Tuesday, May 25, 2010

Shahir nafi tiru Mawi



Teka-teki siapa Juara AF8 terjawab apabila Shahir diumumkan sebagai juara pada konsert akhir Akademi Fantasia Musim 8 (AF8) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil. Shahir menyampaikan lagu baru, Kebahagiaan Dalam Perpisahan dan lagu Biru Mata Hitamku (Wings). Kemenangan Shahir membolehkan beliau membawa pulang hadiah bernilai lebih RM250,000.

Shahir yang memperoleh undian dari penonton di Malaysia, Singapura dan Brunei dengan 43.91 peratus meninggalkan jauh Adira dengan 25.13 peratus, Daus (12.47 peratus), Maulana (10.82 peratus) dan Iwan (8.93 peratus).

Dengan kejayaan itu, menjadikan Shahir sebagai sejarah baru dalam Akademi Fantasia apabila muncul juara selepas diundi masuk.

Bagaimana pun di sebalik kejayaan Shahir sebagai juara AF8 kali ini, terdengar cakap-cakap belakang yang mengatakan Shahir seperti meniru personaliti Mawi. Sama seperti Mawi, kejayaan Shahir sebagai juara menjadi nyata setelah diberi peluang kedua.

Bagaimanapun Shahir menafikan dia seolah-olah cuba mengikut imej Mawi dan menyifatkan sikap ketimurannya bukanlah plastik.

“Pertama, saya ingin melahirkan rasa syukur kepada Allah atas rezeki yang diberikan kepada saya, terima kasih kepada semua pihak terutama cikgu-cikgu yang banyak mencurah ilmu kepada saya sepanjang dalam akademi dan terima kepada pengundi,”

“Saya tidak berasakan seperti mengikut Mawi, malah saya tak pernah terfikir untuk meniru imej ketimuran yang di bawa Mawi dahulu, imej ketimuran ini memang lahir dari hati, saya memang seorang yang pemalu, tetapi saya akan berusaha mengikis sikap malu demi karier yang baru bermula,” katanya kepada media selepas diumumkan sebagai juara AF8.

Walaupun akan membawa imej ketimuran, bagi Shahir, ia tidak menghalang dirinya dari memilih genre rock yang dirasakan sesuai dengan jiwanya semenjak dalam akademi lagi.

“Buat masa ini saya rasa genre rock bersesuaian dengan saya, tetapi saya tidak kisah jika mencuba genre-genre lain. Saya juga suka kepada muzik yang menyentuh jiwa. Apa-apa pun bergantung pada nasihat dan pandangan dari pihak yang lebih pakar, terutama pengetua Norman,” katanya.

Shahir berkata walaupun telah menamatkan pengajian di akademi, dia akan tetap memperbaiki mutu vokal dan belajar dari pihak yang lebih arif mengenai suaranya.


Syukur dapat kereta

Saat ditanya media mengenai kereta yang akan diterima kelak, Shahir melahirkan rasa bersyukur kerana akhirnya memiliki kereta yang akan memudahkan urusannya kelak.

Malah Shahir akan menggunakan kereta Peugeot 207 yang diterimanya untuk urusan persembahan dan juga pelbagai urusan berkaitan kerjanya.

“Selama ini saya guna motor atau pengangkutan awam untuk bergerak ke mana-mana, tetapi dengan rezeki yang Allah berikan pada saya malam ini, dapatlah saya gunakan kereta ini untuk memudahkan urusan saya kelak,” katanya yang sedia bekerjasama dengan pihak KRU jika diberi peluang.



Minat berlakon

Shahir juga tidak menolak jika diberi peluang untuk bergelar pelakon jika diberi peluang dan ada watak yang sesuai untuk dilakonkan.

“Minat berlakon ada, tetapi saya tidak beberapa yakin mempunyai kebolehan dalam bidang lakonan, tapi kalau ada rezeki apa salahnya, apa-apa pun tengoklah macam mana nanti,” katanya yang berhasrat untuk meneruskan pengajiannya dan bergelar Profesor untuk tempoh 10 tahun lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: