
SEMARAKNYA sukan futsal telah memberi warna baru dalam bidang sukan di Malaysia. Bukan lagi sukan yang asing di kalangan penggemar sukan, futsal sudah menjadi satu medium merapatkan hubungan antara penggemar bola sepak dengan selebriti.
Kosmo! yang tidak pernah tertinggal dalam menjayakan acara seumpama ini (futsal dengan gabungan selebriti) kini bersedia untuk sebuah lagi acara sukan terhebat pada tahun ini bersempena dengan Hari Belia Negara 2010.
Menjadi akhbar rasmi yang menganjurkan Rentap Futsal Putrajaya di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya bermula semalam hingga 16 Mei, menariknya, penganjuran kali ini adalah julung-julung kali akan menghimpunkan lebih seribu penyertaan dengan pengunjung disasarkan melebihi 10,000 orang.
Malah Rentap Futsal Putrajaya yang merupakan kerjasama Kosmo! dengan Kementerian Belia dan Sukan mencipta rekod sendiri apabila akan berlangsung selama 60 jam tanpa henti dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM88,950.
Terdapat lima kategori yang dipertandingkan sepanjang tiga hari temasya berlangsung iaitu kategori Lelaki Terbuka, Lelaki Larut Malam, Wanita Terbuka, Lelaki Bawah 18 tahun dan Lelaki Bawah 12 Tahun. Akan menyertai lima kategori ini adalah dua pasukan selebriti yang akan turut serta memeriahkan majlis.
Barisan selebriti yang akan disertai oleh Marsha Milan Londoh, Intan Ladyana, Syed Ali, Bienda, Roslan Shah, Razali Hussin, Hairi Anak Wayang, Nazril Idrus, Chaq dan ramai lagi ini akan menentang sesama sendiri.
![]() |
| ROSLAN SHAH tidak pernah ketinggalan menyertai futsal anjuran Kosmo!. |
Sementara sebahagian selebriti lain seperti Hattan akan menyertai Pasukan Bintang Bintang Pilihan Kosmo! dan bergabung dengan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak, Penolong Ketua Pengarang 11 Kumpulan Utusan, Zaini Hassan, Penolong Pengarang 11 Kosmo!, Lokman Othman, Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Kebangsaan, K. Rajagopal serta yang lain untuk membenamkan Pasukan Pilihan Perdana Menteri.
Menurut Hattan yang bukan pertama kali terlibat dengan acara anjuran Kosmo!, kerjaya sebagai artis bukan satu alasan untuk membuat dia 'lari' daripada aktiviti sosial seumpama ini. Sementelah, ia berkaitan dengan sukan, satu aktiviti yang begitu sinonim dengan dirinya.
Walaupun terkenal sebagai pemain golf, Hattan sebenarnya tidak kurang hebat di gelanggang futsal.
Katanya: "Seperti yang selalu saya katakan, sukan juga adalah satu seni. Malah futsal sendiri dapat meningkatkan stamina. Yang paling saya suka juga mengenai sukan adalah ia dapat mengeratkan silaturahim antara semua pemain."

Sementara itu bagi penyanyi Bienda yang akan turun padang bersama ibunya, Shida, mengharapkan agar penglibatannya dalam aktiviti seumpama ini dapat mendorong lebih banyak generasi muda menghabiskan masa dengan bersukan bagi mengelakkan terjadinya perlakuan negatif.
Pasukan-pasukan selebriti ini akan menggegarkan gelanggang kejohanan futsal bermula pukul 3 petang, 16 Mei (Ahad) ini. Bertanding sesama sendiri, mereka berazam untuk memberi yang terbaik sewaktu pertandingan kelak.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: