Sunday, August 26, 2012

Manfaat mangga lebam


SNEK vitamin A yang dihasilkan kumpulan siswazah UPM ini meraih tempat pertama dalam pertandingan peringkat antarabangsa di Amerika Syarikat Jun lalu.


CUACA panas dan kering kontang yang melanda Kenya selama tujuh bulan dalam setahun menyebabkan pengeluaran makanan di negara itu tidak berupaya menampung keperluan rakyatnya sepanjang tahun.

Selain mengakibatkan fenomena kebuluran, lebih 43 juta penduduk negara itu turut berdepan dengan masalah kekurangan zat dan vitamin.

Menurut Ketua Bahagian Pemakanan di Kementerian Kesihatan Awam dan Sanitasi Kenya, Terry Wefwafwa, 85 peratus daripada lebih tujuh juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun di negara itu mengalami masalah kekurangan mikronutrien.

“Setiap kali musim kemarau, tanah menjadi kering kontang dan pengeluaran hasil pertanian merosot teruk.

“Di kawasan pedalaman yang penduduknya bergantung sepenuhnya kepada hasil pertanian, mereka terdedah kepada risiko kebuluran dan kekurangan vitamin semula jadi seperti iodin, zink dan vitamin A.

Murah dan mudah

“Akibatnya, setiap bayi dan kanak-kanak mempunyai risiko cacat semasa dilahirkan, terencat akal, pertumbuhan terbantut, lemah sistem imun dan buta,” jelas Wefwafwa yang turut memberitahu, 54 peratus kanak-kanak berusia kurang daripada lima tahun meninggal dunia disebabkan kekurangan nutrisi di negaranya.

Kedaifan dan kemelaratan yang berlaku di Kenya ini bagaimanapun telah mencetuskan ilham kepada sekumpulan enam siswazah Sarjana Sains dan Doktor Falsafah Pengajian Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menghasilkan snek berasaskan vitamin A menggunakan isi mangga yang dikeringkan.

Menurut ketua kumpulan siswazah terbabit, Sew Chang Chew, 25, penemuan isi mangga yang dinamakan Vit-A-Go itu berupaya membantu mengatasi masalah kekurangan vitamin A dalam kalangan kanak-kanak di Kenya bahkan penghasilannya juga mudah dan murah.

“Kami memilih untuk menghasilkan produk ini kerana kos pengeluarannya yang rendah.

“Di Kenya, mereka memiliki lambakan buah mangga terbuang sehingga 90,000 tan setahun.

“Melihat kepada sumber yang mereka ada, timbul idea untuk menghasilkan Vit-A-Go.

“Selain dapat mengurangkan pembaziran buah mangga, ia juga membantu mengurangkan masalah kekurangan vitamin A di negara itu,” ujarnya semasa ditemui di UPM baru-baru ini.

Dengan menggunakan mangga lebam sebagai ramuan utama, buah akan diasingkan mengikut tahap kematangan sebelum isinya dikisar tanpa ditambah air sehingga menjadi puri.

“Ia kemudian dicampur dengan ramuan lain seperti gula dan asid sitrik sebelum dikeringkan selama dua jam menggunakan ketuhar sehingga menjadi kepingan isi mangga.

“Selepas itu, ia sudah boleh dimakan,” kata Chang Chew yang memberitahu, kandungan Vit-A-Go yang kaya dengan vitamin A boleh dipelihara dan dikekalkan menerusi cara penyimpanan yang betul.

Tempat pertama

Isi mangga itu boleh disimpan sehingga sembilan bulan dalam suhu bilik dan dijangka mampu bertahan lebih lama jika disimpan di dalam ruang sejuk dingin seperti peti sejuk.

Menurut rakan sepasukannya, Najlah Gooda Sahib, 27, kaedah terbaik untuk mengagihkan Vit-A-Go ialah dengan membungkusnya di dalam pek 100 gram dan diedarkan kepada pelajar sekolah rendah di pedalaman Kenya.

“Sebungkus Vit-A-Go seberat 100 gram cukup untuk keperluan harian kanak-kanak.

“Melihat kepada sumber yang mereka ada dan kos penghasilan kurang daripada 30 sen sebungkus, ia memang satu penyelesaian terbaik yang murah,” ujar Najla.

Ciptaan kumpulan yang turut disertai Mohd. Asraf Mohd. Zainudin, 25, Kuan Chee Hao, 25, Tan Tai Boon, 25, dan Lasekan Adeseye, 29, yang merupakan warganegara Kenya ini turut dipertandingkan ke peringkat antarabangsa.

Pada 28 Jun lalu, mereka berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan Developing Solutions for Developing Countries anjuran Persatuan Pelajar Institut Teknologi Makanan (IFTSA) di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat.

“Kami tidak menyangka hasil penyelidikan menggunakan mangga lebam telah berjaya mengetepikan saingan 29 pasukan lain dari seluruh dunia.

“Kami hanya mengambil tempoh enam bulan untuk membuat penyelidikan bermula November 2011 hingga Jun lalu,” kata Chang Chew yang mempelawa mana-mana pemain industri ataupun pelabur yang berminat menjalin kerjasama untuk mengetengahkan Vit-A-Go ke pasaran yang lebih besar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: