|
“AIDILFITRI itu sempurna apabila ia diraikan dengan seisi keluarga dan orang tersayang. Bonusnya, ia diraikan di kampung halaman. Itu definisi raya sempurna buat saya,” ujar bintang terkenal Erra Fazira saat membuka bicara tentang sambutan hari raya.
Ada semangat luar biasa yang dikesan saat Erra berbicara tentang raya, terutama apabila berkaitan dengan soal keluarga.
Biar kehidupan rumah tangganya kini begitu heboh diperkatakan tentang kerukunannya, Erra tidak menjadikan ia sebagai satu halangan untuk meraikan lebaran sebaik mungkin.
Sebagai seorang wanita dewasa dan cukup matang dengan sepak terajang dunia hiburan, beliau meledani setiap isu dengan senyuman. Sudah lali, begitu tambah Erra lagi.
Justeru saat seluruh umat Islam di dunia bergembira meraikan bulan kemenangan, mengapa beliau perlu berduka hanya kerana menjeruk rasa dengan badai rumah tangga yang melanda?
“Saya meraikan Syawal seperti biasa. Perkara wajib setiap kali Syawal adalah memastikan semua kelengkapan raya keluarga saya cukup. Itu telah menjadi tanggungjawab saya sejak bujang dan ia telah menjadi satu kelaziman buat saya setiap kali raya,” ujarnya tenang.
Bercerita lebih lanjut tentang hari bahagia ini, Erra yang ditanya mengenai perkara paling menyentuh hatinya saat Syawal menjelma memberitahu ia berkaitan dengan keluarga.
Ujarnya: “Dulu, waktu kecil, setiap kali raya menjelma, saya akan tersentuh hati apabila mengenangkan saya tidak lahir dalam keluarga yang besar.
|
|
“Ini kerana pada pendapat saya, raya itu meriah apabila kita punya keluarga besar yang berkumpul beramai-ramai. Namun, perasaan itu hilang apabila saya meningkat dewasa kerana apabila usia meningkat, saya sudah melihat raya dari sisi yang lebih matang. Ia lebih kepada tanggungjawab.”
Ditanya pula tentang trend masa kini segelintir keluarga yang keluar melancong pada hari lebaran, ringkas ibu kepada Engku Aleesya Engku Emran ini menjawab: “Raya itu di hati, bukan pada fizikal.”
Bintang yang memulakan karier sebagai model sebelum meledak naik sebagai penyanyi dan pelakon itu kemudian menjelaskan, beliau tidak boleh memberi penilaian terhadap mereka yang melancong pada hari raya. Ia merupakan keputusan masing-masing dengan alasan tersendiri.
“Asalkan mereka meraikan raya dengan melancong bersama keluarga, saya kira itu sudah sempurna. Tapi bagi saya sendiri, raya yang meriah adalah dengan pulang ke kampung halaman,” katanya lagi.
Risau
Dalam kesibukan menikmati Syawal, jiwa Erra sebenarnya sedang gundah dan berkecamuk. Masakan tidak, kurang tempoh dua minggu, beliau akan kembali ke pentas teater untuk menjelma sebagai Tun Dr. Siti Hasmah menerusi Teater Tun Hasmah yang mula dipentaskan pada 31 Ogos ini.
|
|
Ada alasan yang munasabah beliau gelisah. Ini kerana, pada saat akhir, pengarah asal teater tersebut, Adlin Aman Ramlie menarik diri dan tempatnya digantikan oleh pengarah Erma Fatima.
“Apabila pengarah bertukar, maka skripnya juga berubah mengikut acuan pengarah baharu. Sebagai pelakon yang bukan lahir daripada pentas teater, saya gusar tidak dapat merealisasikan watak ini dengan baik kerana kami kekurangan waktu untuk berlatih.
“Bagaimanapun, sebagai seorang yang profesional, saya akan berusaha sehabis baik untuk memberi persembahan yang memuaskan hati semua pihak,” ikrar Erra.
Sementelah gelisah dengan perjalanan teater yang bakal bermula, Erra tetap punya alasan untuk tersenyum apabila beliau masih menjadi pemanis kaca televisyen menerusi beberapa telemovie dan program yang membabitkan dirinya.
Antaranya termasuk kesinambungan telemovie Hantu Susu dan Pontianak Kampung Batu serta sebuah program khas, Eh! Eh! Raya Erra yang ditayangkan di saluran Astro Prima.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: