Monday, August 27, 2012

penamat misi 7 puncak

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin (tiga dari kanan) bersama peserta ekspidisi Malaysia di puncak Gunung Elbrus.

MISI mendaki tujuh puncak tertinggi di tujuh benua bukanlah satu misi yang mudah untuk diselesaikan. Pelbagai cabaran dan pengorbanan terpaksa dilakukan demi merealisasikan matlamat yang telah ditetapkan.

Bukan kerana mahu menonjolkan diri, sebaliknya sekadar mahu mengharumkan nama negara tercinta, Malaysia. Itulah yang dilakukan oleh pendaki negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, 30.

"Apa yang saya lakukan ini adalah untuk negara. Saya bersyukur kerana tugas untuk mengharumkan nama negara melalui ekspedisi ini berakhir dengan kejayaan," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Jun lalu.

Beliau menamatkan misi terakhir Ekspedisi 7 Puncak 7 Benua 7 Nilai dengan menawan puncak tertinggi di benua Eropah, Gunung Elbrus yang terletak di Banjaran Caucasus dalam wilayah Kabardino-Balkaria dan Karachay-Cherkessia, bersempadan dengan negara Georgia.

Dalam misi terakhir di Gunung Elbrus, Qobin berjaya menakluk gunung yang mempunyai ketinggian 5,642.7 meter dari paras laut dengan suhu 25 darjah celsius di bawah paras beku itu pada pukul 2.45 petang, 13 Jun lalu.

Misi menakluk tujuh puncak itu bermula pada 2004 dengan yang pertama adalah Gunung Everest yang merupakan gunung tertinggi di Asia dan dunia.

Setelah menempuh pelbagai rintangan terutama dari segi penajaan, Qobin berjaya menyelesaikan pendakian lima puncak lain dalam tempoh dua tahun, iaitu dari 2010 hingga 2011.

Lima gunung tersebut adalah Kosciuszko (tertinggi di Australia); Kilimanjaro (tertinggi di Afrika); Vinson Massif (tertinggi di Antartika), Aconcagua (tertinggi di Amerika Selatan) dan McKinley (tertinggi di Amerika Utara).

Manakala Elbrus merupakan gunung terakhir yang berjaya ditakluk bagi melengkapkan pendakian ke tujuh puncak itu pada 13 Jun.

Qobin ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, beliau sengaja membawa pendaki pengiring dalam ekspedisi mendaki Gunung Elbrus bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia meraih cabaran mendaki gunung di luar negara.

"Saya mahu membimbing lebih ramai pendaki terutama generasi muda dalam aktiviti mendaki gunung khususnya di luar negara.

"Ini kerana mungkin ramai yang berminat mendaki gunung tetapi tidak tahu bagaimana mahu menyertai aktiviti tersebut.

"Jadi, menerusi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B), dapatlah mereka peluang tersebut," katanya yang kini dalam misi melahirkan anak-anak Felda sebagai pendaki bertaraf dunia.

Menceritakan pendakian ke Gunung Elbrus, katanya, sebanyak 19 pendaki terlibat dalam misi tersebut tetapi hanya 16 melakukan asakan terakhir ke puncak.

Tiga pendaki lain terpaksa direhatkan di tapak perkhemahan Barrels Hut kerana masalah mabuk gunung (AMS) dan tidak sihat.

"Daripada 16 pendaki tersebut, hanya lapan berjaya menjejakkan kaki ke puncak Elbrus. Yang lain terpaksa berpatah balik kerana tidak mampu meneruskan pendakian.

"Walaupun mereka berpatah balik, hakikatnya kesemua pendaki dalam ekspedisi ini telah mencuba yang terbaik," katanya yang tidak menafikan faktor kurang pengalaman termasuk kurang mahir dalam teknik berjalan di laluan bersalji menjadi antara sebab pendaki terbabit berpatah balik.

Katanya, walaupun pendakian di gunung itu tidak memerlukan kemahiran teknikal seperti pendakian Gunung Everest atau McKinley, namun ia tetap mencabar.

"Sebab itulah kami mengambil waktu yang lama untuk tiba di puncak iaitu sekitar 11 jam," ujarnya yang selamat tiba di Barrels Hut pada pukul 8 malam.

Barrels Hut adalah bilik penginapan di ketinggian 4,157 meter.

Mengimbas semula pendakian tersebut, katanya beliau berada di dalam kumpulan pertama dan menaiki trak khas yang dikenali sebagai Row Truck dari Barrels Hut ke tempat mula mendaki di Pashtukov Rocks di ketinggian 4,700 meter.

"Kami mula mendaki pada pukul 3.30 pagi. Hampir satu jam mendaki, trak yang membawa kumpulan berikutnya telah menurunkan pendaki kumpulan kedua di kawasan yang lebih tinggi, sekali gus membolehkan mereka mendaki bersama kami tanpa tertinggal di belakang," ujarnya.

Tuah juga menyebelahi Qobin kerana cuaca amat baik dengan tiupan angin hanya 10 kilometer sejam.

"Ikut jadual, kami akan melakukan asakan terakhir ke puncak pada 15 Jun. Tetapi ramalan cuaca menunjukkan cuaca tidak elok, berkabus dan angin kencang pada tarikh tersebut.

"Mahu tak mahu, saya tekad melakukan pendakian dua hari lebih awal walaupun masih penat kerana tidak sempat berehat selepas beberapa hari melakukan aktiviti penyesuaian iklim di Gunung Cheget, Gunung Terskol dan Pashtukov Rock," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: