|
|
IRAMA muzik gamelan berkumandang sebaik melangkah masuk ke salon kecantikan, Roses. Ia semestinya mengimbau nilai tradisonal masyarakat Melayu apatah lagi dengan suasana kampung yang menanti pengunjung.
Memilih lantai kayu, pemilik Roses, Rohasnisza Mohd. Rosli atau lebih mesra dengan panggilan Yaya, 21, mengutamakan keselesaan pengunjung. Misalnya, dia memilih lantai kayu biar pun sukar dijaga semata-mata kerana mahu kaki yang memijak lantai lebih nyaman. Jika merindui suasana kampung, Roses mampu mengubati perasan tersebut.
Sebaik sampai, tetamu akan dipersilakan duduk di ruang menunggu dan berehat. Perabot kayu yang dipilih mempamerkan ciri tradisi masyarakat Melayu. Tidak ketinggalan pada dinding, terdapat hiasan corak kain batik dan corak kraftangan yang dibingkai. Memilih tikar mengkuang, pemilik lebih selesa menggunakan saiz sederhana berwarna hijau menjadikan ruang lebih selesa. Tetamu boleh duduk beralaskan bantal yang disaluti kain batik. Yaya menempah khas sarung bantal yang diperbuat daripada fabrik kain batik berkualiti.
Di tepi sudut rehat terdapat meja bersaiz sederhana dihiasi dengan barangan antik. Antara barangan yang menjadi pilihan Yaya adalah sebuah radio lama. Walaupun kelihatan uzur, setiap barangan masih mempunyai nilai yang tinggi di pasaran. Bahkan, ia mengingatkan kita kepada nostalgia lama. Jika ingin tahu rupa bentuk seterika lama, anda boleh melihatnya di Roses. Begitu juga kipas antik yang menjadi penghias di hujung ruang tamu salon itu.
Diterangi cahaya sederhana, Yaya mencetuskan idea sebuah ruang minum dan rehat berdindingkan kayu dan bambu. Dengan meja dan kerusi bersaiz sederhana, tetamu dihidangkan minuman daripada labu dan kuih-muih tradisional. Air tersebut lebih sejuk dan mempunyai khasiat menghilangkan sakit tekak. Walaupun masih berada di ruang yang sama, konsep yang dipaparkan seperti membawa kita ke satu alam lain. Seakan berada di halaman rumah untuk berehat sambil dihiburkan muzik tradisional Melayu.
Di ruang belakang Roses terdapat kolam ikan khusus untuk spa ikan. Kelainan yang ditampilkan Yaya adalah dekorasi ruang yang lebih semula jadi. Mengunakan kolam yang dikelilingi kayu sambil duduk beralaskan bantal kecil, Yaya yakin pengunjung akan berasa selesa dan nyaman. Walaupun saiz kolam sederhana, Yaya bijak memilih hiasan. Kolam dikelilingi hiasan tumbuh-tumbuhan semula jadi. Pemilihan warna seperti coklat menjadi ruang lebih luas dan sekata.
tenang
Selesai melakukan spa ikan, pengunjung boleh ke bilik rawatan menyusuri laluan yang tenang dan nyaman. Percaya dengan petua tradisonal turun temurun, Yaya menaburkan batu-batu hiasan di sepanjang laluan ke bilik. Terdapat alas kayu di sepanjang laluan tersebut.
Tidak lari daripada konsep utama, setiap bilik dilengkapi katil kayu yang dihiasi dengan tirai halus. Malah setiap alas tilam menggunakan kain batik corak tempatan.
Setiap hiasan seperti kotak tisu juga dipilih daripada anyaman. Bukan sahaja menonjolkan kraftangan tempatan, ia sebenarnya lebih mudah dijaga dan disimpan. Bilik urut kaki dengan kerusi kayu beralaskan kain batik antara ruang yang disediakan. Istimewanya di Roses, kita pasti lega dengan haruman aroma terapi semula jadi. Bahkan, Yaya sendiri menyediakan rawatan mengunakan bahan semula jadi. Misalnya, rawatan berasaskan rempah, buah-buahan, nangka kering dan sebagainya. Roses yang baru sahaja setahun dibuka terletak di No. 7-1, Jalan Equine 9B, Taman Equine, Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: