Friday, May 21, 2010

Keluarga, pengikut Abuya mula berbalah

RAWANG: Keluarga dan pengikut Asaari Muhammad atau Abuya mula berbalah berhubung kepercayaan kononnya bekas pemimpin pergerakan Al-Arqam yang diharamkan itu tidak meninggal dunia dan akan kembali dalam masa terdekat.

Menantu Asaari, Sheikh Lokman Hakim Abdul Rahim Pfordten, yang mendakwa mewakili keluarga Allahyarham semalam secara terbuka mengakui kepercayaan itu tidak benar dan disebarkan semata-mata untuk menenangkan emosi pengikut Abuya demi menyelamatkan empayar perniagaan Global Ikhwan Sdn Bhd yang diasaskan bekas pemimpin Al-Arqam itu.
Bagaimanapun, Penasihat Ekonomi dan Korporat Global Ikhwan, Dr Aziz Hashim, mempertahankan kenyataannya kelmarin bahawa Abuya cuma ghaib dan akan kembali dalam masa terdekat.
“Siapa Sheikh Lokman Hakim untuk menafikan perkara ini. Adakah pangkatnya lebih besar daripada Fakhrur Razi (anak sulung Asaari dan pemangku Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan).

“Apa yang didedahkan adalah kebenaran dan konsert yang diadakan pada Isnin dan Selasa lalu bertujuan mengharapkan Abuya kembali dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Terdahulu, pada sidang media di Ibu Pejabat Global Ikhwan, Sheikh Lokman Hakim, menjelaskan keluarga Asaari menerima hakikat kematian Allahyarham, malah menyaksikan Abuya menghembuskan nafas terakhirnya pada 13 Mei lalu.

"Bagaimana kami dikatakan tidak dapat menerima hakikat kematian Allahyarham, sedangkan kami menyaksikan sendiri Abuya menghembuskan nafas terakhirnya.
"Arwah kemudian dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Pilin, Rembau. Pada kami, Abuya memang sudah tiada, tetapi ramai sangat mengharapkan kematian itu tidak berlaku," katanya pada sidang media yang turut dihadiri anak keenam Asaari, Muhammad Iqramullah merangkap Ahli Lembaga Pengarah Global Ikhwan dan seorang lagi menantu Allahyarham, Dr Rohaya Mohammad.

Bagaimanapun, Fakhrur Razi tidak hadir, dipercayai mempunyai urusan perniagaan di luar Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Fakhrur Razi dalam ucapannya pada hari pertama konsert ‘Kalahkan Nafsu Abuya Pulang’, Isnin lalu, dilaporkan berkata bapanya hanya pergi sementara dan akan kembali dengan jasad yang hidup untuk memimpin umat Islam.

Beliau berkata, kegembiraan ditunjukkan pengikut Asaari pada konsert itu membuktikan mereka yakin bekas pemimpin Al-Arqam itu tidak meninggal dunia.

"Umumnya, kumpulan ini menunggu jawapan yang boleh menenangkan mereka. Kami perlu berhati-hati kerana tidak mahu lebih banyak masalah timbul. Jika kami mengatakan Abuya meninggal dunia, kami bimbang Global Ikhwan akan menjadi lesu dan kehilangan pekerja, sedangkan inilah legasi perjuangan ditinggalkan arwah untuk diteruskan pewaris dan kakitangannya," katanya.

Justeru, katanya, selepas mengkaji semua aspek, keluarga Allahyarham mengambil jalan selamat dengan memaklumkan bahawa Asaari ghaib dan akan kembali meneruskan perjuangannya.

"Ini bukan bermaksud kita berkuasa menghidupkan semula orang yang sudah mati. Kita hanya manusia biasa yang banyak kelemahan dan kekurangan. Allah jua yang maha segala-galanya.

"Kami akui masih ada (pengikut) tidak boleh menerima hakikat Abuya sudah tiada. Ada yang masih terkejut. Ini semua memerlukan masa, malah kami sendiri masih dalam kesedihan. Lebih menyedihkan bila keluar cerita sebegini," katanya.

Merujuk kenyataan kononnya Abuya cuma ghaib, beliau berkata, kisah seperti itu ada dinyatakan dalam al-Quran seperti peristiwa Nabi Isa, Nabi Khaidir dan Ashabul Khafi.

"Namun, siapalah arwah untuk disamakan dengan mereka. Mengenai pantomin 'Kalahkan Nafsu Abuya Pulang' tidak sama sekali bermaksud arwah akan hidup semula.

"Pulang ialah kembali ke ‘negara asalnya’ dari mana kita datang. Hidup yang kekal sebenarnya ialah di akhirat. Janganlah merujuk kepada pantomin untuk berhujah kerana ia lakonan semata-mata. Ia cuma program motivasi untuk menaikkan semangat kakitangan kami yang disalah tafsir pihak tertentu.

"Penganjuran program motivasi tempoh hari juga mendapatkan kebenaran pihak berkuasa. Justeru, isu ini tidak sepatutnya timbul hingga mengelirukan orang ramai," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: