Tuesday, May 18, 2010

Pengaruh guru wanita




GOLONGAN pendidik sejati boleh diibaratkan lilin yang sentiasa menerangi kehidupan pelajar-pelajar. Pendidik yang amanah tidak membawa masuk pengertian jemu atau putus asa dalam kamus hidup mereka.

Keikhlasan mereka mendidik tidak terbatas di bilik darjah bahkan masa dan keringat sentiasa dikerah tanpa mengharapkan balasan.

Itu semua dikorbankan semata-mata berpegang kepada satu matlamat iaitu ingin melihat setiap insan yang diajar berjaya pada satu hari nanti.

Bagi yang mengenang zaman persekolahan, pasti ramai individu yang dipanggil guru atau cikgu ini masih diingati sehingga ke hari ini kerana faktor-faktor tertentu.

Tidak kira golongan pendidik itu lelaki mahupun wanita, pasti ada yang menjadi kegemaran pelajar-pelajar disebabkan karisma dan sifat mereka.

Bagi kebanyakan pelajar lelaki, golongan pendidik wanita meninggalkan kesan mendalam terhadap diri mereka sekali gus sebagai sumber inspirasi dalam mengharungi cabaran alam pembelajaran dan juga selepas meninggalkan sekolah.

Ia mungkin disebabkan sifat keibuan, kesabaran, tolak ansur, lemah lembut malah ada yang tidak dapat melupakan paras rupa menarik serta senyuman menawan yang dimiliki golongan pendidik wanita ini.

Inspirasi lakaran seni

Bagi pereka fesyen muda yang sedang mengukir nama dalam persada fesyen tanah air, Nik Erwan Nik Roseli, 26, guru pendidikan seni, Zakiah Omar, 44, di Sekolah Menengah La Salle, Petaling Jaya merupakan antara insan bertanggungjawab mencungkil bakat seni dalam dirinya.

"Jangan berputus asa dan peduli kata orang. Itu adalah ungkapan keramat Cikgu Zakiah yang menjadi azimat saya hingga ke hari ini.


SIFAT keibuan Zakiah mendorong Nik Erwan untuk berjaya dalam bidang fesyen.


"Sebagai pelajar, saya dapat merasai keikhlasan dan kasih sayang Cikgu Zakiah. Beliau boleh dianggap sebagai ibu kedua bagi kebanyakan daripada kami (teman-teman sekolah)," ujar Nik Erwan yang memiliki Ijazah Rekaan Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Dia menambah, gurunya itu juga banyak memberi dorongan, nasihat dan tunjuk ajar dalam bidang seni lantas membuatkannya berasa amat selesa dan menaruh minat menceburi bidang seni.

Hingga ke hari ini Nik Erwan masih akrab dengan gurunya. Katanya, bengkel lukisan di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle Petaling Jaya banyak menyimpan kenangan bersama Zakiah.

"Beliau banyak membantu membuat lakaran dan lukisan saya sewaktu zaman persekolahan agar kelihatan lebih cantik dan menarik.

"Di samping itu, beliau juga tidak pernah jemu menjalankan kelas tambahan lebih-lebih lagi apabila peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin hampir agar lukisan dihasilkan berkualiti dan menepati kehendak soalan," kata anak kedua daripada lima beradik itu.

Walaupun hari ini Nik Erwan masih dianggap 'hijau' dalam bidang fesyen tempatan, rekaannya pernah digayakan artis-artis terkenal tanah air seperti Ning Baizura, Noryn Aziz, Siti Sarah Raisuddin dan kumpulan Mendua.

Anak muda yang berhasrat dapat melangkah ke peringkat antarabangsa itu merancang ingin memiliki sebuah butik dan rangkaian fesyen dengan jenama sendiri untuk memperluaskan minatnya terhadap dunia fesyen.

"Sebagai guru, saya sangat bangga dengan kejayaan Nik Erwan kerana tidak sangka dia akan menceburi bidang fesyen.

"Selepas tamat SPM, saya menasihatkan dia agar mengambil kursus Rekaan Grafik dan Digital Media kerana bakat yang dimilikinya. Tidak sangka pula dia menjadi pereka fesyen," ujar Zakiah sambil menyifatkan Nik Erwan sebagai pelajar baik dan mempunyai bakat yang perlu digilap.

Zakiah menambah, bekas anak muridnya itu dan rakan-rakannya juga banyak menghasilkan kerja-kerja berkaitan seni untuk sekolah.

Katanya, setiap guru pasti akan berasa bangga atas kejayaan pelajar yang telah mendidik mereka. Pendidikan seni sebenarnya merupakan asas untuk berjaya apabila pelajar-pelajar ingin menceburi kerjaya berkaitan dengan seni.


BURN (kiri) dan rakan setugasnya di konti radio Era FM.


"Bagaimanapun, ada sesetengah pelajar tidak menyedarinya dan tugas guru adalah untuk mendidik, menasihat dan membuka minda mereka.

Cinta Matematik

Sementara itu, personaliti TV8, Jeffrey Cheng, 28, mengakui dia seorang pelajar yang pendiam dan kurang meminati mata pelajaran Matematik.

Walau bagaimanapun, ketika di tingkatan lima, bekas pelajar Sekolah Menengah Chong Hwa, Jalan Gombak Kuala Lumpur itu mula meminati subjek tersebut kerana kegigihan dan pengorbanan guru kelasnya.

Gurunya yang mesra dipanggil Puan Tan tidak pernah berputus asa dan sentiasa mengadakan kelas tambahan apabila tamat waktu sekolah untuk memupuk minat pelajar-pelajarnya terhadap subjek tersebut.

"Memang saya tidak suka Matematik tetapi perhatian yang diberikan oleh guru tersebut banyak mengubah persepsi saya terhadap mata pelajaran itu. Lama-kelamaan, saya mula meminatinya.

"Beliau banyak memberi galakan dan dorongan," kata jejaka tampan yang juga pengacara rancangan 8TV 8-Style dan I Want To Be A Model itu.

Menurut pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dari Kolej Tunku Abdul Rahman itu, sifat pendiamnya pula mungkin disebabkan hanya terdapat tujuh pelajar lelaki daripada 48 orang pelajar di dalam kelasnya.

Dia menambah, guru yang mengajar mata pelajaran matematik dan sejarah itu memiliki kesabaran yang tinggi bagi memastikan pelajar-pelajar dapat memahami setiap diajar.

"Pengaruh guru berkenaan memberi impak kepada diri saya dan saya memperoleh keputusan yang baik dalam subjek matematik SPM.

"Sehingga hari ini kemahiran matematik diajarnya masih saya praktikkan dalam urusan kewangan harian," ujar model sambilan dan pelakon drama itu.

Pengkritik tetap


KEMESRAAN Zakiah dan Nik Erwan terserlah setiap kali bersua khususnya ketika membincangkan tentang subjek seni.


Sementara itu, bekas pelajar program realiti Akademi Fantasia musim pertama (AF1), Rueben Thevandran Ramanath atau lebih dikenali dengan panggilan Burn, 28, berkata, dia sangat terhutang budi terhadap Fatimah Abu Bakar yang banyak memainkan peranan dalam kerjaya seninya.

Penyampai radio Era itu menambah, dia sentiasa diselubungi perasaan gugup dan takut semasa berada dalam program realiti berkenaan namun kehadiran Fatimah banyak memberi semangat.

"Lebih membuatkan kami berasa selesa adalah inisiatif Fatimah untuk mengenali kesemua peserta dengan lebih dekat apabila pertama kali kami bersua.

"Tindakan tersebut menunjukkan dia benar-benar ingin mengenali dan membantu kami dalam program realiti berkenaan," katanya.

Burn menambah, dia juga disifatkan sebagai ibu kerana kasih sayang dan perhatian diberikan kepada mereka. Malah, Burn masih mengingati Fatimah pernah menghubunginya dan ahli keluarga apabila pertama kali kisah dirinya tersiar dalam akhbar.

Ulasnya, Fatimah bertanggungjawab memberi keyakinan dan membantu perjalanan kerjaya dalam bidang seni yang diceburinya.

"Sehingga kini, Fatimah merupakan pengkritik tetap saya yang memberi teguran dan nasihat tentang cara kendalian saya sebagai penyampai di radio," ujar Burn.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: