Thursday, August 23, 2012

Cabaran memburu naga


BANYAK pengalaman baharu bakal dirasai pemain yang mengikuti pengembaraan di dalam dunia Dragon's Dogma.


GENRE role playing game merupakan satu genre yang semakin diminati ramai. Antara francais terkenal yang membawa genre ini ialah Final Fantasy, Digimon World, Chrono Cross dan sebagainya.

Jika dibandingkan, genre hack and slash juga tidak ketinggalan dalam dunia permainan video dan komuniti pemain sudah pasti terbiasa dengan siri seperti God of War dan juga Devil May Cry.

Kedua-dua genre itu mempunyai keunikan yang tersendiri dan menarik minat golongan orang yang berbeza. Kini, Capcom telah mengambil inisiatif untuk menggabungkan kedua-dua genre itu ke dalam satu permainan iaitu Dragon’s Dogma.

Dengan bertemakan dunia fantasi dan juga survival seram, Dragon’s Dogma mempunyai gabungan elemen yang sangat menarik dan boleh didapati pada konsol PlayStation 3 dan juga Xbox 360.

Plot

Plot Dragon’s Dogma mengambil tempat di pekan perikanan yang dinamakan Cassardis. Jalan cerita bermula sebaik sahaja pemain selesai membina watak pemain dan seterusnya menunjukkan seekor naga terbang menghampiri watak utama. Naga itu ialah manusia terpilih yang mengambil keluar hati dari tubuh watak pemain.

Namun, watak pemain dihidupkan semula dan dikenali sebagai Arisen yang bermatlamat untuk memburu semula naga tersebut.

Untuk itu, pemain harus menghadapi Seneschal dan jika pemain gagal, watak pemain akan menggantikan tempat naga tersebut untuk mencari hati manusia yang lain. Sebaliknya jika pemain berjaya, watak pemain akan menggantikan Seneschal.

Mekanisme permainan

Dengan menggabungkan dua elemen permainan yang berbeza, Capcom berjaya membuat satu genre permainan video yang unik.

Pada permulaan permainan, pemain diberi pilihan untuk tetapan penampilan watak. Dragon’s Dogma juga mempunyai beberapa kelas watak yang berbeza.

Ini termasuklah Magic Archer, Sorcerer Archer, Mage, Assassin, Ranger, Strider, Fighter, Warrior dan Mystic Knight.

Kelas-kelas yang berbeza mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing sepanjang permainan. Contohnya, kelas Fighter bergantung kepada serangan jarak dekat dan Strider pula bergantung kepada kemampuan akrobatik untuk menumpaskan pihak musuh.

Pawn System

Antara faktor yang membuatkan Dragon’s Dogma menarik ialah Pawn System iaitu sejenis sistem yang digunakan dalam menentukan pergerakan A.I. (kepintaran buatan) yang mengembara bersama pemain.

Sepanjang permainan, pemain diberikan tiga orang A.I. sebagai ahli kumpulan dan setiap A.I. boleh diberi arahan ringkas. Mereka juga dikenali sebagai pawn yang mampu berinteraksi antara satu sama lain terutamanya dengan pemain.


BERDEPAN dengan pelbagai makhluk aneh dan ganas memerlukan seseorang pemain Dragon's Dogma mengatur strategi dengan baik.


Mereka seringkali memberi info tentang musuh kepada pemain. Info tersebut amat penting dan harus digunakan dengan betul untuk kekal hidup dalam mengalahkan musuh.

Interaksi

Dragon’s Dogma membolehkan pemain untuk merenggut pihak musuh dan ini menyumbang lagi kepada ciri-ciri realistik kepada keseluruhan permainan.

Musuh yang berada di dalam cengkaman pemain boleh dibunuh dengan serta-merta oleh pawn yang lain.

Paling menarik ialah pemain juga boleh melakukan perkara yang sama kepada musuh yang lebih besar.

Sebagai contoh, sekiranya pemain berhadapan dengan Troll iaitu sejenis makhluk yang sangat besar dan tinggi, pemain boleh melompat ke atas Troll tersebut sekali gus melancarkan serangan yang lebih efisien.

Namun, pemain harus mencari tempat yang tinggi untuk melakukan pergerakan itu.

Pemain berbilang

Walaupun Dragon’s Dogma tidak mempunyai mod pemain berbilang yang begitu menyerlah, pemain boleh menyertai acara atas talian yang dipanggil Events. Dalam Events, pemain-pemain akan digandingkan untuk menjatuhkan pihak musuh. Pemain yang melancarkan serangan membunuh akan diberi ganjaran yang lebih.

Secara keseluruhannya, permainan video Dragon’s Dogma merupakan satu lagi kejayaan bagi pihak Capcom. Dengan gabungan dua genre yang berbeza, komuniti pemain pasti menghargai permainan video role playing game dan hack and slash seperti Dragon’s Dogma.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: