Sunday, May 23, 2010

Radja belum ‘berkubur’




KALAU sebut sahaja nama kumpulan ini, pasti ramai yang angguk kepala tanda mengenali mereka yang cukup popular dengan lagu Jujur pada satu ketika dahulu.

Tapi entah mana silapnya, nama Radja terus ‘padam’ dalam atmosfera muzik tempatan dek kebanjiran kumpulan-kumpulan muzik dari Indonesia yang lain.

Namun diam-diam mereka bukan diam sembarangan. Banyak yang mereka lakukan selama menyepikan diri termasuklah mahu tampil dengan album terbaru di pasaran Malaysia sedikit masa lagi.

Apa yang mengejutkan kumpulan yang pernah mencetuskan fenomena ini hanya tinggal berdua sahaja selepas penarikan anggota yang lain.

Kini tinggal Ian Kasela (vokalis) dan Moldy (gitar) sahaja yang mengemudi Radja. Namun semangat dan perjuangan mereka tetap sama. Album Terus Terang yang memuatkan 12 buah lagu baru akan berada di pasaran Malaysia mulai esok.

Terdapat keistimewaan dan perbezaan album Terus Terang ini berbanding album yang sebelumnya. Pelbagai ekspresi dan luahan rasa Radja yang dapat dirasai tatkala mendengar bait-bait.

Terpanggil dan terdorong untuk membangkitkan kembali rasa teruja seperti mana yang berlaku dalam album pertama, Radja tampil berbeza dengan memasukkan unsur tradisional melalui budaya daerah yang hampir dilupakan. Namun dalam pendekatan dan penyampaian yang berbeza dan dikemaskini dalam bentuk dan muzik moden.

Dalam album ini terdapat 10 buah lagu dari daerah Kalimantan Selatan yang telah disusun atur lebih moden dan diperkemaskan muziknya mengikut muzik yang dibawakan Radja .

Tujuan mereka hanyalah satu, untuk mengenalkan kembali kepada generasi muda yang belum mengetahui dan yang telah melupakan bahawa lagu-lagu Banjar sesuai untuk digemari dan diterima generasi muda.

Selain 10 buah lagu daerah (Banjar) yang sememangnya menarik apabila didengar kerana kekuatan melodi dan muzik Radja itu sendiri, terdapat juga dua buah lagu baru yang bakal meletup di corong-corong radio Malaysia.

Lagu Terus Terang dan Maaf begitu menjadi lagu yang mudah diterima dan sangat menarik di dengar apatah lagi kepada mereka yang mendengarkan buat pertama kali. Bagi mereka yang mahu menyaksikan persembahan Radja, mereka akan muncul di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang pada bulan Julai ini. Nantikan kehadiran Radja di tempat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: