Thursday, August 23, 2012

Perbaiki bacaan melalui teknik mendengar

SISTEM audio membantu pengguna mendengar dan membaca al-Quran dengan lebih baik.


BULAN Ramadan adalah bulan yang sungguh luar biasa keistimewaannya berbanding dengan sebelas bulan yang lain.

Selain melakukan ibadah puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari, umat Islam juga digalakkan melakukan pelbagai amalan mulia di sepanjang bulan ini dengan penuh keikhlasan dan pengharapan untuk mendapat keampunan dari Allah SWT.

Salah satu amalan yang boleh dilakukan ialah membaca al-Quran. Namun, niat itu sering kali terbantut disebabkan kekangan masa dan tugas, sedangkan pembacaannya boleh dilakukan pada bila-bila sahaja.

Revolusi terkini teknik pembelajaran al-Quran kini menjadi lebih mudah dan berkesan dengan kehadiran al-Quran digital di pasaran.

Salah satunya yang boleh dijadikan pilihan ialah al-Quran Rasm Uthmani yang dipasarkan oleh Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (MAPAN).

Menurut Pengarah Projek MAPAN, Mahmud Hishamuddin, idea untuk memasarkan al-Quran digital itu bertujuan membudayakan pembacaan al-Quran dalam kalangan masyarakat khususnya kanak-kanak sekolah.

“Pemilik al-Quran ini bukan sahaja dapat mempelajari bacaan ayat-ayat suci al-Quran tetapi proses pembelajaran dapat dilakukan di mana-mana sahaja.

“Proses pembelajaran melalui teknik mendengar juga lebih berkesan kerana penggunanya dapat memperbaiki kelancaran bacaan dengan lebih cepat,” katanya.

Ujar Mahmud, pada pandangan mata kasar setiap halaman muka surat al-Quran digital tiada bezanya dengan al-Quran biasa, hakikatnya setiap muka surat kitab suci itu memiliki kod-kod tertentu yang bertindak balas dengan pen pintar yang disediakan.


PEMBELAJARAN al-Quran kini menjadi lebih mudah dan berkesan dengan kehadiran al-Quran digital.


“Ia sangat mudah digunakan dan tidak perlu pengalaman teknikal. Pengguna hanya perlu meletakkan pen pintar ini pada mana-mana surah yang diinginkan dan pen akan mengeluarkan bacaan.

“Menariknya, setiap helaian al-Quran digital ini mempunyai pilihan menu pintar sekali gus menjadikan pembacaan dan pengajaran lebih interaktif,” ujarnya.

Telah diperakui dan mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri, Mahmud berkata, al-Quran digital itu menyediakan audio bacaan seluruh juzuk yang disampaikan oleh Qari terkenal Mesir, Sheikh Abdul Baset Abdu Essamad.

“Pengguna tidak perlu berasa ragu-ragu kerana bacaan dan tafsiran yang terkandung dalam kitab elektronik itu dijamin sempurna dari segi tajwid dan maknanya,” ujarnya.

Ujarnya, al-Quran digital itu turut mempunyai terjemahan penuh yang disediakan di dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Selain itu, pengguna juga boleh memperbaiki bacaan dan mempelajari Muqaddam, doa-doa harian serta surah-surah lazim di dalam solat yang disertakan bersama,” ujarnya.

Dijual pada harga RM450 bagi setiap set, al-Quran digital itu dilengkapi fon telinga, kit pengecas bateri dan jaminan selama setahun.

Bagi yang berminat menjadi pengedar atau mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenainya boleh menghubungi MAPAN di talian 03-4252 2871/2872/2817.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: