Lelaki didakwa jual ijazah palsu USM RM540
Lim Chuan Soon dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen.

GEOGETOWN - Seorang daripada tiga suspek yang ditahan pada hujung Jun lalu berhubung kes pemalsuan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM), dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menjual ijazah palsu pada harga RM540.

Lim Chuan Soon, 26, bekas pemilik perniagaan permainan dalam talian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, Chuan Soon itu didakwa menipu Tang Yong Peng, 23, dengan mengambil RM540 sebagai bayaran bagi mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dari USM sedangkan sijil itu tidak sah laku.

Chuan Soon dari Taman Tokai Jaya, Alor Setar, Kedah didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank, I- Avenue Bayan Baru, di sini pada 25 Jun lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Chuan Soon, kerana kes ini melibatkan kepentingan awam.

Chuan Soon yang tidak diwakili peguam memohon agar jumlah itu dikurangkan.

“Saya minta jaminan dikurangkan. Saya daripada keluarga miskin. Kedua ibu-bapa saya meninggal sejak saya kecil lagi. Disebabkan inisiden ini, saya kehilangan kerja, kawan-kawan dan saya tidak ada wang simpanan untuk membayar jaminan tinggi.

“Puan hakim, saya bertanggungjawab ke atas semua pertuduhan dihadapi di mahkamah. Saya bersumpah tidak akan melarikan diri daripada menghadiri prosiding mahkamah. Saya bersedia memberi sepenuh kerjasama sepanjang kes ini dibicarakan. Dengan ini, saya memohon wang jaminan dikurangkan," katanya.

Mengambil kira rayuan itu, Sitarun Nisa kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap Chuan Soon sementara menunggu sebutan semula kes pada 28 September ini.

Sementara itu, difahamkan Chuan Soon menghadapi satu lagi kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk pertuduhan yang sama iaitu menipu Wan Noorhafiza Wan Hussin, 23, dengan mengambil RM14,500 sebagai bayaran mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perakaunan (Kepujian) USM sedangkan ia tidak sah laku.