SEOUL, Korea Selatan- Taufan Bolaven membadai negara ini dengan angin kencang dan hujan lebat semalam sehingga menyebabkan dua buah bot karam selepas melanggar batu serta membunuh sekurang-kurangnya lima orang nelayan.
Pasukan penyelamat berjaya menyelamat 12 orang nelayan dan masih mencari sepuluh lagi yang hilang daripada bot yang rosak akibat terhempas pada batu di selatan Pulau Jeju. Ombak yang ganas membuatkan kapal pasukan penyelamat sukar untuk menghampiri bot nelayan tersebut.
Jurucakap pengawal pantai, Ko Chang-keon memberitahu, pihaknya menggunakan senapang khas untuk menembak tali kepada salah sebuah kapal bagi membolehkan mereka menunda kapal itu ke tepi pantai. Hasilnya, seramai 18 orang nelayan berjaya diselamatkan.
Menurut seorang pegawai bencana dan kebakaran, sebuah kotak besar menghempap mati seorang penjaga bangunan. Sementara seorang wanita terjatuh dari bumbung rumahnya dan mangsa ketiga maut selepas terkena seketul bata.
Taufan Bolaven juga menyebabkan lebih 15,000 buah sekolah terpaksa ditutup, lebih 330,000 penduduk bergelap dan 70 keluarga tinggal sehelai sepinggang kerana kediaman mereka musnah dalam banjir atau ribut tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: