|
|
KETIKA berusia 15 tahun, pakar rambut terkenal dari London, Thomas Taw sudah mula menyimpan hasrat untuk serius melakukan profesion yang begitu diminatinya itu.
Ketika itulah, dia mula terlibat dengan dunia penjagaan rambut di salah sebuah salon terkenal di Surrey, England. Disebabkan masih bergelar pelajar, dia sanggup berkhidmat di salun itu seminggu sekali pada hari Sabtu demi mengutip pengalaman.
Perjalanan kerjaya Thomas diteruskan lagi tanpa halangan setelah menamatkan pengajian. Dia memilih pendandan rambut dari Itali sebagai mentor untuk memberi tunjuk ajar berhubung selok-belok penjagaan rambut.
Bagi mengejar kejayaan dan menempa nama di persada dunia, Thomas, 32, tidak henti-henti bekerja keras apabila tidak pernah menyatakan tidak kepada jemputan seminar, pertunjukan fesyen dan rambut.
"Setiap hari saya akan bekerja dan menjadi pendandan rambut bebas untuk beberapa syarikat kecantikan. Di samping itu, saya juga akan terlibat dengan apa sahaja kempen yang berkaitan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Sunsilk Co-Creations baru-baru ini.
Sinar kegemilangannya terus dikecapi apabila Thomas mampu memiliki salun sendiri pada tahun 2007. Salun yang diberikan nama Bobsoho terletak di Marshall Street, Soho, London menjadi tumpuan selebriti, golongan kenamaan dan model terkenal antaranya Coldplay, The Cure, Natalie Imbruglia dan Agyness Deyn.
Menceritakan serba sedikit mengenai Bobsoho, Thomas memberitahu, visi penubuhan salun berkonsepkan butik itu adalah untuk memberikan khidmat yang jujur dan bijak dalam menangani sebarang kesulitan pelanggan mengenai rambut masing-masing.
"Biasanya pelanggan akan dilayan penuh mesra dengan melakukan urutan bahu, leher dan kulit kepala terlebih dahulu. Kemudian, kita akan memberi perkhidmatan potongan atau warna rambut yang sesuai dengan mereka," jelasnya yang berpengalaman selama 17 tahun sebagai pakar rambut rosak.
|
|
STAILO: Bagaimana ingin mengetahui rambut tersebut sihat atau tidak?
THOMAS: Masalah rambut rosak yang sering dihadapi oleh orang ramai ialah rambut tidak lagi berkilauan, kering, kusut dan sukar diurus.
Bagaimanapun, prinsip yang sudah lama saya pegang untuk menguji tahap kesegaran rambut adalah dengan meletakkan helaian rambut di dalam bekas kaca.
Sekiranya rambut tersebut terapung ia bermakna rambut anda sihat, manakala jika ia jatuh hingga ke tapak bekas kaca, ini bermakna rambut anda memerlukan rawatan segera.
Apakah punca sebenar rambut mudah rosak?
Ramai yang tidak mengetahui punca rambut rosak terbahagi kepada dua kategori iaitu mekanikal dan larutan kimia. Biasanya mereka yang kerap menggunakan pengering rambut atau alat meluruskan rambut akan mudah terdedah kepada faktor kerosakan rambut.
Selain itu, penggunaan pewarna rambut yang mempunyai bahan kimia berlebihan boleh mengakibatkan rambut mudah gugur. Dalam pada itu, bahan kimia yang digunakan untuk membuat fesyen rambut kerinting merupakan salah satu puncanya.
Apakah jalan penyelesaian mudah dan praktikal untuk mengatasi masalah rambut rosak?
Saya menumpukan segenap tenaga dan emosi kepada isu rambut agar, mahkota itu tampak sihat berseri, bukannya menutup masalah itu dengan kaedah dandanan yang menelan belanja tinggi.
Bagi saya, Sunsilk Co-Creations adalah sebahagian daripada komitmen dan kesungguhan untuk kesihatan rambut menawan yang boleh dilakukan di rumah sahaja.
Pemilihan syampu amat penting dan perlu dilihat siapakah pakar rambut yang bekerjasama dengan jenama tersebut. Petua dan teknik untuk memiliki rambut yang sempurna patut diketahui oleh semua bukan segelintir mereka yang bernasib baik.
Apakah pandangan anda tentang projek Sunsilk?
Saya sebenarnya tidak berminat untuk terlibat dalam sesuatu perkara yang mana sekadar meletakkan nama saya sahaja di atas produk tersebut. Dengan Sunsilk saya membenarkan nama saya tertera kerana saya turut terlibat dalam proses pembuatan bermula daripada formula, tekstur sehingga ke pembungkusan.
Ini bermakna saya yakin dengan Sunsilk Damaged Hair Reconstruction kerana membabitkan tenaga saya sepenuhnya. Ia juga mengambil masa setahun untuk menyiapkan proses pembuatannya. Ramuan aktif yang digunakan ialah ialah Olive Serum Nutri Complex yang mana ia merupakan 100 peratus bahan semula jadi.
Boleh berkongsi tip mudah penjagaan rambut?
Anda yang mempunyai kulit kepala berminyak tidak disarankan kerap mencuci rambut dengan syampu. Tidak salah untuk mencuci rambut setiap hari tetapi harus dipastikan syampu yang digunakan mesti seimbang dari segi pH.
Pelembab rambut merupakan bahan yang paling diperlukan. Ini kerana ia mempunyai nutrisi yang boleh menutupi rambut.
Diet seimbang turut memberi kelebihan kepada rambut iaitu lebih kelihatan segar dan sihat.
Tidak perlu tukar sebarang produk lain sekiranya syampu dan pelembabnya sudah sesuai dengan rambut anda.
Potongan rambut yang sesuai menjadikan anda kelihatan bergaya.
Pilih pendandan rambut yang boleh memberikan jawapan tepat berhubung penjagaan rambut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: