|
|
Semasa masih di bangku sekolah dan tinggal bersama keluarga di Kota Bharu, Kelantan, Shaheez Mohd. Suhaimi aktif dalam beberapa bidang seni.
Dia aktif berteater bersama Persatuan Anak Seni Ucok Tara (PASUT) dan pernah membuat persembahan teater di Kelantan dan luar negeri itu. Shaheez juga meminati bidang pengacaraan dan pernah ada kumpulan muzik.
Namun buat masa sekarang, dia meninggalkan sementara kesemua itu kerana tidak berkesempatan setelah enam bulan bekerja tetap dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Kuala Lipis, Pahang dan menetap di sana.
“Saya memang minat dengan teater, tapi sekarang terpaksa meninggalkan sementara sebab sudah bekerja tetap. Walaupun tidak berapa aktif, tapi minat saya masih ada.
“Bersama persatuan itu saya pernah membuat beberapa pementasan dan pernah melakonkan watak utama dalam teater Diari Jamil Rohani. Dalam teater Matinya Seorang Pahlawan pula saya melakonkan watak Hang Jebat,” jelasnya.
Shaheez juga pernah menganggotai sebuah band bersama rakan-rakan sekolah dan berada di posisi pemain dram. Namun apabila masing-masing menyambung pengajian dan bekerja, kumpulan tersebut terpaksa dibubarkan.
“Memang pada awal penubuhan kami ingin mendapat tempat untuk menjadi artis rakaman, tapi belum sempat terlaksana, kami terpaksa bubar,” katanya tentang kumpulan yang mengenengahkan muzik rock itu.
Walaupun hasrat tersebut belum terlaksana, ia tidak mematikan minat Shaheez terhadap muzik. Beliau berharap suatu hari nanti boleh kembali aktif bersama anggota lain.
Satu lagi kecenderungan Shaheez dalam bidang berkaitan seni ialah minatnya sebagai deejay. Bukan mahu menjadi deejay radio sebaliknya lebih cenderung sebagai deejay acara.
“Sebelum bekerja di tempat sekarang, saya kerja sebagai deejay acara untuk karnival, pesta jualan dan sebagainya. Saya seronok menghiburkan pengunjung dalam mana-mana acara yang saya sertai.
“Ada juga orang tanya sama ada saya berminat untuk menjadi deejay radio? Saya kurang minat sebab saya rasa jiwa saya lebih terarah kepada deejay acara.
“Ia berbeza sebab seorang deejay radio berkomunikasi dalam konti tanpa melihat orang ramai, sebaliknya deejay acara boleh berinteraksi secara terus dengan pengunjung selain memutarkan lagu bagi menghiburkan mereka.”
Memandangkan minat dalam seni yang lama ditinggalkan itu, Shaheez memberanikan diri memasuki Pencarian Kacak Bergaya 2011 dengan harapan mahu kembali aktif selepas ini.
“Saya harap selepas ini saya dapat tawaran dan boleh kembali aktif dalam bidang teater, deejay dan muzik,” kata Shaheez lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: