Monday, August 27, 2012

Pelombong haram gadai nyawa

BATU permata mentah yang digali oleh pelombong haram.


SEORANG lelaki memasukkan sebuah bungkusan plastik kecil berisi batu permata ke dalam mulutnya.

Permata itu adalah hasil haram yang diseludup dari mendapan berpasir di kawasan pergunungan Afrika Selatan yang terkenal dengan berlian.

"Ini tempat simpanan saya," terang lelaki itu sambil menjolok masuk bungkusan itu jauh belakang bahagian pipinya.

Sekumpulan pelombong haram pula sedang menunggu masa terbaik untuk menyerbu sebuah lombong terbiar yang terletak berdekatan dengan kem penempatan mereka.

Lombong itu pernah mengorbankan nyawa 10 orang pelombong apabila ia runtuh tiga bulan lalu.

Pelombong-pelombong haram di Afrika Selatan sedia menanggung risiko kematian semata-mata mahu memburu mineral yang menjadikan benua tersebut sebuah kuasa ekonomi terbesar.

Di Namaqualand yang tidak begitu padat dengan populasi, batu-batu permata berselerakan dalam zon Laut Atlantik yang sejuk membeku ke sempadan Namibia.

Gergasi pengeluar berlian, De Beers, pernah menjadi pengeluar terbaik dan pernah menggaji kira-kira 3,000 pekerja. Bagi memenuhi keperluan para pekerja seramai itu, pihak syarikat telah membina beberapa buah dewan rekreasi, padang-padang golf dan sekolah di dua buah bandar.

Lombong di Namaqualand itu akhirnya ditutup pada tahun 2008 dengan penjualan aset berjumlah 225 juta Rand (RM85.94 juta) selepas bertahun-tahun melakukan penyusutan operasi.

Berita penutupan itu telah mengosongkan bandar-bandar perlombongan namun telah menarik ramai pelombong haram ke kawasan terbiar itu.

"Saya boleh katakan lebih 60 peratus tenaga kerja yang aktif terlibat dalam perdagangan berlian tidak rasmi.

"Ia seumpama mendapat restu daripada komuniti supaya mereka 'pergi dan gali'.

"Ia berkait dengan kelangsungan hidup. Tindakan itu hanya untuk kelangsungan kehidupan yang asas dan bukannya mengejar kemewahan," kata Andy Pienaar di pejabatnya di Komaggas yang merupakan salah satu kawasan perlombongan.

Wang kerajaan

Keadaan di Komaggas adalah bukti betapa industri perlombongan berlian tidak membawa banyak perubahan. Jalan-jalan masih tidak berturap manakala pondok kecil dijadikan kediaman. Ramai penduduknya bergantung harap pada wang kebajikan kerajaan.

Salah seorang penjual tempatan menganggar telah membuat keuntungan kira-kira 400,000 Rand (RM152,759) sejak dia mula menggali tiga tahun lalu bersama-sama sebuah kumpulan yang berkongsi laba.

"Ia mengubah hidup saya keseluruhan. Saya tidak perlu gusar lagi mencari pekerjaan, dulu, saya pernah berkeliaran di Cape Town, Johannesburg untuk mencari pekerjaan.


PELOMBONG menapis pasir di Namaqualand, Afrika Selatan bagi mendapatkan batu permata.


"Saya ada kerja sekarang. Saya bukan orang kaya tetapi mampu menyara keluarga setiap bulan," katanya.

Menjadi antara negara yang memiliki simpanan mineral terkaya di dunia, industri perlombongan menyumbang hampir 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Afrika Selatan pada tahun 2010.

Kegiatan perlombongan haram pula menjejaskan peratusan itu dengan anggaran 5 bilion Rand (RM1.875 bilion) dalam tempoh empat tahun lalu.

Sasaran tempat yang paling popular oleh pelombong haram ialah laluan terowong lombong yang tidak digunakan lagi. Begitupun, lubang itu menjadi ancaman buruk berikutan keadaannya yang tidak selamat.

Permukaan lombong yang berlapis-lapis dan berpasir serta terbuka boleh menjadi 'perkuburan' mereka pada bila-bila masa jika laluan terowong runtuh.

"Denda yang lebih berat perlu dikenakan," kata jurucakap De Beers, Innocent Mabusela merujuk kepada denda sebanyak 300 Rand (RM112.44) yang dikenakan buat masa ini jika seseorang menceroboh kawasan lombong.

Menurut seorang pembeli berlian yang hanya mahu dikenali sebagai Risa, perbuatan melombong secara haram sangat sukar dan berbahaya.

"Kamu boleh terbunuh ketika proses berlangsung. Jika seseorang mengetahui kamu mendapat batu permata, kemungkinan anda diekori dan akan cuba merampasnya atau lebih teruk, akan dibunuh," kata wanita itu.

Pasaran gelap

Biarpun terdapat peraturan dalam perdagangan batu permata Afrika Selatan, batu-batu itu masih mudah untuk dijual dalam pasaran gelap.

Sebenarnya, penduduk tempatan juga berasa mereka layak untuk mendapat hasil daripada tanah itu. Sejak akhir tahun 1920-an, tanah itu dikuasai orang Eropah.

Dasar aparteid Afrika Selatan telah menyebabkan sumber negara diserahkan kepada orang kulit putih dan hanya 8.9 peratus daripada lombong telah ditukar kembali hak milik pada tahun 2009.

"De Beers menduduki tanah kami dan sepatutnya ia dipulangkan semula kepada kami.

"Kami tidak mahu menjadi hamba di negara sendiri lagi. Kami tidak mahu menjadi setakat pekerja. Kami mahu menjadi pemilik, kami mahu menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan," kata Pienaar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: