PETALING JAYA: Impak 55 tahun kemerdekaan Malaysia dapat dilihat dengan jelas bukan sahaja pada pembangunan ekonomi dan sosial negara, malah turut dirasai segenap warga seni tanah air.
Bersempena sambutan hari kemerdekaan yang bertemakan Janji Ditepati pada Jumaat, mStar Online mendapatkan pandangan beberapa anak seni yang lahir pada zaman berbeza mengenai kebebasan dan perubahan yang dikecapi mereka dalam bidang kreatif.
Bintang filem veteran Datuk Aziz Sattar, 87, berkata, angka 55 yang melambangkan tempoh kemerdekaan negara adalah nombor keramat yang memberikan petanda baik kepada perpaduan dan kemakmuran.
“Kalau kita tengok angka 55 itu seperti simbolik kepada lima rukun Islam dan rukun negara. Apabila dua angka lima itu bergabung, ia seolah-olah memberikan hikmah baik kepada kebebasan dan perpaduan yang berterusan kepada Malaysia.
“Namun, apa yang penting adalah kita tidak kira generasi lama atau baru harus menghargai jasa pemimpin-pemimpin kita kerana pengorbanan dan jerih-perih merekalah membolehkan kita hidup dalam persekitaran yang majmuk, aman dan maju pada hari ini,” katanya.
Berkongsi pengalamannya berhubung perkembangan industri perfileman daripada era hitam putih hingga hari ini, Aziz berkata, karyawan seni perlu memanfaatkan kemudahan dan kemajuan teknologi bagi menghasilkan filem lebih berkualiti dan beridentitikan budaya bangsa.
“Dulu, filem kita disanjung tinggi kerana cerita dan kandungan yang mengangkat budaya hingga meninggalkan impak dari generasi ke generasi walaupun ia diterbitkan dalam kekangan modal dan teknologi.
“Maka, kelebihan teknologi dan kemudahan yang dimiliki anak seni hari ini wajar dimanfaatkan untuk membuat filem-filem yang lebih baik tetapi tidak melupakan identiti bangsa,” katanya.
Seniwati Latifah Omar, 74, pula menganggap anak seni pada hari ini amat bertuah kerana tidak merasai kesulitan dan pahit getir dialami penggiat seni pada zaman dahulu.
“Generasi seni pada hari ini cukup bertuah kerana hidup dalam kemewahan dan kebebasan. Mereka dapat bergerak dan berkarya dengan mudah serta dilimpahi pelbagai kemudahan.
“Saya masih ingat ketika awal pembabitan saya dalam bidang seni pada 1954, kami terpaksa menyorok dan berhati-hati untuk bergerak ke merata tempat untuk persembahan pentas.
“Kalau ada pun kesusahan dirasai generasi hari ini, ia tidak sesukar mana berbanding pada era sebelum dan 10 tahun selepas merdeka. Jadi, hargailah kemerdekaan ini agar ia berkekalan,” katanya yang kini menderita akibat penyakit ulser yang kronik.
Pengarah filem Saw Teong Hin, 50, pula berkata, industri perfileman semakin merdeka dan bebas beberapa tahun kebelakangan ini dengan penghasilan lebih banyak filem Cina dan India tempatan.
“Saya dapat rasai industri filem kita semakin bebas dan merdeka apabila ramai penggiat seni berani untuk menyertai pasaran. Ia adalah perkembangan yang baik dan semoga ia berkembang dan menjadi satu trend untuk masa akan datang,” katanya.
Pengarah filem kontroversi Tanda Putera iaitu Datin Paduka Shuhaimi Baba pula berkata, kemerdekaan ini turut dilihat pada pemikiran dan sikap warga industri seni tanah air yang kian terbuka.
“Banyak perubahan dapat kita lihat saban tahun pada industri seni kita. Warga seni makin bebas berkarya dan banyak bantuan dan sokongan diberikan khususnya di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Apa yang warga seni kecapi hari ini adalah hasil peninggalan karyawan terdahulu. Kami sebagai penggiat hari ini juga perlu terus mengembangkan industri untuk diwariskan kepada generasi akan datang juga,” katanya.
Merdekakan minda
Aktor popular Shaheizy Sam, 30, berkata, generasi seni pada hari ini bertuah kerana hidup dalam era yang selesa dan bebas. Justeru itu, katanya, generasi muda harus memerdekakan diri dalam segenap aspek agar kebebasan itu dicapai secara mutlak.
“Para artis pada hari ini bertuah apabila dapat berkarya dengan bebas dan tenteram dengan segala macam kemudahan dan kemewahan di sekeliling. Namun, kita tidak akan cukup merdeka jika pemikiran dan minda tidak bebas dan terbuka.
“Sebagai penggiat, kita perlu memerdekakan minda dan sikap sendiri terlebih dahulu sebelum berkongsi kerja kita dengan khalayak. Merdeka bukan sahaja dapat berkarya secara bebas tetapi minda terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan khalayak terhadap kerja kita,” katanya.
Pelakon baru Natashasheila Abdul Razak, 25, atau Tasha berkata, impak kemerdekaan dapat dilihat pada perkembangan golongan karyawan muda yang semakin menonjol ke hadapan.
“Seperkara yang menarik mengenai perkembangan industri seni kita dengan kemajuan negara adalah lebih ramai generasi muda turut serta, mengambil tahu dan menonjol dalam pelbagai aspek termasuklah bidang seni.
“Kalau kita lihat pada hari ini, lebih ramai pengarah, pelakon dan penyanyi muda seperti Syamsul Yusof, Pierre Andre, Najwa Latif dan Yuna menonjol dalam cabang masing-masing.
“Ini membuktikan generasi hari ini mempunyai daya saing yang tinggi untuk mencapai kemajuan dalam kerja mereka seiring dengan kemudahan, kesenangan dan teknologi di sekeliling kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: