|
|
ARTIS dibawa untuk membersihkan kawasan perkuburan? Biar benar! Dalam imej dan busana yang sentiasa mahu dilihat anggun, mana mungkin golongan artis mahu berpanas-panas melakukan kerja amal sebegitu?
Pasti banyak yang seakan tidak percaya. Tetapi inilah yang bakal berlaku apabila rombongan artis menyertai Kembara Mingguan Malaysia yang melibatkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuklah membersihkan Tanah Perkuburan di Kampung Panjang Sari, Pagoh, Johor bersama dengan masyarakat setempat.
Nah, jika sebelum ini ada yang memandang sinis usaha Mingguan Malaysia menganjurkan Kembara Mingguan Malaysia, kini ramai yang mula buka mata akan usaha kecil tetapi cukup bermakna ini.
Malah program ini mendapat maklum balas yang cukup positif, maka tidak hairanlah Kembara Mingguan Malaysia yang sebelum ini yang singgah di Negeri Sembilan pada 2 Mei lalu, berjalan dengan lancar.
Malah, Mini Konsert Pancaindera bertema kemanusiaan dan kasih sayang yang dianjurkan bersempena dengan kembara berkenaan juga telah dihadiri oleh lebih 30,000 penonton.
Meneruskan perancangan sama, kembara akan diteruskan dengan singgah di dua kawasan parlimen di Johor pada 22 Mei ini.
Rombongan kembara yang dibawa menaiki kenderaan pelbagai guna, yang disediakan oleh Kelab Oddysey Malaysia dijadualkan bakal ke daerah Pagoh iaitu kawasan parlimen Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kembara kemudian singgah pula di Labis untuk bersama dengan Yang Berhormat Chua Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis.
Antara artis yang menyertai kembara sehari kali ini termasuklah Jehan Miskin, Kamal Adli, Intan Ladyana, Roslan Shah, Shila OIAM dan Razali Hussain yang akan bersama-sama penduduk tempatan melakukan pelbagai aktiviti yang telah diatur.
Bagi golongan selebriti, ada yang cukup teruja untuk bersama Kembara Mingguan Malaysia bagi melaksanakan tanggungjawab sosial termasuk menyampaikan bantuan kepada penduduk tempatan yang kurang berkemampuan dan melawat Pusat Komuniti Kanak-Kanak Labis.
“Bagi pihak Mingguan Malaysia, sudah pasti kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan YB Chua Tee Yong atas kesudian menerima kunjungan kami ke tempat mereka.
“Walaupun ramai selebriti tempatan yang mahu ikut serta, pihak Mingguan Malaysia khususnya Pancaindera memohon maaf kerana tidak dapat melibatkan kesemua mereka.
“Jangan risau, masih banyak lagi aktiviti yang bakal diadakan selepas ini, terdekat di Johor Bahru pada 29 dan 30 Mei ini di mana Karnival Suara Malaysia akan berlabuh di Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru,” jelas Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin.
Sementara itu, di Karnival Suara Malaysia, pelbagai acara dan aktiviti diatur dimana acara yang dianjurkan bersama EDLife Sdn. Bhd ini akan memudahkan lagi masyarakat untuk berinteraksi bersama dengan beberapa agensi yang akan turut serta.
Antaranya Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), UDA South Land dan pelbagai agensi lain.
Selain daripada booth pameran, terdapat juga pameran pengantin yang akan dijayakan oleh Hotel Selesa, Johor Bharu serta jualan produk industri kecil dan sederhana (IKS) dan penyertaan produk-produk pengguna yang lain.
Bagi merancakkan lagi karnival ini, pelbagai aktiviti menarik diatur termasuklah pertandingan karaoke URTV, tarian jalanan, kucing tercantik, gerai jualan selebriti, pameran Kembara Mingguan Malaysia dan banyak lagi acara lain yang juga menawarkan hadiah berupa wang tunai dan hadiah iringan.
Pada malam terakhir, 30 Mei, akan berlangsungnya Mini Konsert Pancaindera membariskan artis popular tanah air termasuklah Hattan, Jay Jay, Zamani Slam, Roslan Shah, Amylea dan Zarina Akademi Fantasia, Ezat Exist, Joanna, Izwan Pilus, Fazli Zainal dan ramai lagi.
Sebagai kelainan mini konsert ini turut menampilkan pelakon-pelakon popular seperti Jehan Miskin, Intan Ladyana, Kamal Adli dan ramai lagi yang bakal tampil dengan pelbagai sketsa menarik mereka.
Johor Bharu akan menjadi titik permulaan kepada Karnival Suara Malaysia yang akan menemui orang ramai selepas ini di Bentong, Pahang pada akhir Jun , Kota Kinabalu, Sabah (akhir Julai), Perak (akhir Oktober) dan Kuala Lumpur (akhir November).
Dianjurkan oleh Mingguan Malaysia, acara ini turut mendapat kerjasama majalah URTV selaku majalah rasmi, Mangga Online (portal rasmi) dan Suria FM sebagai radio rasmi yang akan memberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Booth pameran dan jualan masih lagi dibuka untuk usahawan, syarikat korporat, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, swasta dan sebagainya.
Pembaca juga boleh berkongsi semua maklumat tentang aktiviti ini di laman sosial facebook dengan menaip “Pancaindera MM’’ dan mendaftar sebagai ahli kelab kami. Ahli kelab Pancaindera MM yang bertuah akan diberi keutamaan untuk bertemu dengan artis secara personal di belakang pentas Mini Konsert Pancaindera.
Mengenai pendaftaran booth dan karnival ini, orang ramai boleh menghubungi talian 016-6680792 atau 012-2259645 untuk maklumat lanjut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: