
SEAKAN meminjam sebentar situasi yang sedang berlaku di Indonesia, The5 keluar dengan sebuah lagu yang menggambarkan keadaan tersebut. Single terbaru berjudul Tapi Aku Cinta (Walau Lebih Tua) secara kebetulan memberi refleksi kepada situasi sebenar yang berlaku pada zaman sekarang.
"Di Indonesia, antara pasangan selebriti yang bercinta tetapi berbeza usia ialah Yuni Shara dan Raffi Ahmad.
"Kebetulan lirik lagu yang ditulis itu terkena dengan keadaan itu. Ia berlaku secara kebetulan," ujar Taura jujur tentang penghasilan lagu yang ditulis oleh Panji Siswanto, komposer sama yang menggubah lagu untuk Alif Satar dan Alif Aziz.
"Kalau pengalaman sebenar, saya pernah bercinta dengan orang yang lebih tua tetapi tidak bertahan lama," ketawa Taura yang lebih menyukai wanita yang lebih muda atau sebaya dengan dirinya
Menurut The5, lagu tersebut memberi nafas baru akan kemunculan mereka berdua. The5 dianggotai oleh C Taufani Rahadian (Taura) dan Arif Topan Sanjaya (Arif).
Pemergian Bony Adam yang memilih kerjaya tetap sebagai pegawai bank di Bank Mandiri, Jakarta tidak melumpuhkan semangat kumpulan ini.
"Kami bertiga mahu muncul bersama lagi. Tetapi Bony memilih untuk mengikut kehendak keluarganya yang mahukan dia bekerja tetap. Malah dia berasa selesa dengan keputusan tersebut.
"Jujurnya tinggal berdua lebih memudahkan perjalanan kerjaya kami terutama daripada pembahagian vokal. Lebih menyenangkan," jujur Taura bersuara.
Mereka pernah bersama memperkenalkan nama The5 dengan lagu-lagu seperti Separuh Masa serta Buronan Cinta dan momen bersama itu akan tetap tersemat dalam sanubari mereka.
Dengan tinggal hanya dua vokal dalam kumpulan yang pernah menjadi juara program The Gangstarz musim pertama, Taura dan Arif mengambil inisiatif menamakan kumpulan ini sebagai The5 dan bukan lagi ejaan The Lima.
Penjenamaan semula ini dilihat sebagai memberi nafas lebih segar dan menyudutkan sedikit perbezaan buat peminat terhadap kemunculan mereka.
Dengan nama baru dan nafas baru, The5 mempersembahkan album Victory yang mengandungi lima buah lagu baru dan tiga buah lagu minus one.
"Empat daripada lima lagu tersebut adalah lagu berentak rancak. Konsep album ini berbeza dengan album debut kami.
"Kali ini lebih kepada pop dance yang memberikan kami ruang untuk lebih bersifat agresif," ujar Taura mewakili The5.
Malah dari sudut kepuasan, album yang diedarkan oleh Sony Music Malaysia ini memberikan kebebasan untuk mereka membuat pemilihan lagu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: