PELAKON Rosyam Nor pernah menolak cadangan pihak Astro sebelum ini yang mencadangkan supaya penggambaran drama bersiri Isabella di lakukan di London. Ia berdasarkan pengalaman lampau Rosyam yang menghadapi kesukaran bersama pengarah terkenal, Amie Maziah dan Erma Fatima sewaktu membuat penggambaran drama di negara terbabit.
"Saya bercakap terus-terang tak nak pergi lagi ke London sebab jadi macam kuli. Kami terpaksa mengheret beg kehulu-kehilir kerana sedar tentang kemampuan wang yang dibawa," katanya pada sidang akhbar tayangan perdana drama Isabella di Cathay Cineplex, The Curve, Selasa lalu.
Bagaimanapun, selepas perbincangan dengan pihak Astro, Rosyam menerusi syarikatnya Suhan Movies bersedia untuk memikul tanggungjawab bagi menempuh cabaran tersebut untuk menghasilkan drama Isabella.
Drama yang memerlukan tempoh penggambaran selama tiga bulan itu disiarkan setiap Selasa. Siaran pertamanya keudara Selasa lalu bermula pukul 9 malam.
Mengulas lanjut tentang kos penggambaran drama itu, Rosyam berkata, dia perlu membelanjakan sebanyak RM150,000 ketika melakukan penggambaran di London dan Paris selama lima hari.
"Kalau buat penggambaran di Malaysia, bajet tersebut sudah boleh digunakan untuk menghasilkan dua telefilem," ujarnya.
Selain itu, Rosyam berkata, penggambaran dilakukan secara "sembunyi-sembunyi" kerana pihak produksi tidak mempunyai permit untuk melakukan penggambaran di negara tersebut.
"Untuk mendapatkan permit di sana, kami kena bayar beribu-ribu paun. Jadi kita masuk dengan kamera kecil, tiada alat pencahayaan. Kita terpaksa mencari sumber lampu yang boleh memberikan gambaran yang cantik," tambahnya.
Rosyam turut bercerita, sebelum memasuki London, seramai 18 kru telah ditahan oleh pihak keselamatan di lapangan terbang itu sehingga membuatkan hasrat melakukan penggambaran berkenaan terbantut.
Ini kerana pihak berkuasa menyangka mereka berkemungkinan ke situ untuk bekerja.
Sementara itu, ketika diminta mengulas kenapa kebanyakan filemnya menggunakan nama wanita, Rosyam menjelaskan, seseorang wanita itu amat penting bagi seorang lelaki.
Katanya, ini kerana tanpa wanita, seorang lelaki tidak akan wujud dan kalau tidak ada wanita, perasaan cinta tidak akan wujud.
"Cinta itu mestilah datang daripada wanita. Kerana wanita ini hebat, doa yang keluar dari mulutnya akan termakbul. Malah syurga terletak di tapak kaki ibu. Itulah kehebatan seorang wanita," ujarnya yang turut menyifatkan wanita yang mati kerana melahirkan anak sebagai mati syahid.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: