Monday, August 27, 2012

Busana tradisional wanita Dubai

TAMPIL berbeza pada lebaran tahun ini dengan Jubah Souq yang menyerlahkan keayuan wanita Melayu.


PASTI ramai wanita pernah mengalami situasi sebegini - ingin tampil hebat dan menawan ketika beraya ke rumah sahabat atau saudara-mara, tetapi busana yang tersusun di dalam almari hanyalah koleksi baju kurung dan baju kebaya.

Bukan mengatakan busana tradisional tidak cantik, tetapi sekali-sekali pasti terdetik untuk menyarungkan baju yang bertaburan perincian mewah.

Namun, kos untuk menjahit perincian seperti manik dan labuci pada busana Aidilfitri yang sedia ada kadangkala melebihi harga pakaian siap yang dijual di kebanyakan butik.

"Usah bimbang kerana Jubah Souq dapat membantu dilema yang sering melanda wanita. Kami memahami bahawa kaum Hawa cukup menitikberatkan tentang pakaian terutamanya menjelang hari raya. Kalau diikutkan dari hujung rambut hingga hujung kaki semua pelengkap gaya perlu tampak sempurna.

"Bagi mengatasi masalah ini maka kami menawarkan himpunan jubah dan kaftan glamor yang sesuai digayakan pada hari lebaran. Istimewanya koleksi pakaian Jubah Souq ini bukan saja menawan dipakai pada pagi raya, malah menyuntik penampilan menarik sewaktu menghadiri majlis rumah terbuka," jelas pengasas Jubah Souq, Mohammad Zaki Mohammad Amin, 28, sambil menunjukkan koleksi jubah dan kaftan glamor yang diimport dari Dubai.

Secara ringkasnya jenama Jubah Souq merupakan gabungan bahasa Melayu dan Arab. Dalam bahasa Arab, souq membawa maksud pasar atau bazar.

"Di Dubai terdapat sebuah bazar yang menjual barang kemas dan emas secara besar-besaran. Saya cukup tertarik dengan ragam wanita yang mengunjungi bazar tersebut. Mereka begitu asyik melihat aksesori emas yang begitu cantik dan mewah.

"Jadi saya fikir perkataan souq sesuai digunakan kerana secara tersiratnya kami ingin pembeli merasai mood yang sama ketika menyarungkan jubah atau kaftan glamor koleksi Jubah Souq," bicara Mohammad Zaki yang mula mengusahakan bisnes busana wanita Asia Barat bersama rakan kongsinya, Amirudin Yatin, sejak tahun lalu.

Menurut bekas lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sivil dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru tersebut, kebanyakan koleksi Jubah Souq hadir dalam warna ceria, terang dan lembut.


MOHAMMAD ZAKI (berdiri di kiri) dan Amirudin berbangga apabila wanita tempatan mula menunjukkan minat menyarungkan jubah dan kaftan dari Dubai.


Antaranya hijau, kuning, ungu, merah, merah jambu dan jingga. Ia selesa dipakai kerana diperbuat daripada fabrik yang sesuai dengan cuaca di Malaysia.

"Lagipun tak rugi membeli busana jubah atau kaftan glamor label Jubah Souq kerana wanita boleh memakainya pada majlis perkahwinan ataupun formal," jelas Mohammad Zaki yang turut memberitahu wanita Dubai kini begitu obses dan cenderung memilih jubah dan kaftan glamor yang berwarna-warni.

Evolusi fesyen wanita Dubai

Sementara itu, pengasas bersama jenama Jubah Souq, Amirudin, 28, menyatakan jika diperhatikan di Dubai kebanyakan wanita lebih cenderung menyarungkan jubah nuansa hitam dalam kehidupan seharian. Tidak kira sama ada ke pasar, pusat beli-belah atau bercuti bersama keluarga di luar negara jubah hitam merupakan pilihan utama.

"Rupa-rupanya busana moden lazimnya dipakai sewaktu menghadiri majlis perkahwinan, keramaian dan musim perayaan.

"Namun, pakaian berkenaan hanya dipamerkan tatkala golongan wanita berkumpul sesama mereka. Apabila keluar dari rumah jubah atau kaftan glamor akan dilapisi jubah hitam yang berasaskan fabrik tebal," jelas Amirudin yang pernah berkhidmat di Dubai selama empat tahun di sebuah syarikat minyak dan gas.

Bicara usahawan muda yang berasal dari Selayang, Selangor itu, keistimewaan jubah dan kaftan glamor dari Dubai terletak kepada teknik perinciannya yang mewah. Kumpulan pereka di sana bijak mengolah pakaian polos pada sehelai busana menawan.

"Dengan ini mereka tidak perlu lagi menambah labuci, manik ataupun batu permata di bahagian dada, pergelangan tangan mahupun kaki baju. Secara tidak langsung ia mengurangkan kos pembuatan bagi sepasang jubah atau kaftan glamor," tutur Amirudin yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sivil, UTM, Skudai, Johor Bahru.

Alternatif busana Aidilfitri

Dalam pada itu perunding dan pensyarah fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Faizal Hamid, mempunyai sisi pandangan positif terhadap jubah moden dan kaftan dari Asia Barat.

Jelasnya kehadiran pakaian tersebut di pasaran tempatan bukan untuk mengetepikan busana tradisional seperti baju kurung atau kebaya tetapi cuma membantu menambah kepelbagaian baju raya untuk golongan wanita.


WARNA hijau antara warna popular bagi sambutan raya 2012.


"Ini bermakna penampilan wanita tatkala menyambut hari raya tidak lagi terhad kepada koleksi baju kurung dan kebaya saja. Sebaliknya, wanita mempunyai seleksi alternatif fesyen untuk dipakai sepanjang meraikan bulan Syawal.

"Misalnya, jika pada pagi lebaran sudah menggayakan baju kurung, maka jubah moden mahupun kaftan glamor boleh disarungkan sewaktu menghadiri majlis rumah terbuka yang diadakan di rumah atau di hotel," terang Faizal yang menyatakan busana jubah moden dan kaftan sesuai membaluti tubuh wanita yang bertudung.

Konsep pakaian berkenaan yang menampilkan potongan longgar, tetapi masih menyelitkan elemen mewah dan anggun antara sebab utama jubah moden dan kaftan menjadi pilihan kebanyakan wanita Muslimah.

Secara tidak langsung ia memberi peluang kepada mereka tampil sopan dan ceria pada hari lebaran memandangkan busana tradisional Asia Barat itu hadir dalam pelbagai warna terang dan lembut.

"Lagipun bukan semua wanita gemarkan pakaian tradisional yang mengikut potongan badan dan sendat.

"Tambah menarik jubah dan kaftan moden ini bukan saja diminati kelompok selebriti dan wanita urban, malah hari demi hari mula meraih perhatian wanita luar bandar. Ini disebabkan sehelai jubah atau kaftan sudah cukup untuk menyerikan penampilan dengan tatahan perincian yang mewah," kata Faizal kepada Kosmo! baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: