SUASANA nampak begitu tenang. Di atas tanah berkeluasan lebih tiga ekar itu terletak rumah, asrama dan surau yang jaraknya tidak lebih daripada 20 tapak saja antara satu lokasi ke lokasi lain.
Pandangansaujana mata memandang dipenuhi kehijauan tanam-tanaman yang diserikan dengan bunyi dari binatang ternakan. Ia laksana keindahan desa nan permai.
Ada ruang bercucuk tanam dan halwa telinganya adalah dari alunan zikir dan bacaan al-Quran daripada pelajar Maahad Tahfiz yang dijemput ke surau tersebut, cukup mendamaikan.
Usai laungan azan, kumpulan warga emas berpusu-pusu berjalan ke surau. Yang lelaki dengan berkain pelekat, baju-T dan berkopiah. Yang perempuan pula berjubah tudung dan membimbit beg telekung masing-masing.
Keceriaan terpancar pada wajah mereka, berkawan dan bersemangat menambah akaun ibadah di hujung usia.
Mungkin itu pemandangan yang biasa di kampung-kampung. Tapi bagi warga emas yang tidak lagi duduk di kampung atas pelbagai alasan yang tidak dapat dielakkan, itu yang mungkin mereka idamkan.
Namun apakan daya, hutan batu yang menjadi pemandangan. Hajat di hati terpaksa dipendam, rutin harian mungkin hanya mengadap cucu atau televisyen tanpa pengisian kerohanian secukupnya.
Pemandangan indah yang diceritakan di atas bukanlah khayalan. Sebaliknya ia realiti di pusat tarbiah dan rumah rehat warga emas Warisan Kaseh.
Dikenali sebagai Rumah Warisan Kaseh, ia terletak di Kompleks Darul Maghfiroh Jilul Marzuki di Kampung Sungai Kelambu, Banting, Selangor.
Ia melakar kelainan daripada kebiasaan rumah orang tua di negara ini apabila penghuninya adalah mereka yang datang secara sukarela.
Apa yang dilakukan oleh pengasas Rumah Warisan Kaseh, Masrukhin Marzoki, bukanlah seperti kebanyakan rumah orang tua lain kerana auranya lebih positif dengan konsep seakan kem motivasi tetapi bukan untuk pelajar sekolah sebaliknya untuk warga emas.
Tanggapan atau andaian sesetengah pihak bahawa rumah ini menempatkan warga emas yang terpinggir, disingkir atau dibuang anak-anak atau ahli keluarga yang lain memang tidak benar.
Warga emas yang datang ke sini adalah secara sukarela, bersama-sama rakan seusia menghabiskan masa dan usia yang berbaki dalam suasana lebih kondusif dan selesa," ujar Masrukhin yang ditemui di kediamannya yang juga terletak di dalam Kompleks Darul Maghfiroh, baru-baru ini.
Keselesaan yang dimaksudkan Masrukhin ialah menikmati suasana kampung yang masih kekal dengan kehijauan alam, bercucuk tanam, berjiran dengan orang-orang kampung, ke surau untuk solat berjemaah dan saling berkongsi cerita dengan rakan seusia.
Masrukhin berkata, kenyataannya bila usia semakin meningkat kesibukan anak-anak mencari sumber pendapatan dan tuntutan keluarga sendiri ada kalanya menyebabkan ibu bapa terasa seakan disingkir walaupun bukanlah niat anak-anak mereka untuk melakukan sebegitu.
Cuma ada ketikanya si anak terlepas pandang kebajikan ibu bapa yang bukan sekadar mengharap anak-anak memberi perlindungan tempat tinggal tetapi kasih sayang dan perhatian juga diperlukan.
Alasan keduniaan sering menjadikan sesetengah anak lupa kepada jasa dan pengorbanan ibu bapa menyebabkan ada yang berkecil hati dan mahu keluar dari rumah anak-anak untuk mencari ketenangan di hujung usia," ujar Masrukhin yang telah menubuhkan kompleks tersebut sejak setahun lalu.
Masrukhin bagaimanapun menegaskan persepsi sesetengah pihak bahawa dia telah mengambil peranan serta tanggung jawab yang sepatutnya dilakukan oleh anak-anak kepada ibu bapa masing-masing juga kurang tepat.
Yang saya sediakan ini bukan sama sekali mengambil tanggungjawab anak. Cuma apa yang saya buat ialah untuk bagi refresh, berkongsi dan menguntungkan kedua belah pihak ibu bapa dan anak. Bayangkan anak boleh pergi kerja dengan tenang dan ibu atau bapa pula gembira dapat beribadat dan berkawan dalam suasana selamat.
Janganlah ada persepsi negatif, kerana apa yang dilakukan ini berniat baik sebenarnya. Bolehlah juga kalau nak dikatakan seperti menghantar ibu bapa ke tadika orang tua," katanya.
Katanya, Warisan Kaseh amat mengalu-alukan kedatangan warga emas yang mahu kekal tinggal di sana atau datang secara berkala iaitu mereka boleh pulang ke rumah sendiri atau diambil anak-anak pada bila-bila masa sahaja.
Dalam bulan Ramadan yang lalu, ramai anak-anak yang mengambil kesempatan untuk berbuka dan merasai sendiri suasana di kompleks ini.
Mereka duduk di homestay dan dapat bersama dengan ibu bapa masing-masing dalam suasana yang harmoni.
Waktu petang mereka keluar bersama berjalan di tepi pantai berhampiran dan malam kembali ke asrama.
Ada juga yang menjemput ibu bapa untuk berbuka di rumah dan ibu bapa boleh pilih bila-bila masa saja untuk kembali ke asrama," jelas Masrukhin.
Bagaimanapun kenyataannya masih ramai ibu bapa yang tidak dapat menikmati ibadat terutama dalam bulan Ramadan seperti yang mereka inginkan.
Kekangan waktu dan kesibukan anak-anak sering menjadi penghalang, namun itu tidak bermakna warga emas terus berada dalam tekanan dan sering memikirkan nasib diri.
Memang tidak dinafikan setelah bersembang dengan beberapa warga emas, mereka mahukan suasana riuh rendah di meja makan, namun apakan daya golongan muda mempunyai komitmen masing-masing.
Kami di Warisan Kaseh memberi ruang kepada sesiapa sahaja yang berhajat untuk sama-sama membuat amal dengan menyediakan tempat kepada golongan warga emas yang tinggal bersendirian atau anak-anak mempunyai masalah alasan yang kukuh untuk menghantar ibu bapa mereka ke sini.
Boleh dikatakan semua warga emas yang pernah tinggal di sini merasa seronok kerana mereka dapat bersama rakan sebaya menjalani ibadat khusus, solat berjemaah, mengulangkaji pelajaran fardu ain, bertadarus al-Quran dan lain-lain aktiviti yang sesuai dalam sebuah keluarga besar penuh santai dan tenang," ujar Masrukhin.
Bagi penghuni wanita yang mahu masak sendiri, mereka mempunyai dapur sendiri lengkap dengan bahan untuk mereka masak.
Namun jika mereka tidak mahu masak, kompleks ini telah menyediakan pembantu yang akan memasak, mencuci pakaian serta mengemas bilik mereka.
Boleh dikatakan kompleks ini sebagai terapi kepada warga emas. Ramai juga yang menghidap penyakit kronik semakin ceria dan penyakit mereka juga terkawal kerana mereka gembira dan tidak stres. , Itulah motivasinya.
Mengurus orang tua ini bukan hanya memerlukan kesabaran tapi perlu kreatif dan jangan terlalu banyak komunikasi," jelasnya yang memberitahu paling lama warga emas tinggal di situ selama tiga minggu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: