|
|
UNIK dan pelik. Itu identiti Amelia Ong Bee Leng dalam setiap hasil kerja seninya. Justeru gadis berusia 21 tahun ini sentiasa mahukan sentuhannya mencipta kelainan dan tersendiri.
Namun, dia tidak menyangka pula lakaran sekawan lembu comel ringkas yang dihasilkannya menjadi pilihan juri.
Pada 29 April lalu, penuntut PJ College of Art & Design itu diumumkan sebagai pemenang dalam Pertandingan Rekaan Pek Susu Edisi Terhad Dutch Lady bagi pek susu UHT rendah lemak.
Dengan kemenangan itu, Amelia menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,500 dan lakarannya akan menghiasi pek edisi terhad susu tersebut bersempena Hari Susu Sedunia yang akan disambut pada 1 Jun nanti.
Menceritakan bagaimana idea menghasilkan sekawan lembu itu datang, dia berkata pada waktu itu hanya memikirkan untuk menghasilkan satu ikon yang menarik dan tersendiri.
Kemudian terbayang di mindanya sekawan lembu yang comel dalam pelbagai saiz.
"Lakaran lembu kecil dan besar pada kotak susu ini pasti menarik perhatian kanak-kanak untuk menikmatinya," kata pelajar Diploma Rekaan Grafik itu.
Pertandingan
Menurutnya lagi, penyertaan dalam pertandingan tersebut hanya sekadar ingin mencuba. Apatah lagi katanya, pihak kolej sangat menggalakkan pelajar mereka menyertai pertandingan seumpama bagi menimba pengalaman.
Nyata tuah menyebelahi Amelia dan seorang lagi rakannya, Ten Ming Khang yang memenangi rekaan untuk pek susu coklat.
Dua tahun lalu, Amelia juga pernah memenangi satu pertandingan rekaan grafik dan sehingga kini dia giat menyertai pelbagai pertandingan terutama yang dianjurkan pihak kolej.
Menceritakan minatnya yang mendalam terhadap rekaan grafik, anak jati Kuala Lumpur itu berhasrat memiliki syarikat rekaan grafik dan pengiklanan sendiri suatu hari nanti.
"Di situlah saya akan mengabadikan hasil seni saya selama ini. Memang jalannya masih panjang, namun saya yakin dengan usaha yang bersungguh-sungguh pasti segalanya akan tercapai," kata Amelia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: