Sunday, August 26, 2012

Tinggal bom dalam ATM


EMPAT buah mesin ATM di sebuah pasar raya di Wangsa Maju hampir musnah akibat dibom.


KES rompakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kini semakin menjadi-jadi terutama menjelang musim perayaan. Kejadian sekumpulan penjenayah yang cuba melarikan wang tunai daripada mesin ATM sebuah bank di Masjid Tanah, Melaka memberikan gambaran bahawa merompak mesin tunai itu semakin popular.

Selain menggunakan bahan letupan, terdapat juga kes membabitkan mesin ATM yang dibakar, dipecah dan ditarik menggunakan jengkaut. Malah dalam satu kes asing di pusat pelancongan Pattaya, Thailand pada awal tahun ini, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) digunakan untuk mengheret mesin ATM manakala rompakan perompak profesional menggunakan alat pemotong iaitu ‘portable oxcytelene.’

Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, dia pernah membangkitkan isu tersebut pada tahun 2002.

“Sebelum membuat keputusan untuk membuka perniagaan di sesuatu kawasan, kita perlu mengetahui sejarah kawasan berkenaan. Kebanyakan bank perdagangan dilihat lebih mengutamakan untuk menjadi pelopor di sesuatu kawasan berbanding menitikberatkan tahap keselamatan di kawasan itu. Strategi itu mungkin bagus untuk perniagaan tetapi sangat lemah daripada sudut pengurusan risiko,” jelasnya.

Tambahnya, penjenayah kini dilihat semakin kreatif dan mencari jalan untuk mencapai tujuan yang diingini dengan membuat perancangan daripada segi peralatan yang hendak digunakan, persediaan dan percubaan untuk melakukannya.

“Seperti kes rompakan mesin ATM, penjenayah terlebih dahulu mengkaji model ATM sasaran, teknik pemasangan dan dari situlah mereka melakukan penyelidikan dan perancangan rapi untuk melakukan rompakan,” katanya.

Risiko

Kamal Affendi turut menegaskan, tidak munasabah sekiranya sesuatu perniagaan yang mempunyai kecairan wang tunai sebanyak RM10 juta dan jumlah pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk menjaga aset itu juga sama dengan perniagaan yang mempunyai kecairan wang tunai berjumlah RM1 juta.

“Pihak yang berkenaan seharusnya mengeluarkan satu ketetapan berkenaan jumlah pengawal keselamatan yang ditempatkan mengikut lokasi dan aset yang hendak dilindungi.

“Walaupun ia berlaku di luar waktu puncak, tetapi kejadian seumpama itu tidak mustahil berlaku apabila pelanggan berada di dalam bank yang boleh membawa kepada risiko kematian.

“Malapetaka lebih besar boleh berlaku apabila penjenayah meninggalkan bom dalam mesin ATM dan tiba-tiba ada pelanggan tiba, sekiranya bom itu meletup masalah lain pula yang timbul,” beritahu beliau.

Beliau turut memberitahu, nisbah pengawal keselamatan perlu ditingkatkan bergantung kepada lokasi, luas kawasan dan jumlah aset yang perlu dilindungi.

Masalah sosial

Sementara itu, pakar ekonomi keluarga di Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Jariah Masud berkata, penggunaan mesin ATM yang diguna pakai ketika ini sangat membantu dalam memberikan keselesaan kepada pengguna tetapi terdapat pula segelintir masyarakat yang menyalahgunakan kemudahan itu.

"Rompakan selalu terjadi menjelang tibanya musim perayaan. Pada saya, isu ini berkait rapat dengan masalah sosial yang perlu diatasi segera kerana di negara lain juga menggunakan mesin ATM yang diletakkan di merata-rata tempat, tetapi tidak pula terjadi perkara seperti ini.

“Selain itu, cadangan untuk meletakkan mesin ATM di kawasan selamat juga memainkan peranan penting bagi membendung kegiatan ini,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: