![]() |
| HAIZA |
LEBIH 15 artis Malaysia dan Singapura bakal berkampung di Johor Bharu untuk bersama pengunjung Karnival Suara Malaysia yang dianjurkan akhbar Mingguan Malaysia, hujung minggu depan.
Karnival selama dua hari pada 29 dan 30 Mei anjuran akhbar Ahad paling popular akan berlangsung di Padang A, Plaza Angsana, Johor Bharu.
Selain gerai jualan dan pameran, orang ramai juga berpeluang untuk bertemu dengan artis-artis popular ini selama dua hari acara berlangsung.
Malah, artis-artis ini juga akan melayan pengunjung di Gerai Selebriti yang telah disediakan oleh pihak penganjur bagi menempatkan produk jualan artis.
Antara artis yang sudah mengesahkan penyertaan di Gerai Selebriti ini ialah Hattan, Roslan Shah, Zarina AF, Deja Moss, Sheila Abdul, Razali Hussain dan beberapa lagi.
Sementara itu, Pancaindera sendiri bakal menerbitkan Konsert Mini Pancaindera di lokasi sama sempena acara tersebut.
Barisan artis-artis popular tanah air termasuklah Hattan, Jay Jay, Zamani Slam, Amylea AF, Izwan Pilus, Haiza, dan Shazroul.
Turut memeriahkan konsert ialah tiga pelakon popular, Jehan Miskin, Intan Ladyana dan Razali Hussain yang akan melakonkan sketsa-sketsa yang bersesuaian dengan tema kemanusiaan dan kemasyarakat.
Selain itu, tiga artis Singapura yang terlibat ialah Imran Ajmain, Maya Rahman dan Shah Iskandar.
Selain EDLife Sdn. Bhd dan Redtone Mobile yang merupakan penganjur dan penaja bersama, program ini turut mendapat kerjasama daripada Dream Music, A&W, Jamu Mak Dara, Hotel Selesa dan Warisan Wanita.
Karnival juga turut dimeriahkan dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi dengan lebih dekat dan mudah bersama mereka seperti Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Bukan itu sahaja, atas dasar mahu berkongsi mesej positif bersama masyarakat, syarikat korporat terkemuka termasuk UDA South Land dan pelbagai agensi lain turut turun padang.
Kesempatan ini juga turut direbut oleh Mingguan Malaysia untuk menyelitkan kempen Kami Prihatin yang digerakkan Utusan Malaysia yang bertujuan menyalurkan pelbagai maklumat yang menyentuh berkaitan isu sosial pada masa kini.
Penyanyi Haiza misalnya, sempat melahirkan teruja untuk meneruskan program ke Johor Bharu untuk menemui peminatnya di sana sambil mencurahkan khidmat masyarakat.
“Tidak dapat digambarkan betapa seronoknya saya kerana dapat mengikuti program ini yang memberi peluang kepada golongan artis seperti saya untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan.
“Mingguan Malaysia melalui Karnival Suara Malaysia dan Kembara Mingguan Malaysia mewujudkan satu platform yang lain kepada golongan artis sebagai sumber penyampai maklumat kepada masyarakat.
“Pastinya saya tidak sabar untuk meneruskan misi yang sama menerusi jelajah program yang akan menemui peminat dan pembaca Mingguan Malaysia di Johor Bharu pada hujung minggu ini,” katanya.
Penyanyi jelita ini sebelum ini pernah bersama dalam acara Kembara Mingguan Malaysia ke Rumah Kanak-Kanak Rembau dan Rumah Anak Yatim Ulu Gadong pada 2 Mei lalu.
Sementara itu, artis popular Singapura, Imran Ajmain pula menganggap, peluang untuk menyertai program anjuran akhbar berpengaruh ini tidak wajar dilepaskan.
Ini memandangkan pengisiannya cukup padat dengan mesej positif yang mengajak masyarakat khususnya golongan belia untuk mengekang gejala sosial yang semakin menular kini.
“Saya lihat ini merupakan satu peluang untuk para artis berkhidmat kepada masyarakat secara terus.
“Selain boleh beramah mesra bersama peminat, golongan artis juga boleh membantu menyampaikan mesej kempen dan secara tidak langsung menjadikan artis itu sebagai jurucakap kepada kempen sambil menyelitkan nasihat, motivasi dan sebagainya,” katanya.
Selain booth pameran, program juga akan dimeriahkan dengan pameran pengantin yang akan dijayakan oleh Hotel Selesa, Johor Bharu termasuk jualan produk industri kecil dan sederhana (IKS) serta penyertaan produk-produk pengguna lain.
Karnival juga turut digamatkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang telah dirangka termasuklah pertandingan karaoke URTV.
Majalah hiburan tertua dalam negara itu memberi peluang kepada mereka yang berbakat untuk menyertai pertandingan nyanyian yang menyediakan pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai.
Selain itu, pertandingan tarian jalanan, pertandingan kucing tercantik, gerai jualan selebriti, pameran Kembara Mingguan Malaysia dan banyak lagi acara lain yang juga menawarkan hadiah berupa wang tunai dan hadiah iringan menanti pengunjung.
Untuk kali ini, Mingguan Malaysia menyasarkan tarikan pengunjung seramai 100,000 dari sekitar Johor Bahru termasuk Singapura.
Selepas Johor Bharu, karnival akan diteruskan ke Bentong, Pahang pada akhir Jun dan Kota Kinabalu, Sabah (akhir Julai) dan Perak (akhir Oktober) dan Kuala Lumpur (akhir November).
Karnival ini turut mendapat sokongan Majalah URTV selaku majalah rasmi, Suria FM sebagai radio rasmi dan Mangga Online sebagai portal rasmi yang akan memberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Booth pameran dan jualan masih lagi dibuka untuk usahawan, syarikat korporat, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan swasta yang berminat.
Sebarang pertanyaan mengenai perdaftaran booth dan karnival ini, orang ramai boleh menghubungi talian 016-6680792 atau 012-2259645 untuk maklumat lanjut.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: