![]() |
| SEBAHAGIAN daripada peserta yang menyertai Charity Ride ke Muar, baru-baru ini. |
MENGHARUNGI perjalanan sejauh 250 kilometer (km) dari Kuala Lumpur ke Muar sempena Hari Belia Negara 2010 baru-baru ini merupakan satu aktiviti cukup bermakna buat ahli-ahli kelab motosikal berkuasa tinggi, Retrosuperbike.
Lagi pula konvoi yang dikenali sebagai tunggangan amal atau 'charity ride' itu kali ini menampil sedikit perbezaan.
Sebelum ini meraka hanya mengunjungi rumah anak-anak yatim tetapi kali ini ia disertai dengan serahan sumbangan. Mereka juga mengunjungi kanak-kanak yang kurang upaya.
Menurut Presiden Retrosuperbike, Maznah Zolkifli, tahun ini sambutan Hari Belia disambut dengan acara 'charity ride' untuk memberi kelainan kepada ahli-ahlinya.
Ini kerana buat pertama kalinya ahli-ahli Retrosuperbike menyambut Hari Belia Negara secara besar-besaran dengan menyertai 'charity ride' bersama Duta Belia Negara, Maznah.
''Ini merupakan kali pertama saya menyambut Hari Belia Negara dengan mengadakan 'charity ride' bersama ahli-ahli kelab motosikal berkuasa tinggi yang lain.
''Dengan cara sebegini, secara tidak langsung ia dapat mengumpulkan ahli-ahli kelab motosikal dari seluruh negara dan bersama-sama melakukan kerja kebajikan.
''Pada masa yang sama ia turut membuktikan bahawa kami ahli-ahli kelab motosikal berkuasa tinggi tidak terkecuali melakukan kerja-kerja kebajikan,'' ujarnya ketika ditemui selepas majlis meraikan Syafiqah Mohamad Saidin dan Nor Arina.
Kedua-dua beradik itu mengidap penyakit cerebral palsy sejak dilahirkan dan mereka sememangnya tidak berupaya melakukan sebarang pekerjaan apatah lagi untuk menguruskan diri masing-masing.
Pada majlis tersebut, selain Kelab Retrosuperbike Malaysia, kelab-kelab lain yang turut serta ialah Retrosuperbike Singapura, Muar Bikers, STOC Singapura, Roger Bikers, Kajang Bikers, Captain Bikerz Singapura dan Malaysia Easy Rider Community.
Untuk majlis tersebut, selain dua buah kerusi roda, sumbangan berbentuk wang ringgit serta keperluan harian turut disampaikan.
Apa yang diharapkan daripada ahli-ahli kelab motosikal berkuasa tinggi ialah dengan sumbangan yang tidak seberapa itu, ia mampu meringankan penderitaan yang dihadapi kedua-dua beradik tersebut.
Yang lebih menyayat hati, mereka baru sahaja kehilangan bapa tersayang, Mohamad Saidin pada bulan Mac lalu.
Menurut Maznah lagi, 'charity ride' sehari itu telah mencapai matlamat asal iaitu untuk melakukan kerja amal.
''Dengan adanya program-program sebegini, ia secara tidak langsung mendekatkan kami (ahli-ahli kelab) dengan masyarakat yang memerlukan bantuan serta perhatian.
''Pada masa yang sama apa yang kami lakukan ini adalah untuk menggembirakan insan-insan yang kurang bernasib baik.
''Dan secara tidak langsung ia memberi keinsafan kepada kita manusia yang cukup segala-galanya,'' tambah beliau.
Dengan menganjurkan program tersebut, secara tidak langsung ia dapat mengumpulkan 100 buah motosikal berkuasa besar termasuk dari negara jiran, Singapura.
Bagi Kelab Retrosuperbike, ahli-ahlinya telah berkumpul di perhentian rehat dan rawat, Seremban dan perjalanan dari Seremban ke plaza tol Tangkak telah diketuai oleh Sarjan Tajudin Mahadi atau lebih dikenali sebagai Dino.
Ternyata, walaupun ia hanyalah merupakan satu program harian, ia telah berjaya mencapai matlamat asal untuk bersama-sama membantu mereka yang kurang upaya.
Bagaimanapun, pujian seharusnya diberikan kepada mereka yang menyertai program 'charity ride' ini kerana walaupun mereka ini merupakan 'mat-mat' motor tetapi mereka masih lagi merupakan insan yang mempunyai hati dan perasaan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: