Thursday, August 23, 2012

Memantau kediaman sepanjang 24 jam



LAPORAN berita mengenai kediaman yang dimasuki perompak sudah acapkali didedahkan melalui saluran media cetak dan elektronik. Pada 12 April lalu, sebuah keluarga di Muar, Johor mengalami kerugian hampir RM60,000 apabila rumah mereka dipecah masuk.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu telah mengejutkan ahli keluarga di dalam sebuah rumah di Jalan Ahmad, Kampung Lenga Batu 31, Muar itu.

Mangsa, Hawa Ahmad, 72, memberitahu, dia dan suaminya dikejutkan dengan jeritan anak lelaki yang tidur di ruang tamu.

“Kami merayu kepada penjenayah itu supaya tidak mengikat tangan kami tetapi mereka yang bersenjatakan parang tidak menghiraukannya.

“Mereka menggunakan kain pelikat suami dan anak untuk menutup muka kami,” kata Hawa dalam laporan berita yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia.

Hawa dan keluarganya agak bernasib baik kerana penjenayah terbabit tidak bertindak agresif. Mereka hanya meminta sejumlah wang dan barang kemas.

Dalam kes itu, penjenayah tersebut telah menggeledah bilik dan menjumpai peti besi tempat menyimpan wang tunai serta barang kemas mangsa.

Itu merupakan salah satu daripada contoh jelas mengenai bahaya yang menanti apabila rumah tidak dilengkapi sistem keselamatan yang baik.

Bukan setakat merompak, banyak lagi perlakuan ganas yang mampu dilakukan penjenayah apabila mereka berada dalam keadaan terdesak.

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, pasti ramai yang berbondong-bondong pulang ke kampung halaman sekali gus membiarkan rumah masing-masing di bandar tanpa penghuni dan juga pengawasan.

Namun, adakah cukup sekadar mengunci pintu pagar dan meninggalkan pesan kepada jiran tetangga untuk melihat-lihat pekarangan rumah sepanjang ketiadaan anda?

Di pasaran pula, terdapat pelbagai jenis sistem keselamatan rumah yang terdiri daripada siren, sensor dan pengesan berdasarkan tanda yang ditinggalkan penjenayah.

Secara asasnya, terdapat dua jenis sistem keselamatan iaitu sistem penggera berpantau dan sistem yang berdiri sendiri tanpa seliaan.

Pemantauan 24 jam

Menurut Pengurus Besar Rantau Asia Tenggara, Tyco Fire, Security and Services, Salim Mohammad, sistem keselamatan oleh ADT Security merupakan sistem yang terhubung dan dipantau 24 jam.

Pemantauan yang dilakukan dari pusat pemantau di Southgate, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur itu akan memastikan sebarang situasi kecemasan seperti pecah rumah, kebakaran mahupun perubatan diberi perhatian serta diambil tindakan sewajarnya.

Lazimnya, sistem yang tidak berpantau hanya mengeluarkan bunyi siren yang panjang sebagai amaran kepada orang sekeliling selain bertujuan untuk menakut-nakutkan penjenayah yang dalam cubaan memecah masuk.


FAIZUL NIZAM menunjukkan cara empat gelung perlindungan berfungsi.


Risiko yang dihadapi daripada sistem keselamatan jenis tersebut adalah kemungkinan tiada jiran tetangga berada dekat dengan kediaman yang dipecah masuk itu ketika kejadian berlaku.

Kata Salim, sistem yang berdiri sendiri itu turut dipanggil sebagai ‘hanya bunyi loceng’ kerana sistem itu beroperasi sebegitu.

“Secara ringkas, sistem ADT mempunyai empat gelang perlindungan yang merangkumi dari luar rumah sehingga ke dalam rumah,” terang Salim ketika ditemui di ibu pejabat ADT di Cheras.

Peringkat pertama adalah pada lambang ADT berbentuk oktagon berwarna biru. Lambang tersebut ialah amaran kepada penjenayah yang mencuba untuk memecah masuk.

Seterusnya ialah peranti yang diletakkan pada tingkap dan pintu. Ia akan mencetuskan bunyi penggera yang mencapai bacaan 110 desibel apabila pintu dan tingkap dibuka secara paksaan.

Jika penjenayah masih lagi berani untuk masuk ke rumah, sensor pergerakan yang diletakkan di ruang dalam rumah menjadi rintangan keselamatan ketiga kepada rumah yang dilindungi.

Gelang keselamatan yang terakhir pula ialah sistem pemantauan 24 jam yang ada pada sistem ADT. Telefonis yang bertugas akan membuat panggilan mengikut senarai pemanggil yang diberi tuan rumah berdasarkan prosedur.

Kemudian, tindakan selanjutnya akan dibuat berdasarkan permintaan tuan rumah. Adakalanya insiden itu dibiarkan sahaja kerana sistem penggera itu teraktif akibat kesilapan pengguna sendiri.

“Namun, itu tidak menjadi masalah kerana telefonis kami sentiasa memberi bantuan tambahan lain. Kami turut menyarankan para pelanggan melakukan ujian ringkas pada setiap bulan bagi memastikan sistem mereka beroperasi dengan baik,” terang lelaki tersebut.

Kesemua petugas respons yang berada dalam unit pemantauan ADT bekerja dalam sistem 10 syif yang bertindih. Bilangan petugas paling ramai adalah pada waktu puncak.

Secara asasnya, fizikal sistem keselamatan adalah sebuah panel kawalan sama ada berwayar atau tanpa wayar yang dilengkapi siren binaan dalaman dan papan kekunci.

Selain itu, ia dilengkapi dengan pengesan asap, sensor pergerakan, sentuhan pintu dan tingkap, alat kawalan jauh, siren luar serta butang kendalian lain.

Sistem ADT amat mudah digunakan iaitu dengan memasukkan nombor pin untuk mengaktifkan sistem penggera. Sela masa diberikan mengikut kehendak penghuni sebelum ia diaktifkan sepenuhnya.

Penggera akan dihidupkan apabila berlaku cubaan membuka tingkap dan pintu secara paksa. Siren akan berbunyi dan semua data berkaitan seperti waktu, jenis peranti yang menerima signal dihantar terus ke pusat pemantauan ADT.

“Daripada data itu, satu set prosedur akan diikuti telefonis bagi memastikan kesahihan isyarat sebelum tindakan seterusnya diambil.


SALIM (kiri) sentiasa memastikan kakitangannya bersedia menerima sebarang laporan kecemasan dan layanan yang dimahukan pihak pelanggan.


“Mereka harus menjawab setiap isyarat yang sampai serta-merta dan setiap perbualan dipantau,” kata pengurus pusat khidmat pelanggan ADT Services, Faizul Nizam Zainal Abidin, 36.

Direka khusus

Di ADT, sistem keselamatan para pelanggan direka khusus berdasarkan jenis rumah, pendawaian dan kawasan liputan yang dimahukan. Kemudian, sebut harga diberikan berdasarkan keperluan pelanggan.

Setakat ini, ADT telah memantau lebih kurang 7.8 juta premis seperti rumah dan kedai di seluruh dunia menggunakan teknologi talian telefon tetap, komunikasi Sistem Mobil Global (GSM) dan terkini protokol internet (IP).

Sistem keselamatan itu boleh digunakan di mana-mana sahaja bergantung kepada liputan talian tetap dan GSM manakala IP pula berguna untuk pemantauan yang menggunakan kamera litar tertutup (CCTV).

Penggunaan IP berserta CCTV atau gajet lain dapat memberikan bukti bergambar secara terus dan pantas kepada pusat pemantauan ADT.

Jadi, isyarat pencerobohan boleh disahkan tanpa perlu membuat panggilan kepada penghuni rumah. Ia beroperasi apabila sensor mengesan pergerakan sekali gus merakam gambar pada saat itu.

Gambar tersebut boleh menjadi bukti apabila mahu digunakan kelak. Ia mudah, selamat, diyakini dan lebih jimat berbanding sistem CCTV lama yang perlu merakam video setiap saat.

“Pada skrin komputer telefonis, terdapat empat, lapan atau 16 petak mewakili bilangan CCTV yang ada di rumah pengguna,” terang Faizul Nizam ketika menerangkan informasi yang didapati oleh pusat khidmat pelanggan ADT.

Oleh itu, amat penting untuk sesebuah rumah itu memiliki sistem keselamatan yang boleh dipercayai berdasarkan perkhidmatan dan kaedah pemantauan yang dibuat sepanjang masa.

Lebih daripada itu, kata Salim, pelanggan juga boleh berhubung dengan khidmat pelanggan ADT menggunakan sistem penggera sekali gus menjadikan ia sebuah sistem yang interaktif.

“Pelanggan juga boleh meminta bantuan kecemasan seperti ambulans dengan menekan butang panik,” kata Salim sambil menasihati orang ramai supaya mengambil pendekatan yang terbaik bagi mengurangkan risiko pecah masuk kediaman ketika pulang ke kampung pada hari raya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: