Friday, May 14, 2010

Menghitung hari

SERASI, Anne dan Nik Mahathir seperti pasangan lain mengharapkan  perkahwinan mereka akan direstui semua orang dan berkekalan hingga akhir  hayat.
SERASI, Anne dan Nik Mahathir seperti pasangan lain mengharapkan perkahwinan mereka akan direstui semua orang dan berkekalan hingga akhir hayat.
Anne Hot FM tak sabar bergelar isteri kepada Nik Mahathir Zainuddin pada 12 Jun

MENGHITUNG hari dan kurang sebulan lagi, penyampai radio Hot FM, Anne atau nama sebenarnya Putri Adreanna Syigim Mohd Razalli, 29, akan disatukan dengan arjuna hatinya, Nik Mahathir Zainuddin, 33 pada 12 Jun depan. Malah ketika ini persiapan saat akhir masih rancak dilakukan.Kalau mahu disingkap terlalu banyak ujian yang harus ditempuhi menjelang hari bahagianya itu. Malah ketika dia rancak ditemubual kelmarin ketika sesi fotografi baju pengantin buat julung kalinya bersama Hip, air mata Anne mula bergenang kala rancak berbicara mengenai persiapan perkahwinannya menjelang 12 Jun ini.
Bayangkan di saat wanita sepertinya sibuk membuat persiapan dibantu ibu tercinta, Anne pula harus menelan hakikat bahawa ibunya, Raja Norhizam Raja Adnan tidak berada di sisi kerana terlebih dulu kembali ke rahmatullah sejak empat tahun lalu akibat penyakit jantung.

Hampir semua persiapan perkahwinan dilakukannya sendiri. Akuinya kala bersendirian, dia pernah menangis mengenangkan apa yang harus dilaluinya. Sesekali terbit juga rasa lemah semangat apabila segala kepenatan melunaskan persiapan perlu digalasnya sendiri.

“Tipulah kalau saya kata tak tertekan. Tapi mahu atau tidak saya harus kuat. Biarpun ada persiapan yang harus dilakukan pada saat akhir, tapi semuanya masih dalam keadaan terkawal. Mujur juga ada saudara mara yang membantu serba sedikit.

“Bapa juga turut membantu menyalurkan wang untuk membantu saya menampung apa yang patut. Duit kahwin ini pun saya peroleh daripada duit simpanan hasil kerja seperti mengacarakan majlis dan program, bonus serta gaji bertugas di Hot FM.
“Memang selama ini pun, saya selesa hidup berdikari. Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada, saya mampu membeli rumah dan kereta. Insya-Allah, selepas kahwin nanti, saya dan suami akan menetap di kondominium yang dibeli saya di Segambut,” katanya ketika ditemui di Taman Tasik Perdana, tempat berlangsungnya fotografi ini.

Bercakap mengenai ujian dan dugaan yang perlu ditempuhinya, Anne sebenarnya terpaksa menanggung kerugian hampir RM4,000 apabila beg yang dipenuhi kain ela yang dibeli di Indonesia dilaporkan hilang dan tidak diterimanya apabila mendarat di Kuala Lumpur.

Kejadian itu terjadi tahun lalu, selepas Anne, Nik Mahathir dan saudara mara lain bercuti di Indonesia. Mereka ke sana beberapa hari selepas majlis merisik diadakan pada 28 November 2009. Pasangan ini tidak bertunang sebaliknya hanya mengadakan majlis merisik secara kecil-kecilan.

“Ikutkan hati saya memang geram sangat apabila hal ini terjadi. Menangis itu janganlah cakap. Betapa terujanya saya membeli kain ela untuk busana pengantin diri sendiri serta pengapit, alih-alih kain itu lesap begitu saja.

“Nak menyesal pun tak guna. Akhirnya saya terpaksa memesan kembali material kain yang sama bagi majlis resepsi dengan bantuan makcik saya yang kebetulan ke Indonesia. Selebihnya, saya beli di Kuala Lumpur saja. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Saya reda,” katanya yang mengendalikan segmen Hot FM Zone, 8 malam hingga 12 tengah malam bergandingan dengan Ikhwan.

Ironinya, Anne mengikuti jejak rakan seperjuangannya di Hot FM, Leya, Zura dan Tini yang terlebih dulu menamatkan zaman bujang. Majlis pernikahan pada 12 Jun akan diadakan jam 11 pagi di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara.
Resepsi sebelahnya diadakan keesokan harinya di Kelab Golf Perkhidmatan Awam.

Menurut Anne, majlis resepsi sebelahnya bertemakan perkahwinan dalam taman dengan konsep warna merah jambu. Manakala majlis bertandang sebelah bakal suaminya pada 19 Jun pula mengetengahkan ciri klasik dan tradisional dengan tema biru laut diadakan di Bukit Indah, Ampang.

“Kalau nak dikatakan bersedia untuk kahwin, sejak tahun lalu lagi kami nak merealisasikannya. Tapi nak dijadikan cerita saya sibuk tahun lalu. Saya pun sudah bersedia untuk bergelar isteri. Orang kata kalau nak kahwin itu duit boleh dicari, tapi kalau tak bersedia mental dan fizikal, tak guna juga kahwin.

“Selepas kahwin, suami saya pun tidak akan menghalang saya meneruskan kerjaya. Menerusi pengamatan saya terhadap rakan sekerja yang lain, tanggung jawab terhadap kerja itu juga secara automatiknya akan bertambah. Lebih berat daripada biasa ditambah dengan komitmen sebagai isteri juga,” katanya yang sudah 4 tahun bersama Hot FM.

Rancang buat umrah selepas kahwin

SEMENTARA itu, Nik Mahathir yang bekerja sebagai pereka grafik untuk Al Jazeera yang beroperasi di KLCC memberitahu mereka merancang untuk mengerjakan umrah terlebih dulu sebelum memikirkan destinasi berbulan madu. Pasangan ini mula berkenalan pada 2005 ketika sama-sama bertugas di MiTV beroperasi di KL Plaza.

“Ketika itu, Anne bertugas sebagai penerbit manakala saya sebagai pereka grafik senior. Dalam hubungan kami tiada istilah mengurat. Barangkali kerana kerap bekerjasama, secara tak langsung perasaan suka dan seterusnya rapat itu terjadi secara semula jadi. Tahu tahu, kami jadi rapat,” katanya yang kini semakin susut berat badan.

Kali pertama mereka berdating ialah di Planet Hollywood untuk makan malam. Kata Nik Mahathir, biarpun kini waktu kerja mereka tidak seiring, mereka boleh bertoleransi dalam hal membabitkan masa. Memahami antara satu sama lain antara kunci kepada kekuatan hubungan mereka.

“Saya memang jenis pendiam sedikit orangnya manakala Anne ini banyak bercakap. Jadi secara tidak langsung, kami saling menghargai dan melengkapi di antara satu sama lain. Saya menyenangi sikapnya. Dia (Anne) seorang yang berazam tinggi dan rajin.

“Saya tidak pernah menilai kecantikan seseorang. Saya lebih suka kualiti dan personaliti dalaman yang dimilikinya. Dia juga seorang yang sangat berdikari. Melihat kepayahan dia menguruskan majlis perkahwinan kami, saya tahu dia sangat tabah orangnya,” ungkap Nik Mahathir.

Info menarik

  • Tidak menerima tajaan besar daripada mana-mana pihak. Anne bakal menggayakan rekaan Arma Couture yang ditempahnya untuk majlis resepsi. Manakala untuk majlis pernikahan, Anne hanya melaram baju kurung ringkas berwarna putih.

  • Untuk majlis abang sulungnya, Anne bertindak sebagai perancang perkahwinan. Tugas yang sama juga dipikul Anne untuk hari bahagianya sendiri. Pendek kata, dari A hingga Z, semua dilakukannya.

  • Tajaan pelamin dari Dina Halim Boutique berlaku secara kebetulan. Ketika singgah ke butik terbabit ditemani abang dan kakak iparnya, pemilik butik terbabit sebenarnya pernah menjadi rakan serumah ketika Anne menuntut di UiTM, Shah Alam. Akhirnya pemilik butik itu mahu menaja pelamin perkahwinan Anne.

  • Anne gemar melayari laman sesawang termasuk singgah ke blog untuk mencari maklumat berkaitan barang perkahwinan seperti cenderahati untuk tetamu.

  • Dulang hantaran berjumlah sembilan daripada pihak Anne berbalas tujuh.

  • Wang hantaran berjumlah RM11,181 dipilih sebagai simbolik hari lahir Anne pada 11 Januari 1981.

  • Anne memberitahu Leya akan menunaikan janjinya untuk menyanyi pada majlis perkahwinannya nanti.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: