|
|
PERJUANGAN enam pelajar Akademi Fantasia 8 (AF8) berbaki dua minggu lagi. Selepas tempoh tersebut, gelaran itu dilucutkan dan mereka bakal memasuki populasi bintang hiburan tanah air. Era penuh cabaran yang mewujudkan arena persaingan di pentas seni yang nyata berbeza dengan apa yang dipelajari secara tutorial.
Masa genting sudah tiba. Tumpuan masyarakat masa kini lebih terarah kepada kemunculan bintang baru. Tidak mahu sekadar melepaskan batuk di tangga atau memeriahkan industri tetapi pengisian kali in berpusat kepada ‘pesona bintang’ itu sendiri.
Tanggungjawab tersebut dipikul oleh Adira, Maulana, Ain, Daus, Iwan dan Shahir yang kini gigih bertempur merebut perhatian masyarakat semua. Peperangan tanpa menggunakan senjata tajam seperti pedang, mesingan, bom dan rombongan askar, tetapi hanya berpaksikan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Setiap individu dikehendaki menjadi penjual bakat dan pakej pada setiap minggu. Itu sahaja cara untuk memasang jerat memikat para penonton untuk terus menyokong mereka. Pelbagai genre muzik dilakukan termasuk Konsert AF8 minggu kesembilan yang telah disaksikan secara langsung malam tadi.
Dua lagu yang ditugaskan buat setiap pelajar diberikan oleh pengetua, Norman Abdul Halim menjadi penilaian pada konsert semi final itu. Biar penonton puas menatap wajah dan mengukur kemantapan persembahan masing-masing sebelum memutuskan sama ada mereka layak atau tidak untuk peringkat akhir.
Adira dengan lagu Mercy (Duffy), Dua (Tria); Maulana - Better Man ( Robbie William), Inilah Cinta (Akim); Daus - Masa (Estranged), Mission Impossible (Limp Bizkit); Ain - Luka Dilukai (Shima), Falling For You (Colbie Callait); Iwan - 21 Guns (Green Day), Berlari (Tomok); Shahir - Tak Mungkin Berpaling (Zamani) dengan Tamal Li Maak (Amr Diab).
Sementelah sudah selesai persembahan yang dimuntahkan lebih 100 peratus itu, degupan jantung memuncak pada malam ini. Darjah termometer tidak stabil kerana pengumuman bergelar finalis AF8 bakal diketahui.
Sarimah Ibrahim dijadikan subjek utama sepanjang Debaran AF8 yang disiarkan secara langsung pada malam ini. Topik wajib yang dilontarkan dari mulut wanita itu – siapa lima finalis yang layak ke peringkat akhir.
Siapa dia dan mengapa?
Pengamatan secara rambang mengatakan bahawa Adira paling layak memasuki ruang dimensi selanjut. Pesona bintang yang diserlahkan gadis berketurunan Kadazan Dusun itu bukan sahaja menambat hati sang jejaka, malah kaum Hawa.
Perwatakan gadis suci dari desa yang dibawanya bukan lakonan semata-mata. Dia sangat tersendiri bukan sahaja dari tutur kata malah personaliti. Ibarat span, Adira menyerap semua pengajaran daripada tenaga pengajar untuk dijadikan garis panduan dalam persembahannya.
Tambahan pula, Adira tidak dibayangi oleh mana-mana artis tempatan sedia ada. Kelunakan suara semasa menyampaikan lagu secara versatil memberi banyak mata tentang kelebihan dirinya.
Si gigi besi, Shahir berupaya menjejak langkah Adira. Prestasi persembahan dan konsistensi dikagumi bukan sahaja di kalangan juri profesional malah yang tidak bertauliah.
Tambahan pula selepas bergelar Shahir Lambert, (kononnya ada iras juara American Idol, Adam Lambert) di kalangan peminat menyemarakkan semangat untuk bersaing di kalangan rakan-rakan yang ada.
‘‘Saya tidak pernah menjadikan pendakap gigi ini sebagai halangan untuk menyanyi. Biarpun kurang selesa tetapi saya perlu ia memastikannya dalam keadaan bersih,’’ kata anak kelahiran Ipoh, Perak ini mengulas tentang ‘kelebihan keduanya’ itu.
Dia juga tidak merasakan bahawa waktu rehat selepas penyingkirannya dua minggu lalu menyebabkan kehilangan fokus.
Seorang lagi pelajar, Ain yang mempunyai kulit Afrika Amerika dikatakan calon seterusnya. Gadis kelahiran Sandakan, Sabah itu seorang yang jelas pendiriannya. Dia tahu yang dikehendaki walau pun sedikit memilih.
Bukannya mahu bersikap diva tetapi itu adalah stail Ain. Bersuara lantang dan sentiasa fokus untuk mengejar impiannya. Apatah lagi impian itu berkait rapat dengan masa depan gadis berusia 24 tahun ini.
Maulana yang bergigi jarang turut memberi persaingan dengan persembahan jazznya. Memiliki suara jantan menjadikan dia benar-benar istimewa dalam kebanyakan persembahan mingguannya.
Anak kelahiran Johor Bharu, Johor itu juga sentiasa yakin dengan penampilan dirinya meski pun agak rendah diri dengan kelemahan penampilannya satu ketika itu dahulu.
‘‘Nak buat macam mana, ini semua (gigi jarang) semua berlaku sebab saya degil. Suka makan ais krim walaupun ditegah ibu. Hasilnya, semua gigi saya jarang. Sampaikan nak makan biskut pun susah sebab asyik tersembur saja,’’ seloroh anak muda berusia 22 tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: