
AKADEMI FANTASIA (AF) musim kelapan menghampiri kemuncak dan penyingkiran terakhir malam ini mengizinkan semua pengikut setianya mengenal pasti calon paling layak untuk berada di singgahsana sang juara.
Dalam episod Debaran Akademi Fantasia nanti, siapa di antara Iwan, Maulana, Daus, Shahir, Adira dan Ain akan kecundang dari pentas final. Hanya lima nama akan tersenarai dan sejurus selepas Konsert Akhir AF8, sang juara mahupun naib juara, tempat ketiga, keempat atau kelima, semua finalis itu akan turun ke industri muzik sebagai artis.
Minggu lepas, Sensasi Bintang diberi kejutan masuk ke akademi sebagai tetamu. Bukan sekadar bertemu menghulur salam, buat kali pertamanya, produksi AF8 yang ditunjangi Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi memberi peluang kepada pelajar yang selama ini dikuarantin berkongsi khabar dengan media.
Bukan menambah bara publisiti katanya, tetapi memberi kelainan kepada AF8 yang berdepan banyak jangkaan ramai.
Menjejaki karpet merah malam kemuncak AF8, dua pengajar AF8, aktor berkarakter Que Haidar dan guru vokal handalan, Siti Hajar Ismail diajak menelaah tentang prestasi anak didik mereka.
Bersediakah mereka, sudah tercanai sempurnakah pesona, populariti dan kualiti mereka setelah hampir tiga bulan bertapa di sebuah akademi?
Meminjam kata pengetua musim ini, Norman Abdul Halim: "Awal-awal lagi saya tanamkan ke dalam diri setiap pelajar agar menjadikan didikan guru-guru di AF sebagai pegangan. Jika pegangan mereka kuat, setiap kritikan dan cabaran yang datang selepas ini mampu ditangkis dan hadapi dengan baik. Tugas kami bukan setakat menegakkan benang yang basah."
Sejauh mana keyakinan para pengajar terhadap seorang lagi calon juara AF yang sedang dibentuk dalam AF8?
QUE HAIDAR (Q): Susah untuk saya pilih siapa di kalangan peserta yang ada sebagai calon juara sebab masing-masing ada peningkatan dalam aspek berbeza-beza seperti vokal, keyakinan diri serta pembawaan diri di atas pentas.
Saya bangga dengan pencapaian mereka dan ada yang menampakkan kemampuan untuk bergelar bintang, syaratnya mereka harus ada bakat. Di AF8, banyak cabaran dan kejutan diberikan sebagai persediaan mental mereka bila keluar nanti.
SITI HAJAR (S): Saya setuju dengan pandangan Que. Saya sendiri sudah lebih 20 tahun terlibat secara tidak langsung dalam industri muzik, menjadi tenaga pengajar di AF sendiri sudah masuk lapan tahun, saya lihat semua pelajar AF8 memiliki identiti vokal yang berbeza-beza.
Mereka ada minat yang kuat untuk jadi penyanyi. Itu landasan utama untuk membina rumah dalam industri dan ilmu yang mereka dapat dalam AF pula konkrit yang meneguhkan rumah mereka.
Kami sudah sedaya upaya membentuk sinaran mereka. Tinggal lagi untuk meneruskan sinaran atau faktor-x, atau pesona yang ada, penyanyi itu sendiri yang harus cari jalan.
Lampu juga telah dinyalakan tetapi jika tiada kualiti, sinaran itu tidak boleh membuatkan orang silau terhadap mereka, bukan salah kami.
Ramai mendakwa populariti AF semakin merudum, pelajar tiada pesona dan AF8 yang paling ketara, komen kalian?
Q: Berbalik kepada persediaan mental juga. Dalam AF, kami bekerja keras melatih mereka supaya menjadi orang yang berfikir. Saya sendiri ambil masa enam hingga tujuh tahun sebelum popular. AF8 bukan AF1 atau AF2 yang ketika itu menjadi fenomena kerana ia benda baru.
Ini nasib peserta AF tahun ini kerana mereka masuk AF8. Jika mereka mahu jadi anak seni berhati tulus bukan sekadar berangan, mereka boleh pergi jauh. Populariti hanyalah bonus. Saya masuk ke industri ketika umur 18 tahun tetapi filem pertama saya datang ketika berusia 24 tahun.
S: Itu tandanya dari satu sudut yang lain, khalayak sedang melihat kualiti berbanding populariti. Biar tidak popular tetapi bila ada kualiti, populariti akan datang dengan sendiri.
Jadi, masih pentingkah menjadi juara?
Q: Juara itu bonus. Contohnya, ramai yang berjaya mencipta nama walaupun bukan juara, Aizat, Nana dan Reza. Mereka ada tapak yang kukuh ketika ini.
S: Juara tidak boleh dikongsi oleh dua orang tetapi juara itu ada dalam diri masing-masing.
Tidak semua kelahiran AF berjaya sebagai penyanyi, adakah akademi yang menjadikan mereka tersasar?
Q: Rata-rata peserta AF terlalu muda dan ada yang datang dari kawasan pedalaman, dari Sabah dan Sarawak, jadi mereka kurang pendedahan dan tidak kenal diri sepenuhnya. AF sebenarnya menjentik dan mencetuskan kesedaran mereka terhadap bakat masing-masing.
S: Secara tidak langsung AF memberitahu pihak luar bahawa seni itu perlukan ilmu dan pendedahan. Seorang pelakon akan lebih bagus lagi jika mereka punya vokal yang baik.
Peserta AF8 datang daripada tahap pendidikan yang berbeza, apa kaedah pengajaran yang paling praktikal agar ilmu dapat diserap semua pelajar?
Q: Dalam pengajaran seni persembahan, asas perletakan tubuh di atas pentas itu penting. Jika seseorang pelakon itu ada asas tarian, dia mampu jadi pelakon yang lebih baik kerana pandai memilih posisi tubuh.
Mulanya saya fikir, ada vokal sahaja sudah cukup untuk jadi penyanyi. Saya pernah berfikir kenapa AF1 sampai AF7 perlu ada kelas seni persembahan. Kelas ini memberi perasaan kepada nyanyian pelajar, jika sedih kena dalam emosi yang begitu.
S: Pada saya, perkara pertama adalah teknik-teknik asas vokal tetapi jika pelajar itu boleh membaca input yang dibekal ke tahap yang lebih tinggi, ilmu yang diterima di AF seperti sudah bertahun-tahun belajar vokal.
Sepanjang konsert AF8, tenaga pengajar menunjukkan bermacam reaksi dan mimik muka apabila pelajar dihentam pihak pengkritik. Enggan menerima kritikan atau tidak bersetuju dengan kritikan?
Q: Kadang-kadang memang rasa geram dengan kritikan yang dilemparkan sebab saya ada tanggungjawab untuk mempertahankan pelajar. Jika hanya mencari kecacatan, superstar seperti Madonna juga ada cacatnya ketika beraksi.
Kritikan akan jadi lebih baik jika disusuli dengan panduan. Saya bimbang pelajar akan lebih keliru apabila dihentam dengan teruk.
S: Memang saya akan sesak nafas bila ada kritikan yang di luar jangkaan. Saya mengharapkan peningkatan atau kemerosotan mereka yang disebut.
Saya terbuka dengan kritikan tetapi biarlah kritikan itu dalam lenggok dan bahasa yang boleh difahami semua dan berharap pengkritik jadi medium pemikiran ramai.
Saya cuma tidak suka dengan kritikan secara personal sebaliknya harus mewakili semua penonton. Jika seseorang pengkritik itu jadi wakil kepada semua, martabatnya sebagai pengkritik akan lebih tinggi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: