Saturday, May 15, 2010

Pasca hidup Jennifer




DUNIA lebih mengenali dia sebagai bekas isteri kepada aktor, Brad Pitt. Namun, semenjak bercerai dengan jejaka yang dimiliki Angelina Jolie sekarang, Jennifer Aniston mula menyerlah dengan jenamanya sendiri secara solo.

Lima tahun selepas berpisah, Jennifer tidak mempunyai kekesalan. Teman lelaki? Suami? Bayi? Itu mungkin soalan yang kerap ditanya oleh peminatnya tetapi Jennifer pada usia 40 tahun memberitahu dirinya gembira hidup tanpa teman istimewa.

"Lelaki bukan lagi keutamaan dalam hidup saya. Brad sudah lama menjadi sejarah. Saya sudah meneruskan hidup saya 100 peratus," tegas Jennifer.

Buktinya, sejak berpisah, hidup Jennifer diisi dengan kemunculan beberapa lelaki. Bermula dengan gandingan dalam filem The Break-U (2006), Vince Vaughn, mereka berpisah tidak lama kemudian. Penyanyi, John Mayer, 32, menggantikan tempat Vince sekitar tahun 2008.


PADA usia 40 tahun, Jennifer Aniston masih menawan.


Walaupun sudah berpisah, mereka masih kekal sebagai kawan. Cintanya kemudian beralih kepada Bradley Cooper, 35. Hanya mampu bertahan seketika, Jennifer kemudian dikhabarkan intim dengan aktor Gerard Butler, 40, ketika mereka bersama-sama menjayakan filem The Bounty Hunter tahun lalu.

Tiada pengesahan mengenai cinta mereka dilakukan. Ada yang menyatakan kemesraan itu dipamerkan secara sengaja bagi mempromosikan karya terbaru mereka itu yang akan ditayangkan di pawagam tempatan bermula 20 Mei nanti.

Bagi Gerard, Jennifer sudah bagaikan ahli keluarga kepadanya. "Ya, saya mungkin menyambut hari jadinya (11 Februari) bersama di Mexico tetapi kami hanya kawan baik. Dia sudah menjadi sebahagian daripada ahli keluarga saya."

Kelakar dan kacak, Jennifer tanpa segan mengaku Gerard merupakan kombinasi lelaki idaman ramai. "Kami seronok merakamkan filem bersama. Dia seorang lelaki yang penuh dengan kejutan. Kami berkongsi banyak persamaan.

"Semasa menjayakan filem bersama, Gerard banyak menenangkan perasaan saya terutama semasa terlibat dalam babak aksi. Nasib baik dia berada di sisi saya," ujar pelakon yang memegang watak sebagai Nicole Hurly dalam filem itu.


BEKAS isteri Brad Pitt kini masih belum mahu menamatkan zaman janda.


Bagi mereka yang mengenali Jennifer, mereka tahu aktres itu terdesak untuk berkahwin. "Dia sering disalah faham. Dia dikatakan bercinta untuk bersuka ria. Dia dikatakan memilih John Mayer kerana dia seorang yang seronok," kata seorang kenalan rapatnya.

Namun, apa yang difikirkan oleh lelaki mengenai Jennifer adalah berlainan. "Siapa yang tidak jatuh cinta dengan Jennifer? Dia berbakat, menawan dan comel. Satu lagi, kakinya amat seksi," kata Adam Rose yang turut membintangi The Bounty Hunter.

Kekal kurus dan cantik bagi Jennifer merupakan permintaan kerjanya. Dia yang dilabelkan sebagai aktres 'America Sweetheart Next Door' sejak pembabitan dalam siri popular Friends, bagaimanapun dikatakan tidak lagi sesuai untuk filem genre romantik komedi.

Kritikan itu timbul selepas audiens menyaksikan The Bounty Hunter. Dalam artikel New York Post: "Jennifer tidak boleh menjayakan watak sebegitu lagi. Dia sudah tua. Tidak kira sama ada dia membuat yoga atau menjaga pemakanan, dia tidak muda lagi. Dia perlu sedar diri."

Namun, kegagalan kutipan filem itu di Amerika Syarikat (ditayangkan sejak 19 Mac) tidak boleh diletakkan di atas bahu Jennifer seorang yang dikatakan sudah tua. Lihat sahaja aktres veteran lain seperti Meryl Streep (It's Complicated) dan Helen Mirren (The Last Station).

Mereka mampu menarik audiens walaupun menjayakan watak romantik versi tua. Jadi usia mungkin bukannya masalah. Apa yang menjadi pemangkin utama masalah Jennifer adalah dia enggan keluar daripada zon selasanya.


JENNIFER kini muncul dengan filem terbarunya, The Bounty Hunter.


Itu tanggapan ramai tetapi jangan dilupakan Jennifer pernah mengejutkan penonton dengan persembahannya dalam He's Just Not That Into You dan Marley & Me. Kata Jennifer: "Tidak dinafikan saya selalu menantikan skrip kelakar yang bagus.

"Daripada semua filem yang boleh dibikin, saya suka membuat orang ketawa. Saya sendiri suka ketawa. Saya rasa semua orang perlu ketawa."

Walaupun Jennifer sendiri mengaku dirinya lebih menyukai plot romantik komedi, ini tidak bermaksud, dia meletakkan sempadan. Malah, baru-baru ini, dia juga sedang menyediakan diri untuk tanggungjawab terbarunya, The Goree Girls, sebuah muzikal mengenai penghibur penjara.

Itu membuktikan Jennifer bersedia untuk melakukan anjakan paradigma. "Memang saya suka filem komedi tetapi ini tidak bermaksud saya membataskan watak lain.

"Contohnya seperti filem akan datang, saya akan mencabar diri untuk menjadi penyanyi dan penari. Jadi saya akan memulakan kelas nyanyian dalam masa terdekat," jelas aktres kelahiran California itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: