, Melinda Looi, Joanna Bessey, Vanidah Imran, Bernie Chan, Deborah Henry, Jojo Struys dan Jovian Mandagie.
Menurut Yoon Li, bengkel tersebut akan menggunakan acuan jeli daripada puiter Royal Selangor yang direka pereka British, Nick Munro.
Katanya, acuan jeli berbentuk kon itu mengambil inspirasi daripada bukit-bukau dan menghidupkan semula tradisi lama dengan gaya moden terkini.
"Peserta bengkel dibuka kepada individu perseorangan, kelab atau persatuan yang membeli acuan jeli ini.
"Royal Selangor akan menderma sebanyak RM100 daripada setiap pembelian acuan jeli yang berharga RM 290," katanya.
Bengkel akan dikendalikan pada setiap hari Sabtu sahaja dan terhad kepada 30 orang peserta.
Para peserta akan dapat mempelajari cara-cara menggunakan acuan tersebut dan juga dihidangkan dengan jamuan minum petang.
Peserta-peserta juga dapat membawa pulang jeli yang dibuat serta acuan jeli yang dibeli.
Dibungkus dalam kotak berwarna merah jambu terang, resipi jeli yang lazat ihsan tukang masak dari merata dunia turut disertakan dalam setiap pembelian.
Antara tukang-tukang masak yang menyumbang resipi jeli mereka adalah Emmanuel Stroobant, Ken Hoh, Yvan Cadiou dan Jean-Pierre Wybauw.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: