Monday, August 27, 2012

Semuanya indah di New Zealand

Pemandangan indah di New Zealand selatan.

MELANCONG bersama keluarga adalah saatpaling gembira. Baru-baru ini kami berpeluang ke New Zealand selatan selama sembilan hari.

Pesawat yang membawa kami, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch pukul 2.30 petang waktu tempatan.

Di luar bangunan terminal, anak sulung saya Nur Suhaili sedia menunggu. Dia di sana selama enam bulan bekerja sambil bercuti dan dialah yang mengurus dan mengaturkan lawatan kami.

Kemudian kami ke pejabat sewa kereta yang terletak di Ivan Crescent Christchurch, dua minit perjalanan dari lapangan terbang.

Kami tidak bermalam di Christchurch kerana bandar itu sering dilanda gempa bumi sebaliknya memilih bermalam di Nelson.

Dalam perjalanan, kami singgah di Kaikoura - 114 km dari Christchurch - pekan kecil di tepi laut, terkenal dengan aktiviti melihat ikan paus dan memancing.

Kami sampai di Nelson pukul 12 malam dan terus ke tempat penginapan Youth Hostel Association (YHA) Nelson. Pagi itu selepas bersiar seketika, kami meninggalkan Nelson dan ke destinasi seterusnya - Fran Josef.

Kami singgah di bandar Motueka yang terpilih sebagai bandar terbaik 2010. Semasa musim panas di New Zealand, pukul 9 malam suasana masih terang dan kami terus memandu sehingga cuaca gelap.

Kami sampai di YHA Fran Josef pukul 11 malam. Selepas sarapan pagi, kami bertolak ke pejabat fox glacier - aktiviti pertama kami.

Kami dibawa dengan bas ke glacier untuk pendakian. Aktiviti mengambil masa setengah hari dan diberikan sijil penyertaan.

Sewaktu hendak meninggalkan Fran Josef, kami disaran supaya mengisi penuh tangki kereta kerana sepanjang perjalanan ke Queenstown tidak terdapat stesen minyak.

Kami sampai di Queenstown lebih kurang pukul 10 malam. Di sini terdapat banyak aktiviti sukan ekstrem seperti bungy jump di Kawarau Bridge, jetboting, menaiki belon, sky diving, rafting dan horse riding.

Kami menghabiskan masa dua hari. Nur Suhaili sempat melakukan bungy jump dan sky diving pada ketinggian 15,000 kaki.

Hari kedua di Queenstown kami melawat Milford Sound, tempat ini telah dipilih sebagai sebahagian lokasi penggambaran filem Lord of the Rings dan patut dilawati.

Sambil melihat pemandangan, pelancong boleh menikmati kopi yang disediakan oleh Jucy Cruize Milford Sound.

Dalam perjalanan balik ke Queenstown, kami singgah di Mirror Lake, yang airnya sangat jernih hingga gumpalan awan di langit terpantul kelihatan seperti kapas.

Kami singgah di Wanaka dan melawat Stuart Landsboroughs Puzzling World.

Tempatnya sangat unik dan menarik, sesuai untuk semua peringkat umur, bangsa dan jantina. Terdapat meja dengan pelbagai permainan puzzle untuk dicuba dan bilik illusi dengan tema tersendiri. Tempat ini wajib dilawati sekiranya ke New Zealand selatan.

Sejurus tiba di Queenstown, kami membeli-belah cenderamata untuk keluarga dan rakan di Malaysia kerana esoknya akan ke destinasi seterusnya.

Awal pagi, kami menuju ke Dunedin dan singgah di Invercagill iaitu ibu negeri Southland dan pusat ekonomi paling selatan.

Kami melalui Fortrose dan berhenti sebentar menikmati panorama indah matahari terbenam dan pada masa sama bulan kelihatan di angkasa. Satu keajaiban yang tidak pernah dilihat.

Kami tiba di Dunedin pukul 12 malam. Esoknya, awal pagi kami meninjau bandar Dunedin. Di sini banyak tempat menarik tetapi kerana mengejar masa, kami melawat beberapa tempat sahaja.

Dari Dunedin kami melalui Timaru untuk bermalam di YHA Lake Tekapo. Seperti tasik lain yang banyak terdapat di New Zealand selatan, ia sangat cantik dengan air kebiruan. Terdapat juga trek untuk berbasikal dan beriadah.

Awal pagi kami meninggalkan YHA Lake Tekapo ke Mount Cook, salah satu destinasi pelancongan yang mesti dilawati. Ia terletak di Daerah Mackenzie dengan ketinggian 3,754 dari aras laut. Di sana kami bermalam di YHA Authur Pass.

Pukul 12 tengah hari waktu tempatan, kami sekeluarga berlepas pulang ke Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch, membawa kenangan indah bercuti di New Zealand selatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: