SEBAHAGIAN pelajar abai keselamatan dengan menunggang motosikal tanpa menggunakan topi keledar.
MERU: Ramai pelajar di sekitar pekan ini terus mengabaikan undang-undang apabila menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar.
Selain itu, ada antara mereka yang berjalan kaki tidak menggunakan jejantas yang dibina kerajaan untuk kemudahan dan keselamatan mereka.
Selain itu, sama ada pelajar terbabit memiliki lesen memandu atau sebaliknya, tidak dapat dipastikan.
Bagi pelajar yang berjalan kaki pula, lain senarionya apabila mereka dilihat sanggup menggadai nyawa melintas jalan raya yang sibuk dengan kenderaan berat walaupun jejantas dibina di hadapan sekolah mereka.
Seorang ibu, Jamilah Osman, 55, berkata jumlah pelajar yang menunggang motosikal untuk ke sekolah semakin ramai, tetapi tidak dapat dipastikan mereka mempunyai lesen memandu atau sebaliknya.
Beliau yang kelihatan kesal dengan keadaan itu berkata, berdasarkan kepada usia dan sering gagal mematuhi undang-undang jalan raya, mungkin ramai yang menunggang motosikal itu tidak mempunyai lesen memandu.
“Gejala ini berlaku kerana sikap ambil mudah ibu bapa dan kurangnya kesedaran mengenai undang-undang jalan raya di kalangan pelajar,” katanya ketika ditemui Sentral, kelmarin.
Sementara itu, seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Janet, 45, berkata tidak kira pelajar atau orang awam, jumlah yang menggunakan jejantas boleh dikira dengan jari.
“Memang diakui kesedaran menggunakan kemudahan sebegini amat kurang di kawasan ini dan kerana itu kempen perlu diadakan untuk kebaikan semua pihak,” katanya.
Selain itu, katanya, polis perlu meningkatkan penguatkuasaan bagi mengurangkan masalah pelajar yang tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.
Seorang guru, Ruslinda Samad, 35, berkata masalah pelajar tidak menggunakan jejantas itu juga mengakibatkan berlaku kesesakan lalu lintas di hadapan sekolah terbabit.
“Masalah ini lebih jelas dilihat apabila tiba waktu puncak iaitu waktu tamat sesi persekolahan.
“Mereka mengambil jalan pintas dengan melintas jalan raya di hadapan sekolah kerana hendak cepat kerana jika menggunakan jejantas, mereka terpaksa mengambil sedikit masa,” katanya.
Beliau berkata, kewujudan jejantas terbabit hanya ibarat gajah putih kerana hanya digunakan segelintir pelajar yang berdisiplin dan sedar dengan keselamatan diri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: