Thursday, August 30, 2012

Dalami bidang agama

pix_middle

SEKALIPUN bergiat aktif sebagai anak seni, namun tuntutan agama tidak dilupakan. Memilih tampil dengan imej bertudung, nyata bukan satu halangan untuk dua gadis manis ini terus mendapat perhatian. Itulah nikmat rezeki diperoleh Diana Amir dan bintang Akademi Fantasia 5 (AF5), Heliza Helmi.

Yakin dengan ketentuan Yang Maha Esa, Diana atau nama sebenarnya, Nurdiyana Amir Hashim, 26, mengakui dia kini lebih bersikap memilih skrip yang diterima.

  • Foto

    TETAP LARIS...imej bertudung tidak menghalang Heliza dan Diana aktif dalam bidang seni.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Ujar pelakon filem 7 Petala Cinta itu, bukan dia ‘demand’ tetapi sekadar memastikan watak ditawarkan padanya bersesuaian dengan imej yang kini berhijab.

Diana berkata, apabila sudah berhijab, menjadi kemestian untuk dia bersikap selektif.


Jelasnya, dia tidak mahu main ambil saja watak termasuk antagonis bertudung.

Menurut gadis kelahiran Birmingham, England itu, menjadi tanggungjawabnya menjaga imej sebagai aktres yang kini mengenakan tudung.

“Saya percaya dengan rezeki Allah. Justeru, sekarang saya hanya akan terima tawaran yang difikirkan

sesuai saja. Saya juga takkan menerima watak antagonis bertudung. Bagi saya, apa yang dicari kini adalah keredaan Allah dan atas sebab itu jugalah,
saya membuat keputusan untuk berhijrah dengan memakai hijab.

“Malah, saya juga selesa melakonkan watak yang terhad. Oleh itu, setiap skrip diterima lebih dulu akan diteliti dan jika tidak sesuai, ia bukan rezeki saya. Biarpun lakonan bidang diminati, tetapi tuntutan agama lebih penting. Jadi, karakter yang dilakonkan mestilah sesuai dengan imej saya ketika ini,” katanya.

Masih mempunyai kontrak setahun lagi sebagai residen artis Metrowealth Movies Production Sdn Bhd, Diana menjelaskan, dia masih belum lagi memikirkan sama ada mahu menyambung kontrak baru atau tidak. Bagaimanapun, katanya, dia selesa sepanjang berada di bawah pengurusan artis syarikat itu walaupun kini bertudung.

Bakal muncul dengan filem Salam Cinta di pawagam pada 6 September ini, Diana yang bergandingan dengan Kamal Adli memaklumkan filem itu adalah penampilan pertamanya bertudung.

Dilakonkannya tahun lalu, anak keempat daripada tujuh beradik ini mengharapkan filem yang dilakonkan mendapat sambutan.

Berbicara soal cinta, tanpa berselindung Diana memberitahu dia kini masih sendiri dan menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan.

Katanya, memang dia berkawan dengan ramai orang tetapi perkara berkaitan jodoh ini sukar diramal.

Ujar Diana, dulu dia pernah terfikir tidak berkahwin pun tidak mengapa.

“Namun, tatkala memikirkan mengenai akhirat dan ingin masuk ke syurga, saya ingin menjadi seorang isteri. Apatah lagi, janji Tuhan mudah bagi seseorang wanita itu masuk ke syurga dengan hanya menjadi isteri yang taat kepada suami. Justeru, saya berdoa supaya jodoh akan sampai suatu hari nanti,” katanya.


Tiada saingan bagi Heliza

BAGI Heliza atau nama sebenarnya, Nur Heliza Helmi pula, dia amat bersyukur tatkala melihat semakin ramai artis muda wanita tanah air kini sudah bertudung.

Katanya, perubahan imej berlaku itu tidak pernah dianggap sebagai satu saingan kepada artis yang sudah bertudung seperti dirinya.

Ia hidayah Allah.

“Saya suka melihat semakin ramai artis wanita tanah air sudah bertudung. Bagi saya, ia perkara yang bagus memandangkan Malaysia sebuah negara Islam. Oleh itu, tak pernah pula saya fikirkan soal persaingan kerana sedar semuanya perancangan Allah. Hanya Dia (Allah) mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya.

“Lagi pun, kini setiap hujung minggu kami akan berkumpul mengikuti kelas agama dianjurkan. Justeru, secara tidak langsung ia mengeratkan hubungan silaturahim antara kami. Malah, kelas agama yang terbuka kepada rakan artis dan media ini membuka peluang untuk sama-sama belajar mendalami ilmu agama.

“Pembelajaran agama diajar meliputi aspek pembacaan al-Quran, akidah serta motivasi diri. Kini, seramai 40 rakan artis termasuk saya dan Diana mengikuti kelas agama ini. Malah, kami dibimbing tenaga pengajar bertauliah. Justeru, kepada rakan artis sama ada bertudung atau tidak, boleh turut serta dalam kelas ini,” katanya.

Menurut Heliza, majlis ilmu apatah lagi berkaitan agama memang seronok disertai jika membabitkan ramai orang.

Menurut pengacara program Rasa Halal Antarabangsa itu, walaupun sibuk dengan urusan dunia, persediaan akhirat juga harus diambil kira.

Katanya, mempelajari ilmu agama penting untuk kerohanian manusia.

Menyentuh soal nyanyian dan perniagaan, Heliza Helmi Production Sdn Bhd (HHP) diakui masih diusahakannya. Anak jati Terengganu berusia 26 tahun ini menjelaskan kedua-dua cabang karier itu tetap menjadi pilihan. Ujar Heliza, dia masih aktif dalam nyanyian dan tawaran per�sembahan akan diterima jika ada kelapangan waktu.

“Soal perniagaan saya, syarikat masih lagi beroperasi. Selain HHP, saya juga menguruskan perniagaan perkapalan. Jadi, soal perniagaan itu rasanya tak perlulah ditonjolkan sangat,” katanya yang kini menjadi duta produk minuman Cool Blog serta pernah menjadi pengacara program Man Jadda Wajada musim pertama di TV AlHijrah (TVAH).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: