Monday, May 17, 2010

Direktori lengkap Raja Sehari


MAJALAH Direktori Perkahwinan dijual pada harga RM29.90 senaskhah di kedai-kedai buku terkemuka di seluruh negara.


PERKAHWINAN merupakan satu ikatan suci dua jiwa lelaki dan wanita. Melalui ikatan tersebut, perkahwinan dapat meneruskan keturunan manusia di muka bumi, apatah lagi fitrah manusia itu hidup secara berpasang-pasangan.

Sebagai hari yang paling bermakna dan sentiasa dinanti-nantikan, pastinya setiap pasangan yang bakal bergelar raja sehari mengimpikan kesempurnaan dalam majlis yang bakal diabadikan.

Semakin hampir dengan majlis, semakin sibuk pasangan pengantin mencari kelengkapan perkahwinan. Apa yang pasti menjadi tumpuan tentulah barangan khusus untuk raja sehari sama ada butik yang menyediakan baju pengantin, kedai kek, pelamin mahupun aksesori dan perhiasan.

Bagi mereka yang berkemampuan mungkin tidak perlu pening kepala kerana boleh menggunakan khidmat perancang perkahwinan.

Bagaimanapun bagi mereka yang mempunyai bajet terhad sudah pasti terpaksa mengaturnya sendiri.


NORMALA (empat dari kanan) menunjukkan majalah Direktori Perkahwinan kepada Sheikh Muszaphar dan pasangannya pada majlis pelancarannya.


Justeru, kelahiran sulung Direktori Perkahwinan terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) baru-baru ini pastinya memberi kelegaan kepada bakal pengantin yang merancang dan membuat persiapan untuk majlis perkahwinan mereka.

Majlis pelancaran majalah itu disempurnakan oleh Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan tunang beliau, Dr. Halina Mohd. Yunos.

Bahan bacaan setebal 256 muka surat itu memberi tumpuan pada himpunan koleksi andaman, fesyen, aksesori dan hiasan serta senarai direktori kelengkapan perkahwinan dengan susunan reka letak dan persembahan muka depan yang segar dan eksklusif.

Majalah yang dijual pada harga RM29.90 senaskhah itu telah berada di semua rangkaian kedai-kedai buku terkemuka di seluruh negara.

Ketua Pengarang Majalah UKSB, Badrul Azhar Abdul Rahman berkata, beliau yakin penerbitan majalah itu mampu menarik minat pembaca khusus bagi mereka yang sedang membuat persediaan dan persiapan menghadapi hari perkahwinan.

"Menjanjikan paparan pengisian yang padat dan terkini berkaitan perkahwinan, majalah ini merupakan bahan rujukan terbaik untuk bakal pengantin dan para ibu bapa yang memerlukan tip menuju ke gerbang perkahwinan ," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Pengarang Kanan Unit Majalah Keluarga UKSB, Normala Hamzah.

Sementara itu, Normala berkata, ia merupakan kali pertama Kumpulan Utusan mengeluarkan sebuah majalah yang berkonsepkan perkahwinan moden, tradisional dan kontemporari meliputi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Bagi Sheikh Muszaphar, beliau berasa bangga kerana diberi peluang sebagai penghias muka depan majalah itu bersama tunangnya, Halina.


AZIZ (kanan) menepung tawar pasangan pengantin sebagai gimik pelancaran majalah Direktori Perkahwinan di Istana Budaya baru-baru ini.


Katanya, majalah itu banyak memberi manfaat khususnya kepada bakal pengantin dalam merancang dan membuat persiapan perkahwinan mereka.

"Kami sendiri juga banyak belajar daripada majalah ini khususnya berhubung tip-tip dan sebagainya.

"Apa yang pasti, pengisian dan paparannya yang lengkap dan padat serta menepati cita rasa semua pembaca tanpa mengira kaum dan usia," katanya yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 10 Oktober ini.

Bagaimanakah persiapan majlis perkahwinan beliau? Sheikh Muszaphar memberitahu, segala-galanya berjalan lancar seperti yang dirancang biarpun kedua-duanya agak sibuk dengan komitmen masing-masing.

"Perancangan kami ialah untuk mengadakan sebuah majlis yang bertemakan angkasa lepas, malah kami juga merancang menjemput 100 angkasawan dari 35 buah negara.

"Namun konsep pakaian kami nanti masih bercirikan kemelayuan dengan penekanan elemen songket dan sebagainya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: