Tautan cinta yang terjalin antara pendatang baru, Hanez Suraya dan Awi Rafael sudah pun diketahui umum.
Meskipun usia hubungan mereka dianggap masih muda, namun baik Hanez mahupun Awi, mula merasakan keserasian antara mereka semakin tercipta.
Tambahan pula, kedua-duanya sudah dibawa berjumpa dengan keluarga masing-masing.
Kata orang, apabila sudah melibatkan keluarga, maka hubungan yang tercipta benar-benar serius.
Bersempena sambutan hari raya ini, baik Hanez dan Awi, tidak menafikan teruja dapat beraya bersama pertama kali sebagai pasangan kekasih.
Tambah menarik lagi, hubungan mereka direstui oleh keluarga masing-masing meskipun pada awal percintaan, timbul kontroversi yang membabitkan pelantun lagu Bila Aku Jatuh Cinta ini.
Justeru itu, dengan mengambil keberkatan Aidilfitri, Awi bakal berkunjung ke rumah keluarga Hanez di Kuala Pilah pada hari raya keempat.
Menurut Hanez, mengikut perancangan yang dibuat oleh mereka bersama, Awi bakal datang beraya bersama keluarganya di rumah keluarga Hanez.
Tidak menafikan rasa gemuruh menanti kedatangan kekasih hatinya itu, pelakon berusia 27 tahun ini berkata, pertemuan ini bakal menyaksikan buat pertama kali keluarganya bertemu dengan keluarga Awi.
“Sebelum ini, keluarga kami tidak pernah bertemu. Cuma selalunya Hanez akan berkunjung ke rumah keluarga Awi ataupun Awi yang akan berkunjung ke rumah famili Hanez.
“Jadi, raya kali ini kira pertemuan dua buah keluarga, namun tidaklah sampai membincangkan hal-hal lain, hanya sesi perkenalan antara mereka,” katanya yang menafikan ada sebarang rombongan merisik datang ke rumahnya nanti.
Rapat dengan emak Awi: Hanez
Tidak kekok melihat pertemuan dua keluarga, Hanez memberitahu, dia memang rapat dan sudah biasa dengan keluarga Awi.
Menurutnya, sebelum ini dia telah beberapa kali bertemu dengan emak kekasih hatinya itu.
“Emak Awi rajin turun ke Kuala Lumpur melawat Awi dan ketika itu kami telah bertemu beberapa kali.
Malah, kadangkala saya juga datang ke rumah mereka di Singapura.
“Jadi tidak timbul rasa kekok semasa mereka datang beraya di rumah keluarga Hanez nanti. Malah, emak Awi juga melayan Hanez dengan baik dan sering menjamu Hanez makanan istimewa di Singapura jika Hanez berkunjung ke sana,” katanya.
Dalam pada itu, Hanez berkata, jika keluarga Awi tidak dapat datang ke rumahnya, mereka juga mempunyai perancangan lain.
“Ikutkan perancangan awal, Awi akan datang ke rumah famili Hanez ataupun Awi akan mengambil Hanez dan keluarga pergi ke Singapura.
"Insya-Allah Awi akan datang raya keempat yang kebetulan jatuh pada hari lahir saya," katanya sambil memuji Awi bijak mengambil hati keluarganya.
Berbaju sedondon: Awi Rafael
Seperti pasangan bercinta lain, pertama kali menyambut raya sebagai kekasih pastinya masing-masing menyimpan hasrat memakai baju sedondon menyambut hari raya.
Tidak terkecuali menyimpan hasrat sebegitu, Awi berkata, pada mulanya mereka ada sedikit bertelagah memilih warna baju raya kerana warna kegemaran masing-masing adalah berbeza.
“Awi ada cadangkan baju warna biru kepada Hanez. Semasa awal bulan puasa, Awi ada sesi penggambaran foto dan ketika itu Awi pakai baju Melayu warna emas.
“Jadi Awi cadangkan kepada Hanez dua warna itu tetapi Hanez lebih suka warna oren. Awi ikut sahaja cadangan Hanez,” katanya sambil memberitahu kriteria Hanez yang begitu mengambil
berat membuatkannya terpaut hati.
Saat ditanya mengenai perancangan hubungan mereka, Awi berkata, masing-masing ingin menumpukan kepada karier dahulu.
“Buat masa ini biarlah kami cuba mengenali hati budi masing-masing.
Kami ada berbincang mengenai hal ini, Awi pun sudah katakan kepada Hanez supaya beri Awi tempoh, paling lama dua tahun untuk mengikat hubungan kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: