Monday, August 27, 2012

Fleksibiliti busana urban


PADUAN dres labuh menerusi penerapan dres berkolar pada bahagian atas dan skirt kembang bahagian bawah menciptakan imej anggun kepada pemakainya.


ELEGAN adalah perkataan terbaik bagi mentafsirkan koleksi Aidilfitri Hafizi Radzi Woo atau sinonim dengan gelaran FiziWoo yang bergandingan bersama rakan kongsinya, Izree Kai Haffiz.

Kesemua 12 hasil kerja duo itu dipertontonkan buat kali pertama pada acara Lebaran Fashion Vanguard 2012 yang berlangsung baru-baru ini di Blackbox Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Menyorot pandangan pada setiap persalinan Aidilfitri FiziWoo dan Izree, tidak keterlaluan dikatakan terdapat serpihan-serpihan gaya klasik mendiang Puteri Diana dan moden elegan bak Kate Middleton.

Seleksi rekaan mengenengahkan interpretasi busana baju kurung tradisional hingga kepada rekaan blaus kontemporari yang pasti memberikan seri pada pagi Syawal.


ILHAM seakan-akan baju kurung diperbaharui dengan potongan pada pinggang dan penambahan kolar.


Lari daripada kebosanan busana lebaran stereotaip, FiziWoo dan Izree menyuntik fleksibiliti pada setiap hasil kerjanya. Keupayaan golongan wanita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum Adam masa kini menyumbang kepada pembentukan idea duo tersebut.

“Rekaan ini menonjolkan sisi perempuan yang tidak lagi berpegang pada label kelompok yang wajib di dapur. Sekarang mereka telah memiliki karier hebat dan berjaya membina nama sendiri.

“Busana lebaran kali ini juga dilihat praktikal untuk disarungkan ke majlis makan malam dan tidak terhad untuk musim perayaan sahaja.

“Material yang kami gunakan lebih kepada sifon dan les, manakala palet pastel menjadi mainan utama. Tidak dinafikan kebanyakan orang menggemari warna-warna terang (loud) pada hari raya namun kami mahu tampil berbeza.


IZREE (kiri) dan FiziWoo mengubah konsep persalinan Aidilfitri menjadi lebih urban.


“Terlampau banyak warna terang dilambakkan di pasaran dan kami memberi pilihan kepada pelanggan untuk memilih rona merentas zaman seperti hitam,” jelas FiziWoo yang menyatakan rekaan itu akan kekal malar segar untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Biarpun Syawal sudah menerpa, masih belum terlewat untuk kaum Hawa memiliki busana indah tersebut. FiziWoo dan Izree masih menerima tempahan bagi mereka yang berkira-kira untuk melaram pada acara rumah terbuka atau mahu dijadikan koleksi peribadi. Rekaan dijual pada harga RM450 ke atas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: