
MENTALITI masyarakat yang menganggap sukan golf hanya untuk golongan berada perlu diubah kerana kini sukan itu turut disertai oleh segenap lapisan masyarakat.
Bagi pemilik kedai menjual barangan golf terpakai, Shaharul Mohamed Yusoff, 43, status dan kedudukan bukan penghalang untuknya menceburi sukan yang diminati sejak tahun 2000 itu.
“Saya bermula dengan sekadar mengumpul barangan golf sebelum menjadikan hobi ini sebagai satu perniagaan.
“Bermodalkan RM2,000, saya terlebih dulu menjual beberapa set beg dan peralatan golf kepunyaan sendiri yang tidak digunakan di rumah.
“Ketika itu, saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan secara car boot sale selama tiga bulan pada setiap hujung minggu di sebuah pasar di Shah Alam bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.
“Selepas itu iaitu pada Ogos 2007, barulah saya membuka sebuah kedai menjual peralatan golf terpakai berikutan maklum balas yang menggalakkan daripada pelanggan,” jelas bapa kepada tiga orang anak ini.
Muzium
Memilih bidang perniagaan yang kurang diceburi golongan Bumiputera, kedai miliknya menjual barangan seperti beg, bola, baju, kayu golf, tali leher dan majalah. Dia yang bercita-cita untuk membuka sebuah muzium golf pertama di Malaysia meletakkan impiannya itu sebagai sasaran yang perlu dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, sebut sahaja keperluan barangan golf, kesemuanya ada di kedai yang bercirikan klasik Eropah itu.
Secpro Golf Shoppe yang terletak di Shah Alam, Selangor hanya dibuka selepas pukul 6 petang sehingga 11 malam setiap hari.
“Kesemua barangan golf terpakai ini saya beli ketika melancong ke luar negara seperti Indonesia dan Thailand selain diperoleh daripada orang perseorangan.
“Saya juga mendapatkan barangan seperti majalah golf di sebuah kedai menjual barangan lama di Melaka.
“Setakat ini, saya mempunyai koleksi barangan golf yang paling lama iaitu batang golf buatan tangan tahun 1910 yang memberikan perbezaan dari segi jarak pukulan dan permainan,” tambahnya sambil menunjukkan sebuah set catur golf yang dibelinya di Britain.
Pelanggan boleh membeli, menjual dan bertukar barangan golf milik mereka pada harga yang berpatutan iaitu dalam lingkungan RM500 hingga RM1,000 sahaja.
Peralatan golf terpakai juga mempunyai peminatnya. Ini kerana ada sesetengah barangan di sini yang tidak boleh didapati lagi sekarang.
“Walaupun sudah dipakai, barangan seperti driver yang kebanyakannya diperbuat daripada besi dan titanium masih bermutu.
“Sesetengah daripadanya merupakan edisi terhad. Namun begitu, bagi pengumpul barangan golf, inilah yang mereka cari untuk disimpan sebagai koleksi peribadi.
Idola
“Sebahagian barangan terpakai di sini juga sebenarnya adalah daripada hadiah yang dimenangi pemain golf.
“Mereka yang memenangi hadiah peralatan golf tersebut menjualnya kepada kami kerana tidak menggunakannya,” katanya sambil memberitahu, ada barangan di kedai itu yang sekadar untuk pameran dan tidak dijual seperti beg golf kepunyaan bintang golf Amerika Syarikat, Phil Mickelson.
Ketika ditanya idolanya dalam sukan itu, Shaharul menjawab, dia amat meminati pemain golf terkemuka dunia, Tiger Woods kerana pemain itu mempunyai disiplin yang tinggi dari segi latihan dan permainan.
“Woods amat menitikberatkan soal makan dan minum serta cara hidupnya yang merupakan resipi kejayaannya dalam sukan golf.
“Sehingga hari ini, tiada pemain golf yang dapat menandingi kehebatan beliau,” katanya yang menyukai buku mengenai Tiger Woods bertajuk In Search of Tiger.
Shaharul berkata, selepas lebih lima tahun menjalankan perniagaan itu, pelanggannya semakin bertambah.
“Ada antara mereka yang menjadi pelanggan tetap kedai ini seperti sekumpulan pelanggan dari Indonesia yang datang ke sini setiap bulan.
“Saya juga menerima kunjungan pelanggan dari seluruh Malaysia termasuk Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
“Kebanyakan pelanggan mendapat maklumat daripada rakan mereka yang pernah datang membeli dan menjual barangan di sini.
“Walaupun sekadar promosi mulut ke mulut seperti ini, saya tetap bersyukur,” ujarnya yang mendapat sokongan penuh daripada isteri, Rahizah Rahim, 38.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: