MEREKA mungkin bukan stesen radio nombor satu kerana umum maklum gelaran itu kini milik Sinar FM, tetapi hakikatnya Hot FM masih unggul sebagai stesen yang menepati sasaran demografik yang ditetapkan sejak mula beroperasi pada Februari 2006 iaitu memikat pendengar di bawah lingkungan umur 35 tahun.
Ketua Pegawai Operasinya, Seelan Paul ketika dihubungi semalam berkata, slot pagi yang dikendalikan gandingan pemenang Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009, Fara Fauzana dan Faizal Ismail juga masih menepati sasaran apabila didengari pendengar di bawah umur 40 tahun.
Menurut Seelan lagi, pihaknya akur dan sedar persaingan tetap ada. Malah sisi jatuh bangun sesebuah produk atau perkhidmatan turut menjadi kelaziman dalam dunia kompetitif ini. Jelasnya, persaingan ini cukup bagus untuk industri radio tempatan dalam memastikan semangat untuk terus memberikan yang terbaik.
“Ia seperti pertandingan. Pasti ada yang menang dan kalah. Pada akhirnya, ia berbalik kepada cabaran kita untuk terus mengukuhkan legasi yang sudah diperjuangkan selama ini. Ruang ini juga menjadi alasan untuk kita terus bermuhasabah diri memperbaiki segala kekurangan yang ada.
“Ironinya bukan faktor muzik yang dipersembahkan saja yang penting untuk memikat pendengar. Malah dari semasa ke semasa, kita kena memikirkan pelbagai strategi baru untuk memperkuatkan lagi inti pati stesen radio naungan Media Prima.
“Kami menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Hakikatnya keputusan ini biarpun tidak ideal dengan apa yang diharapkan, kami masih menganggap ia sebagai keputusan yang baik. Kita tetap akan berusaha untuk terus bersaing secara baik. Terima kasih kepada pendengar Hot FM, Fly FM dan One FM yang terus menyokong,” katanya.
Ditanya mengenai strategi yang bakal dilancarkan pada masa terdekat, Seelan menjelaskan strategi yang dirangka sebenarnya berterusan dan paling baik ia dilakukan setiap hari demi hari. Strategi yang dibuat bukan untuk tempoh masa tertentu saja.
“Dengan apa yang terjadi, kami tidak betah duduk diam. Kami akan terus berusaha menyajikan yang terbaik untuk pendengar. Strategi terus dirangka untuk enam bulan seterusnya dan sepanjang masa. Apa yang boleh saya katakan berkemungkinan besar, Hot FM akan ada orang baru. Semua kena tunggu dulu dan masih terlalu awal untuk didedahkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Rangkaian Radio Media Prima, Ahmad Izham Omar berkata, biarpun persaingan sengit dalam landskap penyiaran radio, pihaknya tetap berbangga dengan kejayaan yang ditempa rangkaian radio naungannya, di mana Hot FM, Fly FM dan One FM masih mempunyai tempat yang istimewa di kalangan kumpulan sasaran masing masing, di bawah 35 tahun.
“Ini adalah pencapaian buat tenaga kerja kami yang kreatif dan berdedikasi serta pucuk pimpinan yang kuat di dalam organisasi kami. Saya sememangnya tidak sabar untuk menunggu pencapaian akan datang oleh radio di Media Prima. Ia akan seiring dengan acara turun padang yang bakal dianjurkan ketiga stesen radio ini.
“Justeru, pelbagai acara telah diaturkan sepanjang tahun 2010 yang juga menjadi simbolik tanda ucapan terima kasih kami kepada kesetiaan serta sokongan pendengar yang mendukung stesen radio naungan kami. Hot FM akan terus mewarnai pentas industri dengan Bengkel Hot FM Kita Punya.
“Bengkel muzik yang bakal berlangsung bulan depan akan menyaksikan ikon muzik tanah air berkongsi pengalaman serta tips kepada anak-anak muda yang berminat mendalami bidang tersebut. Dari tatacara pembikinan sesebuah lagu, pembahagian royalti lagu mahupun cara bermain instrumen muzik dengan betul, semuanya akan di sajikan dalam bengkel sehari itu nanti,” kata Izham.
Tambahnya lagi, Fly FM pula akan menganjurkan Flyniversary sekitar November. Selain itu, acara Fly FM Soccer Striker turut akan dilaksanakan dalam membangkitkan semangat Piala Dunia yang bakal menjelang. 16 buah pasukan akan dipilih dan seterusnya mereka akan bertanding kalah mati bagi memastikan sejumlah wang tunai menjadi milik mereka.
Bagi One FM, acara sinonim seperti jelajah Mall atau Mall Tour akan tetap berlangsung sepanjang hujung minggu mulai Jun dan Julai nanti. Kemeriahan itu pasti akan dapat di rasai apatah lagi dengan kehadiran orang baru dalam keluarga One FM iaitu Nick. Kemunculan keluarga ini pasti akan memberi sentuhan yang lebih intim kepada para pendengar One FM di seluruh Malaysia nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: