
SEGAK berbaju Melayu berwarna merah serta kain samping yang berwarna-warni membuatkan Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), Datuk Aminar Rashid Salleh, 52, tampil berbeza.
Selain itu, perbualan selama lebih sejam bersama lelaki yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini cukup menyenangkan.
“Minta maaf agak terlewat, banyak urusan yang perlu dibereskan sebelum bercuti,” tutur Aminar Rashid.
Walaupun memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan awam daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), dunia pekerjaannya lebih terarah dalam dunia automotif.
Sebelum ini, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Kumpulan Pemasaran Strategik di UMW Toyota Motor Sdn. Bhd.
Namun, ada cerita menarik tentang anak bekas seorang guru agama dan bahasa Inggeris ini.
“Sebenarnya saya pernah mendapat tawaran menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang yang sama di sebuah universiti tempatan.
“Tetapi, nama saya silap ditulis Aminah bukan Aminar. Walaupun hati teruja untuk memasuki universiti tersebut saya batalkan kerana agak terkilan dengan kesilapan tersebut,” katanya.
Aminar mempunyai tiga orang anak perempuan pernah bekerja dengan Utusan Melayu (M) Bhd. sebagai seorang pegawai kewangan.
Dialek berbeza
Pengalaman ternyata mendewasakan lelaki yang menetap di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor ini.
Perpindahan keluarganya dari Kedah ke Besut, Terengganu sedikit sebanyak memberikan impak kepadanya.
“Saya agak terkejut apabila makan roti canai bersama seorang rakan sekolah di sebuah kedai makan. Biasanya makanan itu kita cicah dengan kuah kari sahaja.
“Tetapi, bagi kebanyakan penduduk Pantai Timur mereka mencampurkan dengan gula. Itu antara kejutan budaya terawal yang saya alami,” ujarnya.
Katanya, kejutan kedua yang dialami dari sudut pertuturan.
“Kita sudah biasa berbicara menggunakan loghat Utara tetapi perlu bertukar Pantai Timur. Syukur lama kelamaan saya dapat mengadaptasi semuanya dengan sebaiknya,” jelasnya.
Soal bahasa daerah tidak lari semasa perbualan kami.
Beliau juga mengalami kesukaran untuk berbual dengan bapa mertua dan keluarga iparnya yang agak pekat dengan dialek Negeri Sembilan walaupun mereka menetap di Alor Gajah, Melaka.
“Mereka ketawa saya pun ketawa walaupun tidak tahu akan maksud tetapi saya beruntung kerana menguasai loghat negeri Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Tidak lengkap berbicara dengannya jika tidak berbicara mengenai peningkatan jualan produk kereta Perodua terutama menjelang Aidilfitri.
Suami kepada Junrayati Johari ini memberitahu, kebiasaan peningkatan melebihi 20 peratus.
“Tetapi, bukan sekadar Aidilfitri sahaja tetapi pada perayaan lain.
“Malah, kini terdapat kecenderungan pembeli membeli kenderaan jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) tidak mengira mereka yang telah berkeluarga atau bujang,” katanya.
Dia juga sempat berkongsi momen menarik semasa menyambut Aidilfitri terutama semasa masih kecil.
“Ibu sering memasak kuih tradisional seperti baulu, putu kacang serta tart nanas. Saya juga membantu tetapi sebaik giliran memasukkannya ke dalam balang ia akan terus dimakan.
“Sedap, panas-panas lagi. Mungkin ibu saya, Asmah Ibrahim menyedarinya tetapi kerana saya masih kecil dan tidak diwajibkan berpuasa perbuatan itu dibiarkan begitu sahaja,” jelas Aminar.
Malah, beliau beberapa kali terlepas menunaikan solat sunat Aidlfitri di masjid kerana rancak berbual-bual dengan jiran-jirannya.
“Sedar-sedar solat telah tamat jadi saya pun terus pulang bersama jemaah lain,” ujarnya ketawa.
Perantauan
Pada tahun lepas beliau berkesempatan menyambut Aidilfitri di Adeline, Australia kerana anak bongsunya melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di sebuah kolej di negara itu.
“Kerana beberapa tahun sebelum itu tidak berkesempatan beraya bersamanya, kami sekeluarga mengambil keputusan beraya di negara itu.
“Tetapi, suasana tidak banyak berbeza kerana ramai rakyat negara Malaysia menetap di negara itu termasuk pelajar, kakitangan kerajaan serta usahawan,” ujarnya.
Jelasnya, soal makanan tidak menjadi satu isu kerana makanan tradisional seperti ketupat, nasi himpit serta rendang menjadi juadah wajib.
“Cuma lemang sahaja tiada kerana kesukaran mencari buluh untuk dibuat lemang.
“Solat sunat Aidilfitri pula diadakan di padang taman permainan. Suasana cukup meriah kerana ribuan umat Islam dari pelbagai negara seperti Pakistan, Bangladesh dan Indonesia menunaikan solat.
“Ada juga yang bersolat di masjid-masjid tetapi bilangannya agak kecil,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: