Friday, May 14, 2010

Mana gula?

MOHD SAIM menunjukkan rak gula di kedainya kosong berikutan  kehabisan bekalan.
MOHD SAIM menunjukkan rak gula di kedainya kosong berikutan kehabisan bekalan.
Penduduk Batu Pahat panik semakin sukar peroleh bekalan

BATU PAHAT: Selepas selesai masalah bekalan air bersih, penduduk di daerah ini kini berdepan dengan kehabisan bekalan gula sejak beberapa hari lalu sehingga menyebabkan suasana panik di kalangan pengguna yang semakin sukar mendapatkan bekalan barang kawalan berkenaan.Tinjauan di beberapa kedai runcit serta pasar raya besar di sini mendapati bukan saja rak jualan gula kosong dan tiada bekalan langsung, malah peniaga mahupun jurujual bertugas mendakwa bekalan gula sudah kehabisan sejak beberapa hari lalu.
Beberapa pengguna yang ditemui kecewa apabila mereka kini semakin sukar mendapatkan bekalan itu kebelakangan ini sehingga terpaksa pergi ke beberapa kedai untuk mencari bekalan gula.

Malah, mereka bimbang masalah kekurangan gula ini akan berlarutan sehingga beberapa bulan lagi berikutan Ramadan bakal menjelang tiba.

Penoreh getah, Normah Abdul Rani, 48, dari Kampung Rahmat di sini berkata, beliau terkejut apabila mendapati kedai di sekitar rumahnya sudah kehabisan bekalan gula, apatah lagi beliau memang sudah kehabisan gula di rumah sejak semalam.

“Saya rasa macam baru lagi gula dicatu tahun lalu di kedai tapi kali ini lagi teruk apabila tiada langsung gula bila pergi ke kedai. Saya tidak tahu apa masalahnya bekalan gula ini kerana asyik tiada saja. Ini sebab hendak naik harga lagi ke sebab bulan Ramadan tidak lama lagi, ” katanya.
Suri rumah, Siti Rahayu Abdul Rahim, 32, berkata seharusnya masalah bekalan gula itu tidak berlaku selepas kerajaan menaikkan harganya daripada RM1.55 kepada RM1.65 sekilogram.

“Sudah sampai masanya supaya kerajaan memecahkan monopoli gula kepada lebih banyak pengeluar dan pengedar supaya masalah itu dapat diselesaikan dan tidak berpanjangan saban tahun kerana yang menjadi mangsa adalah pengguna, ” katanya.

Peniaga Kedai Runcit Ummu Trading di Taman Banang Jaya di sini, Mohd Saim Abdul Hamid, 45, berkata kedainya sudah kehabisan bekalan gula sejak beberapa hari lalu berikutan bekalan berkenaan tidak dihantar pengedar.

“Memang ramai pengguna yang bising dan marah mengatakan golongan peniaga mahu menaikkan harga gula lagi sedangkan bekalan memang tiada langsung. Pelanggan beranggapan peniaga seperti saya sengaja menyorok bekalan gula bagi menaikkan harga gula.

“Namun hakikatnya masalah ini berpunca daripada pengedar. Mereka juga tidak memaklumkan kenapa mereka tidak menghantar bekalan gula sebaliknya mengatakan bekalan akan dihantar hanya pada minggu depan tetapi yang menjadi masalahnya bekalan langsung tiada,” katanya.

1 comment:

  1. ni la masalah yg akan terjadi akibat MONOPOLI pasaran gula....pengeluar jugak yg kaya raya

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: