SUKAR untuk melihat dia tampil menyarungkan persalinan yang jelita dan anggun. Acap kali beraksi di atas pentas mahupun mengatur langkah di karpet merah, penyanyi Stefani Joanne Angelina Germanotta atau lebih popular dengan nama Lady Gaga, 28, lebih gemar memilih konsep fesyen pelik dan unik.
Wajah Lady Gaga adakalanya diselubungi kain dan lakaran lukisan pelbagai motif, malah rambutnya pula sengaja didandan dengan konsep pelik bersama warna-warna terang.
Hari demi hari gaya anehnya semakin ketara dan kadangkala sukar diterima akal fikiran. Namun, Lady Gaga sedikitpun tidak berasa janggal. Setiap kritikan sinis dan jelik yang dilemparkan kepadanya dibiarkan berlalu begitu saja. Sebaliknya, anak kelahiran New York, Amerika Syarikat (AS), itu dilihat semakin galak menerokai fesyen pelik dan misteri.
Itulah keistimewaan Lady Gaga yang enggan membiarkan penampilan dan tata rias wajahnya berpaksikan fesyen mana-mana selebriti sebelumnya. Pelantun suara yang popular menerusi lagu Poker Face dan Bad Romance itu lebih selesa mencipta busana dan dandanan rambut personal.
"Tiada istilah malu ataupun terasa diri ini umpama badut. Saya fikir wanita perlu berani menentukan fesyen sendiri walaupun dunia fesyen kini menerima lambakan rekaan dan konsep pakaian pelbagai.
"Sekali-sekala tidak salah mencipta kelainan dan menyerlahkan keunikan diri dengan idea sendiri," tutur Lady Gaga mengenai fesyen peliknya yang semakin disenangi ramai.
|
|
Berkembang di Malaysia
Buktinya fenomena imej pelik cetusan Lady Gaga sudah mula menyerang industri fesyen dan solekan tanah air. Boleh dikatakan lewat kebelakangan ini majoriti pertunjukan fesyen yang berlangsung kerap menjadikan Lady Gaga sebagai tema dan inspirasi utama.
"Pemilihan konsep Lady Gaga bukan bermakna kami terlalu taksub memartabatkan selebriti dari luar negara. Tapi, ia lebih ke arah mendidik para penonton supaya menjadi diri sendiri dan mencontohi sikap Lady Gaga yang berani mempraktikkan fesyen mengikut cita rasanya.
"Sebagai contoh rata-rata individu yang saya temui gemar meniru gaya rambut golongan artis. Padahal stail rambut berkenaan tidak ideal dengan bentuk wajah mereka. Berlainan dengan Lady Gaga, dia bijak menentukan imejnya sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa," jelas Pengasas salon Hairkunst, Bambang Sutrisno Soteto, sambil menyepitkan anyaman tikar yang diperbuat daripada kertas di atas kepala model dan pelakon Julia Ziegler.
Bambang yang ditemui pada sesi persiapan sempena Pertunjukan Fesyen Rambut Minggu Fesyen The Curve, menyifatkan tidak sukar untuk mendandan rambut barisan model bak Lady Gaga kerana ia hanya memerlukan kreativiti, aksesori dan sentuhan tanpa batasan.
Namun begitu, bagi memastikan tema Lady Gaga yang dibawanya seiring dengan Minggu Pertunjukan Fesyen The Curve yang bertemakan Parti Hijau maka Bambang menyediakan aksesori dan kelengkapan rambut berasaskan barang terpakai dan terbuang.
|
|
Untuk tema itu, Bambang dan tenaga kerja Hairkunst bertungkus-lumus mengumpul barang terpakai seperti sarung kaki wanita, kertas pembalut hadiah, dawai, reben, jaring dan rambut asli. Dalam tempoh dua bulan himpunan aksesori kepala daripada bahan terbuang itu dapat disempurnakan dengan jayanya.
"Tak sangka sarung kaki yang sudah koyak boleh digubah untuk menghasilkan aksesori rambut yang dirasakan sesuai digayakan ke majlis formal dan minum petang. Hanya menggunakan beberapa helai sarung kaki berlainan warna, saya masukkan dawai ke dalamnya dan membentuk menjadi kelopak bunga yang sedang mekar.
"Begitu juga dengan kertas pembalut hadiah yang dianyam menjadi tikar dan digumpal untuk dijadikan elemen perhiasan rambut yang comel dan unik. Tidak ketinggalan rambut asli yang digumpal menjadi sanggul tebal dan tinggi bak bentuk pelepah burung," terang Bambang yang mampu menyiapkan rambut seorang model dalam masa 30 minit.
|
|
Sementara itu, label Wanpa yang terlibat sama dalam menjayakan pertunjukan fesyen rambut Hairkunst turut menyediakan himpunan busana yang menggabungkan elemen fesyen Lady Gaga dan inspirasi dari hutan belukar yang gelap.
Menurut salah seorang pereka Wanpa, Rashid Omar, koleksi gaun yang direka banyak bermain dengan teknik potongan dan perincian yang pelik dan misteri. Tambah Rashid: "Sebaik sahaja diberitahu barisan model bakal memperaga stail rambut ala Lady Gaga, maka saya dan rakan Ridzuan Ismail, terus bercadang menghasilkan pakaian yang sejajar dengan konsep berkenaan."
Tugasan pelajar Limkokwing
Nampaknya penangan stail rambut penyanyi tersebut bukan sekadar di kalangan pendandan rambut profesional, malah dijadikan inspirasi kepada pelajar jurusan Rekaan dan Rambut Universiti Limkokwing, Cyberjaya, Selangor dalam mempersembahkan tugasan mereka pada hari Pertunjukan Rambut Graduasi Universiti 2010 baru-baru ini.
Seramai 13 pelajar jurusan berkenaan yang terlibat telah mempersembahkan tiga rekaan rambut Lady Gaga. Ada yang tampil dengan rambut bertocang berbelit, hiasan aksesori pelik dan tidak kurang juga menyarungkan rambut palsu potongan patung Cina rona putih.
"Potongan dan warna rambut rekaan saya ini diinspirasi daripada kumpulan rock Jepun, Visual Kei terutamanya dari segi mainan warna yang pelbagai dan terang. Sementara warna rambut putih pula semestinya dipengaruhi daripada ikon Lady Gaga.
"Seperti mana tabiat Lady Gaya yang kerap menghiasi rambutnya dengan aksesori ganjil, saya turut bermain dengan elemen sedemikian," tutur graduan Universiti Limkokwing, Muhammad Harith Haikal Maskim.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: