Sunday, May 23, 2010

Terjemahan karya Dalang


AGE Of Mismatched Value 2008.


ADA orang menganggap guru yang paling hebat adalah pengalaman. Tapi ada juga yang mengatakan pelajaran dan ilmu yang ditimba itu juga tidak boleh dipandang enteng memandangkan itulah yang menjadi kayu ukur.

Biarpun apa sahaja tafsiran yang dibuat, sama ada berguru melalui pengalaman mahupun mengembara beribu-ribu batu itu tetap sama pentingnya.

Tapi dalam bidang seni kreatif ini bermacam kemungkinan yang boleh berlaku. Malah jika melihatkan pelukis-pelukis tersohor negara, mereka banyak belajar untuk menjadi seniman mapan melalui pengalaman.

Bukan sedikit perjalanan yang dilalui. Ada yang terpaksa menempuhi ranjau yang cukup berat ujiannya dan tak kurang juga yang tersungkur sebelum berada di puncak.

Namun kini semuanya telah berubah. Ramai seniman muda yang mula buka mata terhadap ilmu pengetahuan dan ini semua dapat dilihat apabila kebanyakan graduan-graduan seni lukis mula menjadikan bidang seni kreatif ini sebagai satu bidang cari makan.

Long Thien Shih juga tidak kurang hebatnya. Figura yang sedang mencipta nama dalam lapangan seni yang cukup dikagumi dan disegani. Dia bukan sahaja boleh menghasilkan karya-karya yang hebat, malah mempunyai pengikut yang tersendiri.

Jika melihatkan karya-karya yang telah pun dihasilkan olehnya, pasti ramai yang cukup kagum dengan keupayaan dirinya yang dilihat mampu membawakan idea-idea baru yang cukup segar.

Malah kebanyakan paparan yang siap digantung didinding-dinding ruang pameran juga mampu diterjemahkan sebagai sesuatu yang cukup mencabar tatkala melihatkan sesebuah karyanya.

Thien Shih merupakan individu yang cukup bertuah. Mungkin dia antara seniman yang mendapat pendidikan yang cukup baik dan terdedah dengan suasana iklim kreatif dunia lebih awal.

Dia juga boleh berbangga apabila mendapat pendidikan di Collage Of Art, London dan Nationale Superieure des Beaux-Arts, Paris.

Kebanyakan karya-karya Thien Shih mencerminkan Zeitgest atau semangat zamannya tapi dia bukanlah seorang seniman yang suka memperihalkan masalah waima bercerita mengenai nostalgia.

Kini dia boleh berbangga apabila berpeluang mengadakan pameran solo yang berjudul Dalang yang mengangkat puluhan karya-karya apa yang dirasakannya yang diterjemah ke atas kanvas untuk tatapan umum.

Ini merupakan pameran solo yang cukup dinantikan sejak sekian lama. Namun apa yang nyata Thien Shih merupakan seorang pelukis yang tidak pernah berhenti daripada menghasilkan karya yang berbaur dalam persekitaran dan budayanya.

Latar sosial yang unik

Jika diamati satu per satu lukisan terjemahannya, dia selalu mengambil tahu dan mengambil kira latar belakang sosial yang unik di negara kita.

Sikapnya bukan kerana dia terlalu berhati-hati tetapi lebih dizahirkan realiti masyarakat yang berlaku daripada kasih dan ghairahnya terhadap masyrakat. Sikapnya yang cukup ikhlas diterjemah juga atas lukisan.

Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan pameran solo Dalang karya Long Thien Shih, boleh berkunjung ke RA Fine Art Gallery, No.6 Jalan Aman Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Hubungi talian 03-2161 5015 untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: