Sunday, May 23, 2010

Rahsia hati Haliza Misbun




HALIZA Misbun mempunyai alasan sendiri untuk menjadi anak dara tua (andartu) atau anak dara lanjut usia (andalusia). Pertanyaan ‘bila nak kahwin’, ‘bila nak merasa nasi minyak awak’ dan ‘bila nak berdua’ juga kerap kali singgah di telinganya.

Kalau hendak diimbas bila bermulanya persoalan itu, jawabnya semasa dia masih muda remaja sehingga usia mencecah angka 37 tahun.

Kadang kala, soalan panas itu membangkitkan rasa hangit dan jengkel di hati. Yelah, apabila wanita bujang sepertinya diasak bertubi-tubi dengan pertanyaan sebegitu, boleh jadi separuh gila kalau dilayan.

Getus hatinya kalau dijawab, pasti butir kata menyakitkan hati sekali gus mendatangkan persepsi negatif. Sementelah kalau ditelan bulat-bulat, hati membengkak dan dikhuatiri berkudis pula. Namun, Haliza akui bahawa itulah kebenaran yang diperlu ditelan sekiranya belum memiliki kad nikah sendiri.

Sebenarnya, bekas pelajar undang-undang itu seperti wanita lain. Mahu ada kisah cinta sendiri dan memenuhi tuntutan nurani kewanitaannya untuk dikasihi oleh seorang lelaki.

Bagaimanapun, dia mengalami zaman ‘gelap’ yang cukup mengharukan apabila kisah percintaannya dijaja teruk dan mengundang persepsi negatif sesetengah pihak sebelum ini. Asakan dan tujahan tidak baik kepadanya mengundang imej serong yang menyebabkannya dia rasa serik untuk berbicara terbuka tentang kisah peribadinya.

Namun pertemuan bersama Pancaindera baru-baru ini mengubah segala-galanya. Haliza bersedia untuk membuka mulut mengenai tiga lelaki yang penting dan berkait rapat dengan hidupnya selama ini. Harapannya hanya satu agar selepas kenyataan beraninya itu, tidak ada mulut yang bercerita mengenainya lagi.

Tiga lelaki berkenaan ialah pelakon dan pengarah tersohor, Datuk Rahim Razali, pelakon kacak dari Tanah Seberang, Ari Wibowo dan seorang lelaki Perancis, Cedrick Lemaite yang dikatakan cinta terbarunya.

‘‘Biarlah saya bercerita panjang di sini. Lepas ini tidak payah saya nak menjelaskan satu demi satu kepada semua orang mengapa masih mengekalkan status andartu sampai hari ini,” bicara pertama Haliza sebelum membentangkan hujah cintanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: